
DUA model eksklusif M Performance Edition untuk BMW M3 dan M5 kini sedang dalam proses pembikinan oleh BMW M GmbH. Dukacita dimaklumkan, model-model itu hanya untuk pasaran United Kingdom (UK) sahaja.
Lebih mendukacitakan peminat tegar dan mereka yang berduit, hanya 30 unit sahaja yang akan dibina. Jadi, nampaknya harapan untuk model itu dibawa masuk ke dalam negara oleh pengimport kenderaan memang tipis, walaupun tidak mustahil.
Mempamerkan varian BMW Individual, kesemua model M Performance Edition itu diberi opsyen warna-warna Frozen seperti BMW Individual Japan Red (merah) dengan Frozen Red wrap, BMW Individual Frozen White (putih) dan BMW Individual Frozen Blue (biru).
Mengimbangi warna luaran yang menyerlah, semua bahagian dalaman model M5 M Performance Editions didatangkan dengan balutan kulit berwarna hitam Full Black Merino. Ruang kabin M3 M Performance Editions pula dibalut oleh kulit hitam, Black Novillo.
Balutan tersebut disulami dengan warna kontra Mugello Red (merah), Lotus White (putih) atau Tobago Blue (biru). Stereng pula dibalut dengan Alcantara. Sementara kemasan dalaman terdiri daripada BMW Individual Piano Black, perehat kepala dengan logo M dan pelapik ambang pintu (door sill).
BMW M3 M Performance Edition dijana oleh unit enjin V8 berprestasi dengan kuasa 420hp. 'Nafsu' besar tersebut dialihkan ke atas jalan raya menerusi transmisi tujuh kelajuan M DCT dan differential M.
Model M3 itu turut didatangkan dengan Competition Package sebagai ciri standard. Peralatannya terdiri daripada suspensi yang direndahkan sebanyak 10 milimeter (mm), Electronic Damper Control dengan mode Sport dan sistem DSC+ yang disemak semula.
Sebagai tambahan, semua model M3 dilambakkan dengan peralatan standard. Antaranya ialah rim aloi 19 inci M Y-spoke berwarna Matt Black, ekzos Dark Chrome, corong bonet jet black, splitter gentian kaca dan cermin pelindung matahari.
Aksesori standard tidak terhenti setakat itu sahaja. Turut dipasang ialah lampu utama boleh suai (adaptive headlights), radio digital DAB, sistem Harman/Kardon dengan 13 unit pembesar suara, BMW Professional Package, telephone USB audio interface dan internet untuk kegunaan pemandu serta penumpang kereta.

Perehat lengan boleh gelongsor, kerusi dengan pemanas dan sistem undur Park Distance Control melengkapkan model M3 istimewa itu. Senarai peralatan eksklusif itu berharga lebih RM48,167 dan dipakejkan sekali dengan harga kereta.
Sementara itu, BMW M5 M Performance Edition dikuasakan oleh enjin terbaharu BMW iaitu TwinPower Turbo V8 berkuasa 560hp. Model itu turut didatangkan dengan teknologi kerangka yang dibangunkan daripada perlumbaan serta Active M differential dan Electronic Damping Control.
Menggabungkan dinamik kereta perlumbaan dan keselesaan kereta penumpang, BMW M5 didatangkan dengan aksesori bernilai RM108,722 yang semuanya didatangkan sebagai peralatan standard.
Antaranya ialah rim aloi 20 inci M Double-spoke berwarna Matt Black, ekzos Dark Chrome, kerusi pelbagai fungsi M Sport dengan sokongan lumbar (belakang), bonet automatik, cermin pelindung matahari, kerusi belakang yang boleh dipisahkan dan pintu soft close. Peralatan standard lain ialah kamera undur, sambungan internet, sistem BMW Professional bersama 12 unit pembesar suara dan paparan had kelajuan.
Di Malaysia, model yang mahal macam mana sekalipun pernah dibawa masuk. Sebagai contoh, Pagani Zonda dan Bugatti Veyron.
Apalah sangat jika dibandingkan dengan BMW M3 Performance Edition yang berharga kira-kira RM365,000 atau BMW M5 M Performance Edition (RM468,000). Harga tersebut tidak termasuk cukai yang dikenakan untuk dipandu di atas jalan awam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: