Gagal lolos diri
Empat suspek ditahan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

PETALING JAYA – Niat empat lelaki yang ingin menyamun di parkir pusat membeli-belah One Utama di sini, malam semalam tidak kesampaian apabila kereta yang dipandu mereka terbabas ke atas pembahagi konkrit dalam cubaan meloloskan diri selepas dikejar pengawal keselamatan.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, pengawal keselamatan pusat membeli-belah berkenaan cuba menahan kereta yang dinaiki suspek selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan berlegar di parkir tingkat empat suspek.

Dua orang pengawal bermotosikal cuba menahan kereta namun suspek memecut laju dan melanggar motosikal pengawal keselamatan terbabit menyebabkannya tercampak.

Ketua Eksekutif Keselamatan One Utama, Abdul Aziz Abdul Jalil berkata, dalam keadaan kelam kabut itu suspek memandu melawan arus dan melanggar beberapa kereta pengunjung lain sebelum melanggar palang keluar di tingkat tiga.

Beliau berkata, anak buahnya dapat mengesan kelibat suspek selepas salah seorangnya pernah dilihat melanggar seorang pengawal keselamatan dengan kereta hingga cedera dalam kejadian jam 9 malam, 3 Ogos lalu.

“Kejadian berlaku amat pantas, kami segera menghubungi polis sebelum kami bertindak mengepung kereta yang dinaiki suspek selepas terbabas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek yang ditahan berusia 31, 25, 23 dan 21 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kereta yang dinaiki suspek adalah kereta yang dilaporkan hilang bersabit laporan kes hilang kenderaan di Sungai Buloh pada jam 9 pagi hari sama.

“Hasil pemeriksaan polis menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memecah kereta termasuk dua bilah parang di dalam but kereta tersebut,” katanya.

Siasatan awal pihaknya mendapati, kumpulan itu dipercayai mahu melakukan samun di parkir pusat membeli-belah itu.

Difahamkan, seorang daripada suspek juga dikehendaki polis atas kesalahan jenayah dan ke semua suspek dalam keadaan khayal selepas mengambil syabu.

Arjunaidi berkata, dengan tertangkap ke semua suspek, polis dijangka dapat menyelesaikan beberapa kes samun dan curi kenderaan di Petaling Jaya.