|
BUNYI deruman beberapa buah bot penumpang yang bergerak perlahan menyusur arus Sungai Selangor pada petang itu kedengaran sedikit memekakkan.
Bagaimanapun, Hui Jua Zhang tidak ambil pusing. Lengkap memakai jaket keselamatan, dia tekun di kerusinya bersama rakan-rakannya yang lain.
Matanya leka memerhatikan rimbunan pohon bakau di sepanjang sungai yang menjadi sumber mata pencarian penduduk-penduduk di sekitar kawasan Pasir Penambang itu.
Beberapa saat kemudian, enjin bot dimatikan. Seorang jurumudi pertengahan usia menunjukkan sesuatu di udara.
“Cuba tengok di atas sana,” kata jurumudi itu dalam bahasa Inggeris. Jua Zhang, mengiyakan kata-kata itu. Kelihatan sekawan burung helang liar berterbangan bebas tidak jauh dari lokasi bot itu berlabuh.
Gadis berusia 14 tahun itu pantas membidik aksi seekor burung helang berkepala putih yang terbang rendah berhampiran permukaan sungai dengan kameranya.
Punat lensa kameranya cekap ditekan berulang kali. Satu-persatu pergerakan burung pemangsa itu dirakamkan termasuk beberapa aksi burung lain yang berterbangan di sekitar kawasan itu.
Jua Zhang spontan mengukir senyuman. Ya, semuanya gambar yang diambilnya sebentar tadi menjadi, hanya ada sekeping dua sahaja yang kelihatan agak kabur.
Jua Zhang berasa bangga kerana pada petang itu satu sejarah baharu telah tercipta buat dirinya.
Seumur hidupnya, itulah pertama kali dia berpeluang melihat burung helang dengan mata kepalanya sendiri.
Rasa terpegun
“Saya sendiri terpegun melihat puluhan spesies helang liar terbang di atas kepala.
“Berbanding melawat muzium, pengalaman berada di sini lebih menarik kerana pendedahan mengenai spesies burung pemangsa ini. Ia adalah pengalaman unik dalam hidup saya,” katanya yang berasal dari Guangzhou, China.
Biarpun sekadar melihat dari jauh, namun dia tetap puas. Dia diberitahu, terdapat dua spesies burung helang yang ditemuinya iaitu helang putih dan helang kunyit.
Bukan Jua Zhang sahaja yang berasa teruja. Rakan-rakannya yang mengikuti program lawatan ke Kuala Selangor itu juga turut merasainya.
Ternyata, peluang menyaksikan gelagat burung itu terbang dari puncak pokok dan menyambar makanan pastinya sukar dilupakan sampai bila-bila.

Sebenarnya, Jua Zhang dan rakan-rakannya seramai 100 orang itu sedang dalam rangka lawatan sambil belajar selama seminggu ke Malaysia anjuran Persatuan Persahabatan Malaysia - China.
Salah satu acara program mereka adalah melawat beberapa tarikan pelancongan di sekitar Kuala Selangor.
Selain melawat Bukit Melawati dan bermesra dengan monyet-monyet liar di situ, rombongan itu juga berpeluang meneroka salah satu tarikan pelancongan baharu di daerah itu, iaitu melihat burung helang.
Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Mohd. Misri Idris berkata, antara kawasan tumpuan spesies burung pemangsa itu adalah di sekitar Taman Alam Kuala Selangor, kawasan hutan simpan seluas 201 hektar yang terletak di pesisiran kuala Sungai Selangor.
Transit
“Mungkin ramai yang tidak tahu, selain Sungai Kilim, Pulau Langkawi dan Tanjung Tuan, Port Dickson, daerah ini juga terkenal dengan spesies helang liar.
“Semua helang ini singgah di sini dalam perjalanan dari hemisfera selatan ke hemisfera utara terutamanya pada bulan September hingga Oktober dan Mac hingga April setiap tahun,” kata beliau.
Tambah Mohd. Misri, pihaknya yakin aktiviti melihat helang bakal melonjakkan Kuala Selangor sebagai destinasi pelancongan di negara ini.
“Selama ini, orang mengenali daerah ini kerana Bukit Malawati, Pantai Remis, Rumah Api Kuala Selangor atau aktiviti melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan.
“Kini, helang telah menjadi ikon pelancongan utama. Sejak aktiviti ini diperkenalkan di sini kira-kira setahun lalu, ia telah menarik pelancong asing untuk melawat Kuala Selangor,” ujarnya.

Menurut beliau, satu keunikan mengenai aktiviti melihat helang ialah aktiviti itu hanya dilakukan bermula dari pukul 5 hingga 7 petang setiap hari.
Katanya, seperti melihat kelip-kelip yang hanya boleh dilakukan pada waktu malam, burung helang akan mencari makanan pada waktu itu sahaja.
Tanggungjawab mempopularkan aktiviti itu kini digalas oleh Goldpage Assets Sdn. Bhd., syarikat pemaju hartanah yang sebelum ini giat mempromosikan aktiviti pelancongan di Kuala Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Teh Hock Seong berkata, aktiviti itu terbuka kepada setiap lapisan masyarakat yang ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi di samping melihat lokasi penghijrahan burung helang di sepanjang Sungai Selangor itu.
“Memerhati burung memberikan ketenangan terutamanya setelah penat bekerja atau berhadapan dengan tekanan.
“Para pemerhati burung akan beralih daripada kesibukan kota dan dunia kerjaya ke dalam suasana yang tenteram. Alam semula jadi menawarkan pelbagai tarikan flora dan fauna,” kata beliau.
Jelas Hock Seong, aktiviti berkenaan sangat popular khususnya dalam kalangan pengunjung dari beberapa negara seperti China, Taiwan, Arab Saudi dan Hong Kong.
Lapan buah bot
Sehingga kini, pihaknya menyediakan sebanyak lapan buah bot yang akan membawa pengunjung melihat dan memberi makan burung helang dengan lebih dekat.
Dengan bayaran RM25 (dewasa) dan RM15 (kanak-kanak), pengunjung akan dibawa menaiki bot menyusuri Sungai Selangor dan berpeluang melihat kehidupan nelayan di sekitarnya.

“Secara tidak langsung, aktiviti ini kelak dapat menjana pendapatan tambahan penduduk setempat, khususnya di sekitar Pasir Penambang yang terkenal dengan jolokan syurga makanan laut,” kata beliau.
Sementara itu, seorang peserta program, Charles Zhou, 14, berkata, biarpun baru kali pertama berkunjung ke negara ini, dia berasa kagum melihat kepelbagaian diversiti di sekitar kawasan Kuala Selangor itu.
Katanya, aktiviti melihat burung memberi kesedaran kepada orang ramai tentang keperluan dan kepentingan mengekalkan habitat burung migrasi ini sebagai satu khazanah paling berharga di bumi.
“Bagi saya, aktiviti ini memberikan kegembiraan dan kepuasan kerana berpeluang melihat sesuatu yang luar biasa.
“Setiap spesies burung tidak sama. Bukan sahaja dari segi fizikal seperti saiz dan bentuk termasuk jenis bulu, pelepah serta paruhnya, malah sifat-sifatnya yang lain,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: