
MEMPUNYAI keluasan lebih 754 kilometer persegi, Taman Negara Kinabalu merupakan taman negara terbesar dan popular dalam kalangan pelancong ke Sabah.
Selain menjadi destinasi terakhir pendaki untuk menawan puncak Gunung Kinabalu, taman negara itu juga terkenal dengan keindahan flora dan faunanya yang masih terpelihara sehingga kini.
Salah satu tarikan Taman Negara Kinabalu yang harus dikunjungi pelancong ialah Kolam Air Panas Poring.
Terletak kira-kira 40 kilometer dari ibu pejabat Taman Negara Kinabalu dan 19 kilometer dari Ranau, kolam air panas di situ menjanjikan tarikan yang tidak kurang hebatnya kepada pengunjung.
Suasana sekitarnya yang redup dan sejuk membuatkan sesiapa sahaja tidak sabar untuk menjengah ke dalam kolam.
Dengan keluasan 1.25 hektar, terdapat lima mata air panas yang boleh ditemui di situ.
Kawasan kolam yang luas dan dibina secara bertingkat-tingkat memudahkan pengunjung berendam dan berenang sepuas-puasnya.
Badan yang kelesuan pasti terasa segar tatkala disapa air sulfur yang mempunyai suhu sekitar 49 hingga 60 darjah Celsius.
Selain itu, turut dibina kemudahan papan gelongsor yang pastinya memberi keseronokan kepada si cilik.
Bagi yang mahukan suasana yang lebih privasi, boleh memilih untuk berendam dalam kolam jenis tiub yang dibina di dalam pondok-pondok kecil.
Jakuzi air panas
Umpama sebuah jakuzi, pengunjung boleh mengawal suhu air di dalamnya sama ada sejuk atau panas.
Jika tidak mahu membasahkan badan, pengunjung masih boleh bersantai dengan merendamkan kaki di beberapa kolam kecil yang disediakan.
Bagi kemudahan pengunjung, Kolam Air Panas Poring dilengkapi kemudahan seperti pondok rehat, tandas, restoran, bilik persalinan, tempat meletak kenderaan dan sebagainya.

Sebelum pulang, ambil masa membeli-belah aneka pakaian dan cenderamata yang dijual oleh peniaga di bahagian pintu masuk. Apa yang pasti, harga yang ditawarkan lebih murah sekiranya anda pandai tawar-menawar.
Di samping tarikan kolam air panas, pengunjung boleh melawat beberapa tarikan lain di sekitarnya. Antaranya ialah taman kupu-kupu, air terjun, taman orkid di samping melihat panorama hutan di laluan kanopi.
Jika mahu bermalam, terdapat kemudahan rumah rehat dan asrama yang disediakan bagi tujuan itu.
Pelbagai tarikan yang ada di sekitarnya menyebabkan Kolam Air Panas Poring dikunjungi kira-kira 150,000 pengunjung saban tahun.
Jadi apa tunggu lagi, pastikan Poring berada dalam kalendar pelancongan anda jika melancong ke Sabah nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: