Saturday, June 9, 2012

Peugeot 408




DALAM iklim perniagaan yang kian mencabar, peniaga perlu bertindak agresif. Jika lembik, lambat atau bersikap sambil lewa sahaja, memang mudah para pesaing untuk mengatasi anda walaupun mereka mungkin baru setahun dua bertapak dalam perniagaan.

Dalam dunia automotif, sifat agresif boleh dilihat menerusi kekerapan produk ditawarkan. Peugeot merupakan salah satu jenama yang agresif. Selepas terkenal menerusi model 308 Turbo dan VTi, Peugeot tidak berhenti menawarkan produk-produk terbaiknya. Malah, kalau diteliti kenderaan jenama dari Perancis itu ada dalam hampir semua segmen pasaran.

Hendak sedan segmen B, ada 207. Kalau mahu MPV pula, anda boleh memilih 5008. Itu belum lagi dikira model hatchback 308, 3008 (crossover kompak), 508 (sedan eksekutif) dan jentera sport yang memang menawan hati, RCZ.

Kini, Peugeot memasuki pula pasaran sedan segmen C menerusi model 408. Jika anda rajin membaca blog permotoran tempatan, gambar-gambar curi model itu sudah tersiar di internet sejak beberapa bulan lalu.

Harga kompetitif

Akhirnya, pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) memperkenalkan kepada umum 408 pada pertengahan Mei lalu. Lebih menarik lagi, pelancaran tersebut dibuat di fasiliti terbaharu Peugeot yang pelaburannya sahaja mencecah RM15 juta.

Terletak di Glenmarie, Shah Alam Selangor, ia merupakan pusat servis Peugeot paling besar di Malaysia. Ia mampu menyelenggara sebanyak 66 buah kereta sehari.

Kalau dilihat kepada harga yang ditawarkan, 408 memang kompetitif. Terdapat dua varian iaitu 408 Turbo dan 408 dengan enjin aspirasi biasa (Naturally Aspirated, NA). Harganya ialah RM125,888 (Turbo) dan RM109,888 bagi varian 2.0 liter. Kedua-dua harga tersebut meliputi kos di atas jalan dan insurans.

Seminggu selepas pelancaran, sekumpulan wartawan diberi peluang oleh Nasim untuk memandu kedua-dua varian tersebut. Untuk kolum pandu uji kali ini, saya akan jelaskan mengenai pemanduan model tanpa turbo dahulu. Pandu uji versi Turbo akan saya tulis selepas mendapat kenderaan tersebut tidak lama lagi.

Perjalanan dari Subang, Selangor pada pagi itu dimulakan dengan varian 408 dengan enjin 2.0 liter. Masuk ke dalam kabin, perlu diakui bahawa 408 memang menawarkan ruang yang luas. Memang selesa untuk membawa lima orang dewasa sama ada bersaiz besar atau sederhana.

408 nampak eksklusif dengan penggunaan warna hitam pada sebahagian besar kabinnya. Papan pemukanya menampilkan rekaan yang tipikal Peugeot, ringkas dan tidak banyak butang. Beberapa bahagian seperti perumah tuil gear, corong pendingin hawa dan meter dikelilingi oleh kemasan krom. Kontras yang menarik.

Walau bagaimanapun, secara peribadinya saya berpendapat rekaan papan pemuka itu sudah lama. Kurang menarik perhatian walaupun ia mudah dicapai dan dioperasi. Sterengnya juga kosong tanpa sebarang butang kawalan audio atau sebagainya.

Duduk di belakang, anda boleh melunjurkan kaki dengan selesa. 408 memang menyediakan ruang yang luas bagi membolehkan penumpang duduk dengan selesa biarpun untuk perjalanan jauh.


RUANG kabin dan papan pemuka 408 menggunakan rekaan yang hampir sama dengan model-model Peugeot lain.


Kusyennya yang lembut dan tidak terlalu menegak pasti disenangi oleh mana-mana penumpang pun. Tambahan pula, terdapat corong pendingin hawa pada konsol tengah bagi membolehkan kabin disejukkan dalam tempoh masa lebih pantas.

Versi itu dikuasakan oleh enjin tanpa turbo bersesaran 2.0 liter. Kuasa yang mampu dijana oleh enjin empat silinder itu adalah 145hp @ 6,000 rpm. Sementara tork maksimum pula 200Nm @ 4,000rpm.

Enjin itu dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Ia turut hadir bersama torque converter baharu serta ciri Triptronic dan sport mode. Untuk gabungan itu, 408 masih berupaya memberikan maklum balas yang responsif.

Tubuh kenderaan tidak terasa terlalu berat walaupun ngauman enjin boleh didengar dan dirasa agak jelas jika pedal minyak ditekan keras.

Jika mahukan kuasa dengan lebih pantas, tukar kedudukan gear secara manual. Walaupun tujahan kuasanya tidaklah sekuat dan sepantas varian Turbo, namun ia tetap memuaskan.

Saya kurang senang dengan rasa sterengnya yang ringan. Apabila kelajuan bertambah, sterengnya rasa sedikit berat. Tetapi ia belum mampu untuk meyakinkan saya untuk memandu laju ketika mengambil selekoh.

Melihat kepada penampilan luarannya pula, sesiapa sahaja tidak akan tersilap bahawa sedan itu adalah keluaran Peugeot. Lambang singa bersaiz besar dan berwarna krom itu menyerlahkan bahagian hadapan 408 yang dinamik.

Emblem tersebut dipadankan dengan sepasang lampu utama halogen yang tirus ke belakang. Pada bahagian bawah bamparnya, terselit juga sepasang lampu kabus untuk perjalanan lebih selamat pada waktu malam. Lampu bahagian belakang diintegrasikan dengan but. Ia nyata kelihatan ringkas dan kemas.

Untuk varian ini, keempat-empat tayarnya dipasang pada rim aloi Rinjani bersaiz 17 inci.

Dengan tawaran jaminan selama lima tahun dan perbatuan tanpa had, anda mungkin boleh menimbang untuk memiliki sebuah 408 sekiranya anda mahukan gaya dan kualiti pemanduan jentera Eropah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: