Thursday, June 7, 2012

Jac pikat orang Indonesia

Jac
Jac
Buat persembahan di Indonesian Idol, sertai program bersama Ahmad Dhani

BUKAN pertama kali Jaclyn Victor diundang ke Indonesian Idol, namun kemunculan pada program realiti di negara jiran buat kali kedua 25 Mei lalu mengundang reaksi ‘wow’ peminat seberang yang terpegun menyaksikan kehebatannya beraksi.
Fenomena dicetus penyanyi tinggi lampai itu dikatakan menyamai Datuk Siti Nurhaliza yang masih disanjungi ramai hingga ke hari ini, malah rata-rata meletakkan persembahan dan vokalnya setaraf penyanyi antarabangsa.
Malah usai persembahan lagu Whitney Houston, I Have Nothing dan Keliru, nyanyian asal Ruth Sahanaya yang disampaikan secara duet bersama Afgan, sorakan gemuruh penonton berkumandang di segenap arena.

Biar pujian melambung dihadiahkan, belum ditambah populariti mendadak diraih terutama melihatkan pertambahan bilangan pengikutnya di Twitter, juara Malaysian Idol pertama itu tetap merendah diri selain mengakui segala-galanya disebabkan kepercayaan yang diberikan Ahmad Dhani.

“Saya anggap ini sebagai permulaan untuk menembusi Indonesia. Mungkin kedatangan pada 2008 dulu penonton di sana kurang perasan kerana saya masih baru, tetapi kali ini saya sudah bersedia mental dan fizikal sebaik ditawarkan menjadi juri menggantikan Agnes Monica serta mengadakan persembahan, dua bulan lalu.

“Terima kasih kepada Ahmad Dhani yang melihat kemampuan saya sejak Mania lagi, begitu juga pengikut muzik di sana yang menerima persembahan ini. Sokongan mereka menjadi pembakar semangat.
“Maknanya saya tidak boleh sekadar berpeluk tubuh atau mengharapkan keajaiban berlaku kerana semuanya bertitik tolak daripada diri sendiri,” katanya yang pulang ke Kuala Lumpur pada 27 Mei, selepas lima hari di Jakarta.

Lebih manis, Jaclyn atau mesra disapa Jac turut dijemput komposer dan pengasas kumpulan Dewa itu menyertai program Love, Life & Music - Ahmad Dhani membawakan dua lagu secara langsung di depan penonton.

Istimewanya, pada tarikh sama, vokalis Dewa itu meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya bersama peminat serta dua puteranya yang dirakamkan untuk program bual bicara berkenaan.

“Saya bertuah dan bersyukur dapat peluang sebegini. Sebenarnya di sana kami juga dijemput singgah ke kediamannya. Banyak yang dikongsi malah dari situ saya melihat sisi lain Ahmad Dhani yang selama ini kita nampak kekar dengan imej rock dan keras.

“Secara lahiriah dia seorang yang cukup berpengetahuan dalam bidang muzik dan di sebalik imej rock, dia penggemar jazz tegar selain sempat memperdengarkan lagu kegemarannya kepada kami.

“Sepanjang lima hari di Jakarta jadual saya cukup padat tetapi saya sangat seronok. Macam persembahan untuk Indonesian Idol, hanya selepas sampai baru saya berlatih dengan Afgan, begitu juga penampilan di Love, Life & Music di mana saya menyampaikan Granade,” katanya lagi yang begitu teruja berkongsi pengalaman.

Menyentuh mengenai perancangan Ahmad Dhani ingin melamarnya bagi projek album nyanyian duet bersama penyanyi Indonesia dan Malaysia, yang turut menyaksikan pembabitan Stacy, Hafiz serta Shila Amzah, akui Jac perkara itu masih dalam perbincangan.

Katanya, lebih manis jika perkara berhubung pembabitannya dalam projek itu diserahkan kepada wakil syarikat pengurusannya memandangkan ia masih pada peringkat awal.

Antara lain, Jac turut terbabit dalam penerbitan lagu tema filem terbitan KRU Studios, 29 Februari berjudul Jagalah Diri ciptaan Edry Abdul Halim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: