Saturday, June 9, 2012

Pementasan riang berlatar kota London



BIASANYA, tepat pukul 6 petang, taman tema Sunway Lagoon di Petaling Jaya, Selangor mulai kosong memandangkan waktu operasinya yang berakhir.

Namun kini, kunjungan ke taman tema di pusat beli-belah Sunway Pyramid itu akan lebih menyeronokkan dengan adanya persembahan London The Summer Musical di Amphitheater, Sunway Lagoon.

Ditayangkan pada pukul 8 malam bermula awal bulan ini hingga 8 Julai depan, pengunjung pastinya mempunyai masa untuk menikmati makan malam terlebih dahulu selepas puas bermain seharian di taman tema.

London The Summer Musical merupakan sebuah teater muzikal berlatarbelakangkan suasana di tengah kota London. Para penonton dapat menyaksikan paparan monumen-monumen penting bandar raya itu yang menjadi latar kisah cinta.

Para pelakonnya bukan sahaja dibawa khas dari United Kingdom (UK), malah penonton dapat menyaksikan gabungan bakat-bakat dari Filipina, Malaysia, Thailand dan Indonesia berdansa di pentas teater terbuka itu..

Muzikal yang membawa penonton ke zaman 70-an, 80-an, 90-an dan sekitar tahun 2000 itu menceritakan mengenai tiga orang pramugari Amerika Syarikat (AS) bernama Cindy, Crystal dan Penny.

Mereka mahu mengejar cita-cita untuk menjadi penyanyi di tengah-tengah kesibukan kota metropolis itu.

Dalam pencarian tersebut, mereka menemui cinta dan menemui diri sendiri terutamanya selepas bertemu dengan tiga jejaka British iaitu Tom, Eddie dan William.

Bawa identiti

Menurut pengarah muzikal berkenaan, Chris Colby, watak-watak utama yang menjayakan pementasan itu adalah pilihan tepat untuk menggambarkan identiti kebudayaan London dan atmosfera musim panas berangin di kota itu.


PERSEMBAHAN penuh warna-warni London The Summer Musical menampilkan latar belakang West End, London yang terkenal dengan keunikan monumen dan kesibukan kotanya.


“Selain itu, bagi menepati tradisi pementasan di Sunway Lagoon, London The Summer Musical juga akan menampilkan set pentas yang hebat yang pasti menjanjikan perjalanan teater muzikal yang unik kepada penonton.

“Persekitaran seperti Big Ben di London, Westminster, pondok telefon merah dan pengawal diraja British ibarat set nyata di Amphitheater,” katanya selepas tayangan perdana London The Summer Musical Khamis lalu.

Selain memaparkan persekitaran London, katanya, teater tersebut turut akan memaparkan mercu tanda yang terkenal di serata dunia seperti Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, New York; Picadilly Circus dan Regents Park.

“Pengunjung bakal dihiburkan dengan pilihan lagu-lagu yang dipopularkan oleh drama bersiri seperti Glee, Footloose, Moulin Rouge dan Lion King,” katanya lagi.

Dekat dengan alam

Sementara itu, Penerbit Eksekutif London The Summer Musical, Adron Leow berkata, mereka memilih Amphitheater Sunway Lagoon kerana ia adalah teater terbuka dan dekat dengan alam semula jadi.

“Kami dikenali sebagai produksi yang menganjurkan acara-acara besar bertaraf dunia di Malaysia.

“Dengan produksi West End seperti London The Summer Musical, kami menjadikan teater muzikal lebih dekat dengan para pencinta muzik di setiap lapisan masyarakat,” jelasnya.

Muzikal yang menelan belanja sebanyak RM3.8 juta itu turut mendapat tajaan Maybank, Magnum Corporation, Tourism Selangor, Malaysia Airlines dan akhbar The Sun serta ntv7 dan 8TV sebagai rakan media.

Dalam pada itu, pelakon Beth Humhreys yang membawakan watak wanita utama iaitu Penny, memberitahu, cuaca panas dan lembap di Malaysia amat sesuai untuk ‘memanaskan’ suara dan menyanyi dengan baik.


PARA pelakon utama menampilkan persembahan menghiburkan selama dua jam.


“Watak yang saya bawakan adalah seorang gadis yang naif dan bercita-cita untuk menjadi seorang penyanyi terkenal.

“Selain itu, Penny adalah seorang gadis yang suka mengembara dan melihat dunia,” katanya ketika menceritakan serba sedikit tentang watak yang dibawanya.

Pelakon berpengalaman

Beth ialah graduan London School of Musical Theater di West End dan pernah menjayakan teater muzikal Les Miserables dengan menjayakan watak utama iaitu Cosette dan Eponine di Palace Theater, West End.

Sementara itu, Sam Hallion yang membawa watak William dalam teater muzikal itu, memberitahu, personaliti wataknya ialah seorang lelaki yang berkarisma, berfikiran positif dan sentiasa gembira.

“William kehilangan cintanya akibat perkara yang tidak dapat dielakkan. Akhirnya, dia bertemu semula dengan Penny yang secara kebetulan terbang ke kota London ketika bertugas sebagai pramugari,” ceritanya.

Sam mendapat latihan di Musical Theater Academy (MTA) dan semasa latihannya tahun lalu, dia terbabit dengan Great British Musical in Concert di Criterion Theater dan menjadi suara latar untuk persembahan Julie Atherton in Concert di Apollo Theater, London.

Teater muzikal London The Summer Musical ditayangkan setiap hari kecuali hari Selasa.

Harga tiket adalah RM150, RM100 dan RM80 dan boleh dibeli di kaunter tiket Sunway Lagoon atau melalui AirAsiaRedTix.

Untuk maklumat lanjut hubungi 03-5639 0182/0000 atau layari laman web www.sunwaylagoon.com, Facebook di www.facebook.com/sunwaylagoonMalaysia atau melalui Twitter di www.twitter.com/sunwaylagoon1.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: