Tuesday, June 12, 2012

Blog popularkan biskut raya Jamilah


JUALAN biskut Jamilah meningkat tiga kali ganda selepas dipromosikan menerusi blog.


LEMBUT, sedap dan gebu. Itulah hasil yang diperoleh pemilik Kuih Raya Kelana Jaya, Jamilah Awang, 37, apabila pertama kali menggunakan minyak jagung Daisy untuk membuat kuih dan biskut.

Menurutnya, setelah mencuba beberapa kali resipi yang diberi, hasil yang diperoleh sangat memberangsangkan. Ia berbeza dengan rasa biskut yang menggunakan marjerin atau mentega.

“Biskut Daisy ialah biskut kacang tetapi saya dapati ia berbeza daripada biskut kacang tradisional.

“Bagi saya, biskut ini tidak cepat muak, tidak berminyak dan boleh dimakan begitu sahaja. Kalau biskut kacang lain kita perlu minum air sebelum dan sesudah menjamahnya kerana ia sering terlekat di tekak,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pengusaha kuih dan biskut supaya mencuba sendiri resipi lain dengan menggunakan minyak jagung Daisy sebagai bahan utama.

Mengulas lanjut berkenaan perniagaan itu, Jamilah berkata, semuanya bermula apabila beliau membantu rakan dan keluarga terdekat menjual biskut raya.

Beliau yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta berkata, permintaan terhadap biskut raya daripada pengedar di sekitar Lembah Klang terus meningkat dari setahun ke setahun.

Tuturnya, melihat kepada maklum balas itu, suaminya, Sheikh Faisal Sheikh Mansor, 37, mencadangkan supaya beliau membina laman blog bagi memudahkan pelanggan membuat pesanan.

“Kebanyakan pelanggan akan memesan jenis kuih yang sama tetapi kadangkala mereka tidak mengetahui nama biskut tersebut.

“Jadi, suami saya mencadangkan agar dibuat blog dan beliau yang membantu mengambil gambar setiap biskut untuk dimuat naik ke dalam blog itu,” kata wanita yang berasal dari Kelantan ini.

Ujarnya, hasil jualan syarikatnya meningkat sehingga 300 peratus selepas mewujudkan blog berkenaan. Pelanggan juga boleh membuat pesanan dengan mengisi borang yang disediakan di blog terbabit.

Jelasnya, ada ketikanya beliau terpaksa menolak pesanan kerana takut tidak dapat memenuhinya.

“Kami tidak menang tangan menyediakan tempahan pelanggan yang dibuat melalui blog. Mujurlah suami dan keluarga terdekat membantu saya menyiapkan tempahan.

“Setakat ini, semuanya berjalan lancar kerana saya sudah mempunyai ejen di seluruh negara,” beritahu beliau lagi.

Menurut Jamilah, beliau berhadapan dengan cabaran dari segi masa disebabkan tuntutan bekerja secara sepenuh masa selain persaingan perniagaan.

Tambahnya, selain blog, pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat di Facebook dengan carian ‘kuihraya kelana jaya’.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: