Tuesday, June 12, 2012

Penyegat simpan peninggalan sejarah


BECA bermotosikal kenderaan yang digunakan untuk membawa pelancong melawat di sekitar Pulau Penyengat.


PULAU Penyengat sebuah pulau kecil yang berukuran dua kilometer persegi merupakan benteng dan ibu kota terakhir Kesultanan Melayu Riau-Lingga sebelum ia berkubur di tangan Belanda pada tahun 1911.

Pulau itu terkenal sekitar abad ke-19 apabila Raja kepulauan Riau-Lingga Sultan Abdul Rahman II Muadzam memindahkan ibu kota kesultanan dari Kota Daik di Pulau Lingga ke Pulau Penyengat.

Selain kaya dengan flora dan fauna, Pulau Penyengat kaya dengan pelbagai peninggalan sejarah daripada runtuhan monumen hingga kepada bangunan sejarah yang masih kekal utuh di pulau itu.

Pulau Penyengat Inderasakti nama lama bagi pulau itu terletak kira-kira enam kilometer dari Tanjungpinang Pulau Bintan, Indonesia.

Bersama 11 lagi anggota Ekspedisi Jejak Warisan Jawi III (JWJ III), rombongan ke pulau itu menaiki perahu pompong. Sepanjang perjalanan selama 20 minit itu, pelbagai cerita mengenai Pulau Penyengat diceritakan oleh Pegawai Pusat Informasi Pelancongan Tanjungpinang, Anton Rambe.

Antara yang menarik ialah bagaimana Pulau Penyengat mendapat namanya. Dahulu, pulau tersebut merupakan sebuah pulau tumpuan pelaut dan pedagang bagi mendapatkan bekalan air tawar.

"Suatu hari ada sekumpulan pedagang berlabuh mahu ambil air tawar, tetapi mereka enggan mengikut pantang larang yang diberitahu oleh penduduk kampung.

"Tanpa apa-apa petanda, datang sekumpulan serangga penyengat yang banyak lalu menyerang mereka sehingga ada yang terkorban," katanya.

Menurut Rambe, pulau itu juga merupakan mas kahwin yang diberikan oleh Sultan Mahmud Shah kepada isterinya, Raja Hamidah sempena perkahwinan mereka.

Bila pompong yang dinaiki menghampiri pulau itu, terlihat keindahan mercu tandanya, Masjid Raya Sultan Riau.

Masjid yang tersergam indah itu terletak di tengah-tengah pulau kira-kira satu kilometer dari jeti. Sebahagian besar masjid itu berwarna kuning iaitu warna rasmi institusi kesultanan di nusantara ini.

Bina masjid semula

Dibina sekitar tahun 1761 hingga 1812, Masjid Raya Sultan Riau pada asalnya berupa bangunan kayu berlantaikan batu-bata yang hanya dilengkapi sebuah menara setinggi enam meter.

Menurut penjaga masjid itu, Mohamad Pauzan, 52, pada tahun 1832, Yang Dipertuan Muda Riau ke-VII, Raja Abdul Rahman yang pada masa itu merupakan Sultan Kerajaan Riau memerintahkan masjid itu dibina semula.

"Rakyat pada masa itu bergotong-royong membina semula masjid ini dan apa yang menarik ialah mereka menggunakan campuran pasir, tanah liat, kapur dan putih telur.

"Ada cerita mengatakan terlalu banyak makanan didermakan rakyat untuk pembina masjid ini terutamanya telur sampaikan pembina masjid itu muak makan telur dan menggunakan telur sebagai bahan binaan masjid itu," katanya.

Masjid Raya Sultan Riau mempunyai tiga bangunan iaitu bangunan utama bertiang empat seluas 360 meter persegi. Ia diapit dengan dua bangunan di kiri dan kanan dan diberi nama Rumah Sotoh.

Menurut Mohd. Pauzan, masjid itu mempunyai 13 buah kubah dan empat buah menara, sekali gus menjadikan kesemuanya 17. Angka itu ialah jumlah rakaat solat yang perlu dikerjakan umat Islam dalam sehari.

Selepas mengunjungi Masjid Raya Sultan Riau, kami menaiki beca bermotosikal dengan tambang RP15,000 (RM5) untuk melawat sekitar Pulau Penyengat.

Lokasi pertama kami ialah kompleks makam. Di situ terdapat makam Raja Hamidah, makam Raja Ali Haji dan ayahandanya, Raja Ahmad.

Warna kuning mendominasi makam ini menandakan penghormatan yang amat tinggi kepada negarawan yang bersemadi di situ.

Sebuah lagi kompleks makam yang dilawati ialah makam Raja Abdul Rahman. Ia terletak di sebuah lereng bukit. Baginda merupakan arkitek Masjid Raya Sultan Riau.

Di kompleks itu, terdapat 50 makam lain yang dibahagikan menjadi dua bahagian iaitu makam di dalam dan di luar tembok. Nisannya dibuat daripada batu granit dan ditutup kain kuning.

Kompleks makam terakhir yang sempat kami ziarahi ialah makam Raja Haji Fi Sabilillah merupakan Yang Dipertuan Muda Riau ke-IV. Baginda menentang armada Belanda di bawah pimpinan Jacob van Braam dalam Perang Riau. Raja Haji yang diangkat sebagai Pahlawan Nasional Indonesia tewas ketika perang di Teluk Ketapang.

Kepahlawanan Raja Haji

Anggota Ekspedisi JWJ III bertemu dengan penjaga makam Raja Haji, seorang lelaki yang memperkenal dirinya sebagai Pak Ahmad, 58.

Menurut Pak Ahmad yang berketurunan Laksamana Bentan dari Kota Tinggi, Johor itu semangat kepahlawanan Raja Haji menggenggam hati dan sanubari masyarakat Kepulauan Riau-Lingga sehingga ke hari ini.

"Ramai pengamal ilmu mempertahan diri datang melawat makam ini untuk memberi penghormatan kepada Allahyarham Raja Haji yang merupakan tokoh dunia kepahlawanan di Riau-Lingga ini.

"Malah ada pelancong Belanda yang datang memberikan penghormatan kerana kagum dengan keberanian Raja Haji menentang Belanda suatu masa dahulu," katanya.

Istana Kantor yang dilawati merupakan istana Yang Dipertuan Muda Riau ke-VIII, Raja Ali.

Namun apa yang tinggal di Istana yang terletak di tengah-tengah Pulau Penyengat itu hanyalah bangunan induk dan sisa-sisa bangunan di kiri dan kanan.

Ketika menaiki perahu pompong meninggalkan Pulau Penyengat, pulau itu masih kukuh mempertahan legasi Kesultanan Melayu di Kepulauan Riau-Lingga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: