Saturday, June 9, 2012

Debaran peserta Daisy 2012

SEBAHAGIAN daripada petugas media yang mengikuti bengkel bimbingan Chef Liza (tiga dari kiri).


SERAMAI 15 blogger masakan tempatan termasuk wakil Kosmo! diberi peluang menyediakan kek gulung Daisy dan biskut Daisy yang diadakan di Akademi Chef Liza Zainol, Batu 5, Jalan Ipoh Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sepanjang bengkel tersebut, pelbagai aksi menarik dan mencuit hati berlaku memandangkan ada dalam kalangan mereka baru pertama kali belajar membuat kek dan biskut.

Begitupun, bengkel tersebut bukan sekadar untuk bersuka ria kerana Chef Liza mendedahkan peserta dengan pelbagai teknik dan petua untuk menghasilkan kek dan biskut dengan kaedah yang betul.

Bengkel untuk blogger dan wakil media itu hanyalah untuk mengutip secebis pengalaman daripada debaran sebenar yang bakal dilalui oleh 120 orang peserta pada pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012.

Pertandingan yang mendapat kerjasama Kosmo!, minyak jagung Daisy keluaran Lam Soon dan Corningware serta Corelle yang bertindak sebagai rakan strategik kembali lagi pada tahun ini selepas mendapat sambutan hangat.

Hadiah lumayan

Menyentuh mengenai pertandingan kali ini, Chef Liza berkata, keseluruhan hadiah dan wang tunai yang ditawarkan pada cabaran ini bernilai RM65,000.

Bagi setiap kategori kek dan biskut, juara akan memenangi wang tunai RM5,000 berserta barangan Corningware dan Corelle yang bernilai RM5,000.

Naib juara pula akan membawa pulang wang tunai RM3,000 dan barangan Corningware dan Corelle bernilai RM3,000, manakala pemenang tempat ketiga menerima wang tunai RM2,000 dan barangan Corningware dan Corelle bernilai RM2,000.

Dalam pada itu, tiga penerima sagu hati akan mendapat wang tunai RM500 dan hadiah barangan Corningware serta Corelle bernilai RM500.

Bagi Pengurus Besar Perwira Nadi Training Sdn. Bhd., Pang Tieh Yee, barangan yang ditaja pihaknya merupakan barangan yang bermutu tinggi malah menawarkan jaminan selama 10 tahun.


Pengurus Pengiklanan Kosmo!, Stella Abdullah, wakil penaja Perwira Nadi Trading, Pang Tieh Yee, Chef Liza, Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin dan wakil penaja Lam Soon Edible Oils, Lo Wye Kan pada majlis pelancaran Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 di Kuala Lumpur.


“Produk CorningWare buatan Amerika Syarikat dan ia tahan lasak, tidak mudah pecah dan boleh diguna sehingga bertahun-tahun lamanya,” jelasnya lagi.

Tambahnya, pemilik akan berasa bangga dengan memiliki produk set meja makan yang berjenama terkenal antarabangsa seperti CorningWare, Pyrex, Corelle dan Visions itu.

Dalam pada itu, beliau berharap menerusi pertandingan itu, orang ramai dapat mengenali produk berkenaan.

Bengkel peserta akhir

Sama seperti tahun lalu, bengkel bersama mentor Chef Liza dengan 12 peserta yang layak ke peringkat akhir akan diadakan di Akademi Chef Liza Zainol, Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Pertandingan peringkat akhir pula akan diadakan di pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 1 Julai depan.

Sementara itu, Pengurus Produk Bahagian Makanan Lam Soon, Cecilia Lee berkata, pihaknya telah mencipta satu blog khas iaitu www.daisysehebatchef.my bagi memastikan para peserta mendapat maklumat terkini mengenai pertandingan berkenaan.

Blog tersebut akan sentiasa dikemaskini berhubung perkembangan sehingga peringkat awal dan akhir pertandingan itu.

Menurutnya, blog tersebut memberi peluang kepada pembaca blog untuk belajar resipi kek dan biskut yang terbaharu pada setiap minggu malah mereka boleh muat turun buku resipi Daisy Sehebat Chef siri satu hingga empat secara percuma.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: