Thursday, August 9, 2012

Industri satelit

Ketua Pegawai Eksekutif ATSB, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad (depan, kanan) bersama sebahagian jurutera ATSB di Shah Alam.

Angkasa lepas merupakan satu bidang yang begitu dikagumi oleh semua golongan manusia kerana misterinya yang masih luas untuk diterokai.

Negara-negara maju seperti Rusia dan Amerika Syarikat adalah antara yang terawal meneroka dan memanfaatkan teknologi dan aplikasi dari angkasa lepas.

Malaysia turut tidak melepaskan peluang ini dengan bidang angkasa lepas bukanlah suatu yang baru di negara ini .

Namun ia kurang dikenali seperti bidang-bidang lain seperti telekomunikasi, minyak dan gas, aeronautikal, teknologi maklumat, bioteknologi dan lain-lain.

Minat masyarakat kepada angkasa lepas hanya mula diberi penekanan semasa Malaysia melahirkan Angkasawan Malaysia menerusi Program Angkasa wan Negara (PAN).

Bermula daripada situ, ramai anak muda Malaysia bercita-cita tinggi untuk mencapai sesuatu yang sebelum ini dianggap mustahil.

Antara cabang bidang angkasa lepas yang masih belum didukung sepenuhnya oleh masyarakat adalah teknologi satelit.

Sebelum melahirkan angkasawan pertamanya, Malaysia telah mempunyai satelit-satelitnya sendiri iaitu TiungSAT-1, Measat dan RazakSAT®.

Ramai rakyat Malaysia secara sedar atau tidak menggunakan aplikasi teknologi satelit seperti telekomunikasi, sistem penentu kedudukan global (GPS) dan penyiaran.

Tidak ramai yang tahu bahawa sudah ada anak-anak Malaysia yang berpengetahuan dan melibatkan diri dalam kerja-kerja pembangunan satelit.

Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB) yang ditubuhkan pada tahun 1997 sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dan diseliakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diberikan mandat oleh kerajaan untuk membangunkan bidang teknologi angkasa lepas dan satelit.

Kedua-duanya menawarkan peluang pekerjaan untuk anak tempatan agar bidang ini terus membangun dan berpotensi untuk mempelopori bidang ini setanding dengan negara maju.

Kesemua faktor ini perlu diambil kira bagi mana-mana jurutera dan penganalisis misi yang terlibat dalam projek pembangunan satelit.

Memandangkan sistem satelit adalah kompleks dan terdiri daripada pelbagai komponen, kerja-kerja pembangunan memerlukan tenaga yang mahir, pakar dan berpengetahuan dalam pelbagai bidang.

Bagi mereka yang mempunyai minat dalam bidang angkasa dan satelit boleh mencuba menerokai bidang yang mencabar ini. Sebagai permulaan, jurutera dan penganalisa misi satelit tersebut perlu mempunyai salah satu latar belakang bidang kejuruteraan seperti berikut:

* Kejuruteraan Elektrikal

* Kejuruteraan Elektronik

* Kejuruteraan Mekanikal

* Kejuruteraan Aeroangkasa/Aeronautik

* Kejuruteraan Komunikasi

* Kejuruteraan Komputer/Sains Komputer

* Kejuruteraan Perisian

* Fizik / Matematik

Di ATSB, graduan yang ingin menceburi bidang angkasa lepas dan teknologi satelit memulakan kerjayanya sebagai jurutera terlebih dahulu.

Setelah menerima pengalaman serta mahir dalam bidang yang diceburi, jurutera tersebut berpeluang untuk menjadi seorang Jurutera Kanan 2 dan seterusnya dinaikkan pangkat ke jawatan Jurutera Kanan 1 setelah menunjukkan prestasi yang baik dan konsisten. Selain minat yang mendalam dalam bidang angkasa dan teknologi satelit, seseorang yang bakal menjadi jurutera dan penganalisa misi satelit perlu mempunyai daya ketahanan mental yang tinggi dan boleh menjalani kerja-kerja teknikal yang rumit dan melibatkan kerja-kerja di makmal sehingga berbulan lamanya.

Ini kerana projek pembangunan satelit akan mengambil masa yang panjang di antara tiga hingga tujuh sebelum satelit tersebut dilancarkan ke angkasa lepas.

Kerja pembangunan juga mencabar dimana kitaran prosesnya termasuk reka bentuk, analisis, pembangunan, integrasi dan ujian. Kesemua proses ini akan berulang sehingga sistem satelit itu berfungsi sepenuhnya dan seterusnya bersedia untuk dilancarkan.

Berkat kesabaran, ketekunan dan minat yang jitu, kepuasan akan dikecapi oleh seseorang jurutera tersebut tatkala menyaksikan satelit berjaya dilancarkan ke ruang angkasa dan mula beroperasi pada kali pertamanya.

Beberapa institusi pengajian tinggi di negara ini menawarkan kursus-kursus kejuruteraan yang membolehkan seseorang untuk menimba ilmu pengetahuan sebagai persediaan untuk bergelar sebagai jurutera atau penganalisis satelit.

Terdapat beberapa universiti tempatan yang menawarkan bidang khusus dalam aeroangkasa dan teknologi angkasa atau satelit seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan lain-lain lagi.

Ketika ini pelbagai bentuk program dan sokongan kerajaan diperoleh untuk mendukung usaha menarik minat pelajar terutama di peringkat sekolah lagi. Ini kerana pendedahan awal mampu memupuk jati diri, pemahaman dan minda pelajar agar lebih cenderung kepada bidang sains dan teknologi secara amnya dan angkasa lepas dan satelit teknologi secara khusus.

Sebagai contoh, semasa merasmikan Program Angkasawan Negara ke-4 pada tahun lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili telah berkongsi pengalaman Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun (JAXA) melalui program pendidikan dan penyelidikan yang dinamakan program Space Seed atau Space Seeds for Asian Future 2010-2011.

Program ini bertujuan untuk mengenal pasti kesan radiasi dan persekitaran dan mikrograviti kepada biji benih cili tempatan yang telah dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama tiga bulan.

Biji benih tersebut sedang menjalani ujian pemantauan percambahan di tapak semaian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang dan dipercayai biji benih tersebut lebih tahan kepada penyakit.

Menerusi program yang sama, Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Fadillah Yusof, juga memaklumkan bahawa biji benih tersebut bersama dengan biji benih kawalan yang tidak dibawa ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) telah diberikan kepada pelajar sekolah sebagai eksperimen sains untuk kajian dan penghasilan diperoleh daripada kedua-dua jenis biji benih ini.

Dalam pada itu, Euroconsult iaitu sebuah firma perbankan pelaburan bebas serta analisis dalam penyelidikan pasaran pada Mac 2012 telah menyatakan bahawa Malaysia masih mendahului berbanding negara-negara lain di rantau Asia Tenggara dalam bidang teknologi satelit.

Namun sekiranya usaha Malaysia tiada kesinambungan, tidak mustahil negara lain seperti Indonesia dan Thailand bakal mendahului negara ini pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: