BANGUNAN KWC yang nampak bergemerlapan pada waktu malam. |
LOKASI-LOKASI beli-belah utama sempena menyambut ketibaan Aidilfitri seperti di Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman sememangnya tidak pernah surut dengan kehadiran orang ramai.
Bagi mereka yang inginkan keselesaan membeli-belah secara berhemah dan bersederhana, Kenanga Wholesale City (KWC) yang terletak di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur (berhampiran Balai Bomba Jalan Hang Tuah) merupakan pilihan yang tepat.
Bukan sahaja lokasinya agak terpisah daripada kesesakan segi tiga emas Kuala Lumpur, KWC juga sememangnya sebuah pusat beli-belah yang khusus menawarkan produk-produk fesyen di lebih 800 buah butik.
Di dalam gedung setinggi lapan tingkat itu, sudah tentu lebih banyak pilihan pakaian, beg dan aksesori boleh dibeli pada harga borong. Harganya lebih murah jika dibeli secara pukal dengan membawa ahli keluarga serta rakan-rakan membeli-belah bersama-sama.
Sebagai contoh, bagi mereka yang ingin membeli baju-baju tradisional Melayu sempena Hari Raya Aidilfitri ini, Butik Emystic yang terletak di tingkat lima menyediakan pelbagai rekaan baju kurung tradisional dan moden, jubah, blaus dan tudung.
Menurut pemiliknya, Siti Aisyah Hanif, dia menjual pelbagai rekaan busana tradisional Melayu sempena menyambut ketibaan musim perayaan Aidilfitri pada harga antara RM20 hingga RM700.
"Pakaian bertemakan moden dan Muslimah di sini dijual secara baju siap yang ditawarkan pada harga runcit dan borong. Untuk pembelian tiga helai ke atas, diskaun yang diberi adalah sekitar 30 hingga 50 peratus," katanya.
Membeli secara borong
Menurut Aisyah, dia juga menjual secara dalam talian. Melalui laman web www.emystic.com.my, pembelian secara pukal untuk tujuan perniagaan atau menjadi ejen butiknya akan diberikan harga istimewa.
"Pelanggan yang datang ke sini bersama rakan juga boleh berkongsi pembelian dengan membeli secara borong untuk mendapatkan harga diskaun yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, mereka yang inginkan pakaian kasual untuk aktiviti petang atau kaftan untuk tampil lebih anggun, butik Raflesia Style yang terletak di tingkat satu menawarkan pelbagai pilihan yang boleh dibeli.

Menurut pengurus butik, Ahmad Fahmi Arshad, selain menyediakan pelbagai rekaan jubah moden atau kaftan, pakaian berkonsepkan kasual seperti blaus, kardigan dan skirt turut ditawarkan.
"Pakaian di sini boleh dibeli pada harga bermula RM15 hingga RM220 untuk pembelian secara runcit dan RM9 hingga RM120 untuk pembelian secara borong. Untuk pembelian borong iaitu minimum empat helai, diskaun 40 hingga 50 peratus diberikan," katanya.
Tambahnya, butik tersebut banyak mendapatkan produk jualan melalui usaha sama dengan sebuah kilang di Indonesia.
Dalam pada itu, bagi mereka yang ingin tampil berbeza pada hari raya nanti, pilihan beg tangan bercetak bermotifkan flora dan fauna boleh didapati di butik G. Davin yang terletak di tingkat enam.
"Beg-beg tangan berkonsepkan gaya Inggeris ini boleh dibeli pada harga RM40 hingga RM140, bergantung kepada saiz dan rekaan, manakala untuk dompet pula ia boleh dibeli pada harga RM25 hingga RM55," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: