
PUTRAJAYA tidak perlu diperkenalkan lagi kerana majoriti orang ramai telah mengetahui kecanggihan dan keindahan landskap bandar raya pintar itu yang seperti tiada bandingannya.
Di Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat itu juga terdapat sebuah bangunan yang pasti mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang memandangnya.
Bangunan Suruhanjaya Tenaga yang terletak di Presint 2 memiliki reka bentuk seperti berlian dan tampil dengan ciri-ciri teknologi hijau yang mengagumkan.
Dahulu berlian dikenali sebagai perhiasan yang menjadi kegilaan ramai wanita tetapi Suruhanjaya Tenaga menterjemahkannya melalui medium berlainan iaitu bangunan.
Landskap luarannya sudah memberikan identiti yang menarik. Ia menampilkan unsur semula jadi dengan tanaman seperti serai wangi, keladi dan pokok jarak.
Tingkap cermin
Sebaik sahaja memasukinya, telahan ruang bangunan ini agak sempit meleset kerana penggunaan optimum warna putih di dinding serta lantai bangunan membuatkannya kelihatan lebih luas.
Bangunan yang mendapat jolokan bangunan berlian ini ternyata tidak sekali-kali meminggirkan unsur kontemporari dan moden.
Hiasan potret dinding bermotifkan gambar abstrak serta semula jadi benar-benar dirasakan impaknya.
Penggunaan set sofa pelbagai warna seperti merah, kelabu dan hitam pula mewujudkan ciri-ciri kontras supaya tidak tenggelam dengan warna putih semata-mata.
Selain itu, permaidani berwarna-warni memberikan nilai eksklusif serta aura tersendiri terhadap 'berlian' yang dibina dengan kos hampir RM70 juta ini.
Ketua Pengurusan Fasiliti dan Pentadbirannya, Hamidah Abdul Rashid memberitahu, bangunan ini menggunakan kaedah mesra alam yang unik.
Sebagai contoh, di bawah meja setiap kakitangan terdapat sebuah kotak kosong untuk membuang kertas dan peralatan pejabat terpakai.
"Setiap Khamis, bahan terbuang itu akan dijual kepada peraih," kata Hamidah.
Ceritanya, permaidani di situ juga boleh dikitar semula apabila tidak digunakan lagi.
"Bukan itu sahaja, kebanyakan perabot termasuk meja tulis dan kerusi boleh dikitar semula. Secara tidak langsung ia menjimatkan kos pembelian perabot," ujarnya.
Tadah air hujan

Tutur Hamidah, hampir 100 peratus bangunan berlian ini dilengkapi dengan cermin lut sinar yang merupakan teknik pencahayaan untuk ruang dalaman sekali gus meminimumkan penggunaan lampu elektrik.
Ciri utama lain yang menonjol ialah panel solar yang dipasang di aras tertinggi bangunan 18 tingkat ini. Panel solar itu berupaya membekalkan 10 peratus daripada penggunaan tenaga keseluruhan.
"Modul-modul itu dipasang pada empat sisi bangunan iaitu utara, selatan, timur dan barat. Ia menjimatkan perbelanjaan bil elektrik kira-kira RM40,000 setahun," jelas Hamidah.
Beliau menambah, penerapan teknologi hijau membolehkan bangunan ini menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 46 peratus manakala air 35 peratus.
Bangunan Suruhanjaya Tenaga bukan sekadar praktikal dari segi penjimatan tenaga elektrik malah bijak memanfaatkan air hujan serta air limbah di bilik air.
"Air hujan yang dikumpul dari kawasan bumbung bangunan akan disalurkan ke dalam empat buah tangki air yang setiap satu mempunyai kapasiti 9,000 liter.
"Air tersebut digunakan untuk membilas lebih 180 mangkuk tandas yang ada di bangunan ini selain digunakan untuk menyiram tanaman dan bunga hiasan di luar," ujar Hamidah.
Uniknya, simpanan air itu turut digunakan untuk menyiram rumput yang ditanam di aras teratas bangunan. Selain untuk mencantikkan kawasan, rumput itu juga berperanan menyejukkan bangunan. Stok air hujan itu turut menjadi bekalan simpanan semasa musim kemarau.
Sementara itu, air basuhan tangan dari bilik air yang dikenali sebagai air limbah akan ditapis terlebih dahulu sebelum digunakan untuk menyiram tanaman di luar bangunan.
"Semua teknologi ini dapat menjimatkan lebih RM1 juta perbelanjaan utiliti setahun," beritahu Hamidah dengan bangga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: