
BAGI peminat motosikal jenis tourer mewah, ada berita baik untuk anda. Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) kini menawarkan model Gold Wing 2012 ke pasaran Malaysia.
Jentera yang diperkenalkan ketika MotoXpo Show & Conference Kuala Lumpur 2012 (MotoXpo KL 2012) di ibu negara pada Februari lalu boleh ditempah menerusi kedai Impian Honda di seluruh negara.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada berkata, model itu menawarkan kelancaran, kecekapan dan keselesaan tunggangan untuk aktiviti kembara.
"Honda Gold Wing 2012 mendapat perhatian meluas sewaktu diperkenalkan pada MotoXpo 2012. Ia mencipta kejutan dalam kalangan komuniti penunggang motosikal dengan penampilan luaran yang bergaya dan prestasi termaju," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Honda Gold Wing 2012 dilengkapi unit enjin enam silinder bersesaran 1,832cc dengan sistem sejukan cecair. Kotak gear lima kelajuan diberi padanan.
Kelancaran tunggangan dibantu menerusi adunan teknologi PGM-FI yang melibatkan pendikit minyak dan pembebasan emisi gas rendah melalui ekzos.

Kapasiti simpanan barangan seluas 150 liter pastinya satu kelegaan buat penggemar aktiviti kembara. Sebagai hiburan sewaktu tunggangan, sistem audio yang menyokong pelbagai format seperti MP3, WMA dan ACC turut dipasang. Pemilik boleh menyambung peranti iPod, telefon pintar iPhone dan USB pada pemain audio berkenaan.
Didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan putih, Honda Gold Wing 2012 ditawarkan pada harga atas jalan RM174,900 seunit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: