
SETELAH 20 tahun menjadi salah sebuah syarikat peneraju dalam industri media dan hiburan tanah air dengan menghasilkan filem cereka, animasi, rancangan televisyen dan muzik, kini Kumpulan Syarikat KRU yang diterajui oleh tiga adik-beradik Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim melangkah setapak lagi dengan menubuhkan pusat pengajian yang diberi nama Akademi KRU.
Menariknya, Akademi KRU yang telah dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di K-Workers Development Center, Cyberjaya, baru-baru ini dijangka dapat memenuhi tenaga kerja dalam industri kreatif di negara ini menjelang 2015!
Malah, Dr. Mahathir dalam ucapannya juga mengakui, pendekatan yang digunakan oleh Akademi KRU itu sangat sesuai dan ia boleh dijadikan contoh bagi penguasaan ilmu kerana ia lebih menekankan aspek praktikal berbanding teori.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Norman, 40, selanjutnya.
Kosmo!: Bilakah Akademi KRU bakal memulakan sesi pengajian?
NORMAN: Sesi pertama pengajian akan bermula pada 2 Julai ini dan Akademi KRU akan memperkenalkan tiga program Sijil Kemahiran Malaysia yang memenuhi sepenuhnya keperluan National Occupational Skills Standard oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Kementerian Sumber Manusia.
Apakah bidang-bidang yang ditawarkan?
Buat permulaan Akademi KRU memperkenalkan tiga program sijil iaitu Kemahiran Kesan Khas Visual, Animasi 3D dan Animasi 2D. Selain itu, kami juga menyediakan tenaga pengajar yang berpengalaman dan juga menyediakan perisian komputer yang terkini untuk menghasilkan kandungan kreatif yang bertaraf antarabangsa. Malah, kesemua kursus adalah direka khas oleh pakar-pakar industri kreatif berteraskan konsep latihan praktikal.
Siapakah pakar-pakar yang terlibat dalam Akademi KRU?
Kami telah melantik enam panel penasihat yang terdiri daripada pakar dari dalam dan luar negara. Antaranya adalah Presiden Motion Pictures Association Asia Pasifik, Michael C. Ellis; Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Datin Paduka Shuhaimi Baba; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar dan Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.
Selain penasihat, penuntut akan mendapat bimbingan daripada lebih lapan orang tenaga pengajar yang berpengalaman dan berkaliber.
Berapa lamakah pengajian untuk ketiga-tiga kursus itu berlangsung dan berapakah kos pengajian?
Pengajian akan berlangsung selama enam bulan yang mana ia berjumlah RM8,000 untuk setiap bidang. Kursus sijil kemahiran ini juga dibuka kepada semua tanpa kelayakan minimum malah pemegang ijazah boleh memohon.
Bilakah sesi pengajian bermula dan berapakah jumlah pelajar yang diperuntukkan Akademi KRU?
Terdapat sebanyak empat pengambilan pelajar dalam setahun iaitu pada bulan Julai 2012, Oktober 2012, Januari 2013 dan April 2013. Bagi setiap sesi pengambilan pula kami hanya memperuntukkan seramai 30 hingga 60 orang pelajar sahaja dan kelas akan diadakan di K-Workers Development. Untuk sesi seterusnya kita akan menambah bilangan penuntut dan merancang untuk membuka kursus ini kepada pelajar asing.
Bagaimanakah kursus yang ditawarkan Akademi KRU dapat melahirkan pakar-pakar kreatif seterusnya dapat membangunkan ekonomi negara?
Kewujudan Akademi KRU akan memberi satu dimensi baharu kepada ekosistem industri media dan hiburan negara dengan menyediakan keperluan tenaga kerja yang terlatih, berkaliber serta kreatif. Keperluan pakar-pakar dalam bidang animasi ini bukan sahaja bagi memenuhi keperluan Kumpulan Syarikat KRU tetapi juga untuk majikan-majikan lain dalam industri media dan hiburan di Malaysia. Industri media dan hiburan tempatan kini sedang rancak berkembang pada peringkat tempatan dan bergerak ke arah penerokaan pasaran global.
Bagaimanakah caranya untuk memohon pengajian yang ditawarkan oleh Akademi KRU?
Kepada yang berminat, boleh memohon secara talian terus melalui www.kruacademy.com atau e-mel kepada syela.jaa far@kruacademy.com sebelum 30 Jun 2012.
Khabarnya Norman, Yusry dan Edry akan kembali membuat persembahan sebagai KRU pada konsert ulang tahun KRU ke-20 pada 10 Jun ini?
Jika dulu saya pernah membuat kenyataan KRU sudah bersara membuat persembahan pentas tetapi untuk konsert ulang tahun ke-20 KRU ini pengecualian terpaksa dibuat demi peminat-peminat KRU.
Jadi, anda bertiga akan menyanyi dan menari semula di atas pentas?
Ya. Kami tidak mahu menghampakan peminat. KRU akan menyampaikan lagu-lagu popular kami dulu seperti Fanatik, Apa Saja, Awas, Mengerti dan banyak lagi.
Anda tidak berasa kekok selepas sekian lama tidak beraksi?
Sudah tentu rasa lain bila buat persembahan pentas nanti. Dengan umur sekarang, saya tidak tahu sama ada boleh lagi menari macam dulu atau tidak. Saya harap pihak media faham dan tidak menghentam kami selepas persembahan itu nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: