Saturday, August 11, 2012

Edisi terhad yang istimewa!


WAJAH garang sebuah jentera berprestasi tinggi daripada Audi.


AUDI RS 3 Sportback ialah sebuah kereta yang sangat istimewa. Pada tahun 2011, model itu ditawarkan dalam edisi terhad iaitu hanya 500 unit sahaja. Berikutan sambutan yang cukup hangat, RS 3 Sportback habis dijual dalam masa singkat.

Memetik laporan Newspress baru-baru ini, Audi UK mengumumkan penjualan model itu sekali lagi. Kali ini dengan unit yang lebih terhad, iaitu hanya 250 unit sahaja. Harganya pula sama seperti edisi 2011 iaitu £39,930 (RM194,000) seunit.

Audi RS 3 Sportback dikuasakan oleh enjin 2.5 liter dengan pengecas turbo berkuasa total 340PS dan tork 450Nm. Kuasa yang tinggi itu kemudiannya dipisahkan ke atas jalan raya melalui sistem Audi yang terkenal iaitu quattro all-wheel drive.

Tenaga daripada enjin kemudian diagih oleh transmisi tujuh kelajuan klac berkembar S tronic tukaran cepat (rapid fire shifts). Prestasi kelajuan yang dicapai juga mengagumkan iaitu dari pegun hingga 100km/j hanya mengambil masa 4.6 saat. Sementara kelajuan maksimum pula ditetapkan melalui kawalan elektronik pada 249 kilometer sejam (km/j).

Blok enjin

Walaupun RS 3 Sportback ialah model prestasi, tidak bermakna penggunaan minyak boleh dibiarkan sesuka hati. Prestasi tidak semestinya bermakna enjinnya dahagakan petrol. Oleh itu, bagi mendapatkan penggunaan minyak yang ekonomikal, model itu menggunakan sistem pam minyak berdasarkan permintaan (on demand) dan sistem janaan semula (regeneration) tenaga semasa nyahpecutan.

Selain itu, material blok enjin yang digunakan adalah daripada jenis vermicular graphite yang lebih kukuh dan ringan berbanding besi tuang (cast iron). Sayap depan pula menggunakan material gentian kaca yang diperkuatkan dengan polimer.

Kedua-dua kaedah pembuatan tersebut merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pengurangan berat jentera kepada hanya 1,575 kilogram, sekali gus menawarkan kuasa sehingga 216PS untuk setiap tan nisbah kuasa kepada berat.

Faedahnya bukan setakat pada kuasa yang diperoleh, malah turut meliputi aspek pemanduan dan pengendalian kereta. Dinamik pemanduan disumbang oleh sistem suspensi topang MacPherson pada roda hadapan yang direndahkan dan suspensi four-link di bahagian belakang.

Keseimbangan jentera juga diperoleh daripada badan yang dilebarkan iaitu 1,564mm. Sementara tugas untuk mencengkam jalan dimaksimumkan oleh roda aloi bersaiz 19 inci dengan siri tayar 235/35 untuk depan dan 225/35 untuk belakang.

Sistem quattro all-wheel drive dengan kawalan elektronik klac multi-plate pula menyempurnakan lagi kawalan kenderaan dengan lebih cengkaman, keyakinan dan kestabilan.

Pakej kawalan kereta tidak terhenti setakat itu sahaja. Kawalan kestabilan elektronik (ESC) yang dibangunkan khas juga dipasang padanya. Sistem itu lengkap dengan mode Sport yang melengahkan aplikasi brek dan rencatan pecutan (retardation) bagi mendapatkan lebih penyesuaian pengendalian tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan. Sekali-sekala jika pemandu wagon itu mahu ke litar lumba, sistem ESC boleh dimatikan.

Menyentuh tentang kawalan stereng, teknologi yang digunakan ialah electromechanical rack and pinion yang sesuai dengan nisbah gear 16.2:1 bagi menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan terutama ketika mengambil selekoh. Brek cakera yang digunakan pula diangkup oleh empat omboh bagi menjamin kereta dapat dihentikan dengan berkesan.

Pada bahagian luaran, fasia hadapan terdiri daripada apron depan yang dipadankan dengan ruang udara lebih besar, gril tunggal berwarna antrasit (batu arang) dan lampu utama Xenon.

Menurut Audi, semua ciri itu dibuat bagi memaklumkan kepada umum bahawa jentera tersebut ialah RS 3 Sportback. Sisi kereta pula didominasi oleh arca roda yang lebar sepadan dengan roda 19 inci yang digunakan. Bahagian belakang dipasang spoiler bumbung besar yang kemudiannya disempurnakan oleh peresap berwarna hitam kilat dan ekzos berkembar.

Melihat ruang kabin RS 3 Sportback, tempat duduk sport dibalut oleh kulit nappa dengan sulaman kontra berwarna perak. Stereng yang digunakan berbentuk flat bottom sesuai dengan imej sporty yang ingin ditonjolkan.

Selain itu, keunikan RS 3 Sportback terletak pada sistem informasi pemandu yang memaparkan tekanan boost dan suhu minyak. Tidak ketinggalan, maklumat catatan masa pusingan litar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: