Saturday, August 11, 2012

Honda Jazz S ideal dan praktikal


DI Indonesia, Honda Jazz dikenali sebagai Mobil Sejuta Umat kerana popularitinya.


HONDA Malaysia Sdn. Bhd. baru-baru ini memperkenalkan varian Jazz S yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand.

Kekal sebagai hatchback kompak lima pintu yang praktikal dan bergaya, Jazz S mengaplikasikan konsep Man Maximum, Machine Minimum. Maksudnya, ia menawarkan ruang yang maksimum kepada penumpang dan meminimumkan ruang untuk komponen mekanikal.

Konsep rekaan tersebut bertujuan menghasilkan sebuah kereta kompak ideal yang menggabungkan aspek keluasan ruang, kegunaan, kecekapan bahan api, kemas, selesa dan selamat dalam satu pakej.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno menyatakan pihaknya berbesar hati untuk menawarkan varian Jazz S yang bergaya kepada pengguna di Malaysia.

"Jazz sudah lama diterima baik di pasaran ini. Kami percaya Jazz S mampu menarik minat golongan profesional muda yang mahukan sebuah jentera kompak, praktikal dan seronok dipandu. Jazz S juga disasarkan kepada kelompok keluarga muda yang inginkan sebuah kenderaan luas untuk kegunaan harian," kata Ueno.

Dari segi luaran, Jazz S hadir dengan rim aloi bersaiz 15 inci, selain bampar hadapan dan belakang baharu. Gril radiator berwarna hitam pula dipadankan dengan sepasang lampu kabus pada bahagian bawah bampar hadapan.

Jazz S dikuasakan oleh enjin i-VTEC bersesaran 1.5 liter bersama padanan transmisi automatik lima kelajuan. Gabungan itu menawarkan pemanduan yang dinamik dan menjimatkan minyak. Sementara teknologi Drive-By-Wire (DBW) yang ada padanya pula berfungsi mengawal enjin dan transmisi untuk memberikan pecutan meyakinkan serta prestasi pemanduan yang linear.

Model itu mengekalkan ciri-ciri utama sebuah Jazz seperti tempat duduk Ultra Seat dan ruang but yang besar. Ultra seat yang kini dibalut material berwarna biru hitam boleh dilipat dengan mudah untuk memenuhi apa jua keperluan anda.

Dari segi ciri keselamatan, Jazz S dibina menggunakan teknologi kerangka G-force Control Technology (G-CON) yang membantu menyebarkan impak sekiranya berlaku kemalangan. Ia turut dilengkapi sistem Vehicle Stability Assist (VSA) untuk memastikan kestabilan ketika mengambil selekoh. Selain itu, dua beg udara SRS, Anti-lock Braking System (ABS), Electrical Brake-force Distribution (EBD) dan Brake Assist (BA) ada dipasang pada Jazz S.

Ditawarkan pada harga RM99,800 seunit (di atas jalan), ia didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu putih, kelabu dan hitam.

Sudah boleh didapati di semua bilik pameran Honda Malaysia di seluruh negara, Honda Malaysia meletakkan sasaran untuk menjual lebih 200 unit Jazz S menjelang akhir tahun ini. Maklumat lanjut, sila hubungi talian Honda Toll Free: 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: