MEREKA bukanlah kaum Bajau Laut Pala'u iaitu komuniti etnik di daerah Semporna, Sabah yang selesa hidup di laut berbanding daratan.
Jauh sekali mahu menyamakan mereka dengan Bajau Pala'u yang amat mahir dengan laut sehingga ada di kalangan mereka tidak tenang berada di daratan dalam tempoh lama kerana akan jatuh sakit.
Walaupun tidak bermukim sepanjang masa di laut seperti Bajau Pala'u, namun panggilan 'Gipsi Laut' yang diberikan kepada etnik unik di Semporna itu tetap layak dianugerahkan kepada mereka kerana tuntutan tugas dan tanggungjawab menghendaki mereka menghabiskan banyak masa di laut.
'Gipsi Laut' dimaksudkan ialah anggota Pasukan Polis Marin (PPM) yang bertugas di atas bot peronda yang menjaga keselamatan perairan pulau-pulau di negara ini.
Antaranya ialah anggota PPM dari Wilayah 2 yang berkhidmat di atas Bot Ronda PA54 yang menjaga kawasan perairan Mersing, Johor yang menempatkan beberapa pulau seperti Pulau Tinggi, Pulau Aur, Pulau Pemanggil dan Pulau Sibu.
Menurut Ketua Bot Ronda PA54, Sarjan Othman Yacob, 54, pasukannya yang berpangkalan di Pengerang, Kota Tinggi, Johor, terlibat menjalankan operasi rondaan laut selama seminggu dua kali sebulan.
Othman juga jurumudi pertama bot berkenaan berkata, sepanjang seminggu 'bermukim' di laut, beliau bersama tujuh rakan setugas terdiri daripada lain-lain pangkat bertanggungjawab menjaga perairan Mersing daripada diceroboh oleh anasir luar dan memberi bantuan kepada penduduk yang ditimpa kes-kes kecemasan seperti sakit tenat dengan menghantar mereka ke darat untuk mendapatkan rawatan di hospital.
"Semua kes kecemasan membabitkan penduduk dan pelancong khususnya pada waktu malam akan dimaklumkan kepada kami oleh anggota PPM yang bertugas menjaga pondok polis pulau.
"Memang Kementerian Kesihatan ada menyediakan bot bagi kegunaan kakitangan klinik di empat pulau ini. Tetapi ia tidak sesuai digunakan pada waktu malam kerana hanya dilengkapi sistem penentu kedudukan global (GPS) tanpa radar," katanya.
Beliau berkata, adalah bahaya bagi bot atau kapal belayar pada waktu malam tanpa radar kerana keadaan gelap. Malah bot milik Kementerian Kesihatan kecil iaitu hanya bersaiz kira-kira 15 meter panjang.
Sepanjang seminggu tempoh operasi, Othman berkata, bot mereka tidak tetap di satu kawasan. Tetapi bergerak mengelilingi empat pulau yang dilindungi secara bergilir-gilir.
Ujarnya, mereka bertugas dalam bot tersebut juga bersedia selama 24 jam untuk berdepan dengan apa sahaja ancaman dan menghulurkan bantuan.
Mengenai pembahagian tugas dalam bot, beliau berkata, selain jurumudi pertama dan jurumudi kedua, terdapat anggota bertugas di bahagian teknikal yang bertanggungjawab menjaga, memeriksa dan membaiki enjin bot jika berlaku kerosakan.
Selain itu, katanya, ada juga bertugas menurunkan sauh, membersih bot dan memasak. Semua tugasan itu dilakukan secara giliran sepanjang seminggu operasi di laut.
Memandangkan bot ronda beroperasi 24 jam, sekurang-kurangnya tiga anggota perlu berjaga pada tugas waktu malam iaitu jurumudi, tukang pandang luar dan pemerhati radar yang juga bertindak sebagai pembaca peta laut.
"Bagi mengelak keletihan, tugas jurumudi dan pandang luar akan dilakukan secara bergilir selang sejam.
"Selepas tamat operasi di laut, kami akan kembali ke pangkalan di darat untuk melakukan tugas-tugas lain seperti Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Marin yang bertanggungjawab menyiasat apa sahaja kes-kes jenayah dilaporkan berlaku di sungai dan laut," katanya sambil memberitahu mereka akan bertugas di darat dan laut selang seminggu bergilir-gilir.
Selain siasatan kes jenayah, mereka juga terlibat dalam tugas risikan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI), memeriksa bot bagi mengenal pasti kerosakan, mengecat, mengisi minyak dan air.
Sementara itu, Penolong Ketua Bot PA54 merangkap jurumudi kedua, Koperal Mustafa Miah, 52, berkata, cabaran paling getir dalam tugasan di atas bot ialah semasa berada di laut ketika musim tengkujuh iaitu sekitar November hingga Mac.
Menurutnya, ketika itu, laut akan bergelora kuat dan langit gelap-gelita tetapi mereka harus sentiasa bersedia 24 jam untuk memberi bantuan kepada penduduk.
"Tidak dinafikan nyawa kami bagaikan di 'hujung tanduk' semasa berada di tengah laut yang berombak kuat. Dalam suasana gelap-gelita, radar dan pengalaman amat diperlukan untuk pandu arah," katanya.
Mustafa yang berpengalaman selama 32 tahun mengemudikan bot turut mengakui tidak terlepas mengalami mabuk laut yang teruk jika berdepan dengan cuaca buruk.
Malah, beliau pernah melalui pengalaman tidak boleh dilupakan iaitu muntah teruk selama dua hari dua malam kerana mabuk laut semasa baru bertugas atas bot.
"Saya menyertai PPM sejak berusia 21 tahun dan menimba banyak pengalaman pahit dan manis. Saya biasa terlibat dalam tugas risikan dan penyamaran mengesan PATI.
"Macam-macam PATI saya jumpa. Ada yang datang dari Indonesia, Sri Lanka, Pakistan dan Afghanistan. Malah, sudah biasa bermalam dengan PATI termasuk yang membawa kanak-kanak di dalam bot kerana menunggu untuk dihantar ke darat bagi proses tahanan," katanya yang tidak menafikan kadangkala terbit perasaan simpati melihat keadaan pendatang asing yang sanggup bergadai nyawa untuk memasuki negara ini.
Bagi Lans Koperal Syahibul Lakirbul, 30, pula, perkara paling dirindui semasa seminggu bertugas di laut ialah isteri dan anak kecil berusia setahun di rumah.
Anak kelahiran Kudat, Sabah itu memberitahu, disebabkan jarang berada di rumah, beliau sering terlepas peluang melihat pembesaran anak kesayangannya tetapi ia langsung tidak melemahkan semangatnya untuk terus berkhidmat demi rakyat dan negara.
"Saya gembira dengan tugas membantu masyarakat di sekitar pulau-pulau ini dan menganggap faktor berjauhan dari keluarga dan pengalaman dilambung ombak di laut sebagai satu cabaran," katanya yang sudah lapan tahun berkhidmat dalam PPM.
Rakan setugasnya, Konstabel Ismail Abu Kassim, 37, berkata, beliau tiada masalah bertugas di laut kerana mempunyai berpengalaman menjadi pegawai operasi di atas bot CB19 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum ini.
Ismail yang baru setahun tujuh bulan berkhidmat dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan pesara TLDM yang berpengalaman berkhidmat di bahagian navigasi selama 13 tahun.
Beliau yang diterima menyertai PDRM di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) merupakan kumpulan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pertama yang berjaya menamatkan latihan asas kepolisan di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu.
"Walaupun bekas tentera, saya tiada masalah menyesuaikan diri di kalangan rakan-rakan polis kerana kepakaran saya sebelum ini saling berkaitan dengan bidang tugas dalam PPM.
"Berbeza hanyalah tugas sebagai anggota polis lebih mencabar kerana perlu bersedia 24 jam menjaga ketenteraman awam," katanya gembira dengan kehidupan sebagai anggota polis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: