|
TTERLIBAT dalam penyalahgunaan dadah suatu ketika dahulu meninggalkan pengalaman pahit kepada Khairuddin Aziz, 34. Namun, dia tekad untuk melupakan diari hitam yang pernah terpalit dalam hidupnya.
Sebagai langkah permulaan, Khairuddin atau lebih dikenali Ein, menubuhkan sebuah kumpulan muzik genre hardcore/punk yang diberi nama Second Combat pada tahun 1996.
Percaya muzik boleh merubah dirinya dan rakan-rakan yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah, muzik dan lirik ciptaan Second Combat menekankan aspek-aspek kehidupan yang sihat, positif tanpa dadah serta isu-isu kemanusiaan. Antaranya termasuklah hak asasi manusia dan isu pemanasan global.
Pada tahun 1998, dia menubuhkan pula United Front iaitu sebuah label yang sering menganjurkan persembahan tanpa komersial (gig) di seluruh pelosok tanah air dengan menyelitkan elemen yang menyuntik kesedaran kepada remaja mengenai keburukan penyalahgunaan dadah.
“Penubuhan label tersebut juga selaras dengan matlamat dan perjuangan yang dibawa oleh Second Combat. Label tersebut turut menyampaikan mesej positif melalui muzik yang sinonim dengan golongan remaja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Ein, United Front masih wujud dan aktif dalam penganjuran gig sehingga kini. Terbaharu, mereka telah membawa sebuah kumpulan muzik dari Amerika Syarikat (AS) iaitu Bane pada bulan Mei lalu.
Dua tahun lalu, Ein telah menubuhkan Persatuan Belia Bebas dadah (DFYA) sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadikan Urban Village, Bangsar sebagai markas perbincangan mereka yang turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Fokus utama DFYA adalah untuk mendidik remaja agar menjauhi dadah dan menjalani kehidupan yang lebih positif melalui muzik.
“Penubuhan DFYA merupakan kesinambungan daripada perjuangan yang dibawa oleh United Front. Kami menghimpunkan kumpulan-kumpulan muzik aliran bawah tanah yang memperjuangkan muzik tanpa dadah.
“Kumpulan-kumpulan muzik ini aktif mengikuti program yang dianjurkan oleh DFYA sebagai langkah untuk mendekati golongan remaja,” jelasnya.
Agenda utama persatuan tersebut ialah mengadakan ceramah di sekolah-sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara mengenai kehidupan positif tanpa dadah, rokok, alkohol dan seks bebas.

Sehingga kini, persatuan tersebut telah menjelajah lebih 40 buah sekolah dan IPT di seluruh negara.
“Kami juga menerima dana daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) selama enam bulan. Menerusi dana tersebut, kami membeli sebuah van untuk membawa ahli persatuan ke sekolah-sekolah, kelengkapan untuk mengadakan ceramah seperti projektor dan mikrofon serta alatan muzik.
“Setakat ini penerimaan pihak sekolah dan IPT adalah baik. Mereka menyambut baik usaha kami dan menyokong cara kami menyampaikan mesej positif kepada golongan remaja,” ujarnya.
Perangi gejala dadah
Persatuan itu juga bermatlamat menjadi medium untuk berhubung dengan badan kerajaan dan NGO yang mempunyai kecenderungan untuk memerangi gejala dadah di negara ini.
Namun, sesetengah NGO tidak menerima matlamat persatuan itu terutamanya idea mereka untuk menyampaikan mesej positif dalam muzik mereka.
“Pihak tersebut seharusnya lebih terbuka terutamanya dalam membentuk remaja di negara ini untuk menghindari penyalahgunaan dadah.
“Kami menggunakan muzik sebagai pendekatan untuk mendidik remaja. Muzik dan remaja tidak dapat dipisahkan. Jika sesebuah muzik itu mempunyai nilai positif, pasti ia akan memberi pengaruh yang baik kepada mereka,” jelasnya.
Sementara itu, gitaris kumpulan metalcore, S.O.G, Raja Nazrin Shah Raja Azaham, 23, berkata, kumpulannya menyertai persatuan tersebut selepas mendapat jemputan daripada Ein, lalu mereka tertarik dengan matlamat persatuan itu untuk mendidik remaja menjauhi dadah.
Menurut beliau, kebanyakan lirik yang dihasilkan kumpulannya mengandungi mesej positif terutama kesan negatif penggunaan dadah.
“Walaupun alunan muzik kumpulan kami kedengaran agak keras, jika dihayati, liriknya mempunyai nilai-nilai positif yang sentiasa mengajak remaja menghindari dadah.
“Sebagai contoh lagu terbaharu ciptaan kami yang bertajuk, Amat Mudah Untuk Hanyut Dibawa Arus. Ia menceritakan penderitaan remaja yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Persembahan akustik
Raja Nazrin Shah menambah, kumpulannya juga aktif menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan tersebut dan turut mengadakan persembahan akustik semasa program ceramah di sekolah dan di IPT.
Bercerita mengenai kaedah atau modul yang digunakan oleh persatuan tersebut dalam menyampaikan mesej positif dalam setiap ceramah, Ein memberitahu, DFYA bekerjasama dengan Dunia Bebas dadah (DFW) iaitu sebuah organisasi yang berpangkalan di AS.
“Matlamat DFW sama seperti DFYA. Mereka turut menentang penyalahgunaan dadah dan menggunakan muzik sebagai langkah mendidik remaja untuk menjalani kehidupan lebih positif.
“Kami juga mengambil modul dan kaedah yang mereka gunakan. Antaranya persembahan video yang menunjukkan penderitaan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan muzik yang mempunyai mesej positif,” jelasnya.
Selain menggunakan muzik untuk menarik remaja ketika sesi ceramah, Ein selaku penceramah tetap DFYA turut menggunakan bahasa yang lebih santai yang mudah diterima oleh golongan remaja.
Sementara itu, vokalis kumpulan muzik aliran Post-Hardcore dari Shah Alam, Heart-A-Tack, Amir Shazrin Hashim, 22 berkata, kumpulannya sering mengikuti setiap persembahan dan ceramah yang dianjurkan DFYA sejak persatuan itu ditubuhkan.

Setiap kali program dan ceramah diadakan, pasti ada pengikut baharu yang menyatakan minat mereka terhadap perjuangan persatuan tersebut.
“Hasil pemerhatian saya, setiap pengisian dalam ceramah dari sekolah ke sekolah mempunyai mesej yang menyuntik kesedaran kepada remaja mengenai keburukan dadah kepada mereka.
“Setiap individu mempunyai perspektif mereka sendiri mengenai perjuangan yang dibawa oleh DFYA. Perjuangan DFYA tidak terhad kepada golongan remaja sahaja. Mesej yang disampaikan sangat meluas dan sesuai kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu seorang guru di Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin (SAMSH), Sungai Bertih, Klang, Firdaus Arifin, 32, berkata, beliau telah menjemput DFYA untuk mengadakan ceramah antidadah di sekolahnya pada bulan April lalu.
Menurutnya, kaedah penyampaian yang digunakan oleh pihak DFYA untuk mendidik remaja sekolah menjauhi dadah ternyata berbeza. Bahkan, program seumpamanya juga telah menarik lebih 800 pelajar.
“Sewaktu sesi ceramah, mereka menggunakan lakonan dan sketsa yang menceritakan penderitaan yang dialami oleh remaja yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Sketsa tersebut ternyata meruntun perasaan para pelajar termasuk guru-guru yang terlibat,” kongsinya.
Sementara itu, guru bimbingan dan kaunseling di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kemunting, Kuala Terengganu, Fazlina Abdul Rahman, 36, memberitahu, sesi ceramah DFYA sangat menarik dan mempunyai kelas yang tersendiri.
“Pihak sekolah telah menjemput DFYA ke sekolah kami sempena Bulan Disiplin peringkat sekolah baru-baru ini. Isi kandungan ceramah ternyata memberi kefahaman mengenai bahayanya penyalahgunaan dadah terutama kepada remaja.
“Usaha DFYA ini patut diteruskan sebagai langkah alternatif pihak Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) dan pihak sekolah sendiri untuk memerangi dadah di peringkat sekolah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: