Saturday, May 19, 2012

TRG Leather saingi produk luar

Zaitul Affiza Zainudin (kiri) bersama Pengarah Urusan Cosmopal Sdn Bhd, Zainudin Zakaria yang juga bapanya, masing-masing menunjukkan produk beg tangan dan jaket kulit kambing yang dihasilkan oleh Syarikat Cosmopal.

JIKA anda seorang peminat beg kulit dan begitu teliti dalam memastikan ia adalah halal, kenapa tidak mencuba beg dari kulit kambing buatan tempatan.

Ini kerana semua kraf kulit buatan TRG Leather Sdn Bhd mendapat pengesahan sijil halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAIT), sekali gus kian menjadi pilihan utama lelaki dan wanita muslimah untuk menggayakannya tanpa perasaan was-was.

Dengan cetusan idea pereka bentuk syarikat yang mengilhamkan rekaan baru beg tangan wanita daripada kulit kambing dan disulami songket, ia kini menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa, kata Pengarah TRG Leather, Zaitul Affiza Zainudin ketika ditemui di kilang jahitan beg tangan milik keluarganya di Serating, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Syarikat yang bertapak sejak 2008, muncul sebagai satu-satunya syarikat tempatan yang mengeluarkan keluaran produk kulit kambing secara besar-besaran di Malaysia.

Pelbagai produk

Menyedari stigma masyarakat yang mempunyai perspektif memandang rendah jenama produk tempatan, Zaitul Affiza akur dengan perubahan fesyen semasa di mana beliau perlu menjaga kualiti dan memperbanyakkan lagi strategi pemasaran untuk bersaing dengan syarikat pengeluar terkenal antarabangsa.

Dengan inovasi rekaan terbaru, Zaitul Affiza yakin syarikat mampu mencatat peningkatan jualan sebanyak 20 peratus iaitu peningkatan RM96,000 menjelang akhir tahun ini.

"Sepanjang tahun lepas, syarikat turut menghasilkan jaket, tali pinggang, topi, kasut, dompet, beg sandang daripada kulit kambing hingga mencatat jualan purata RM40,000 setiap bulan atau RM480,000 setahun," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan duduk dalam keadaan zon selesa dengan menghasilkan rekaan barangan yang stereotaip, sebaliknya pasukan reka bentuknya perlu lebih kreatif dalam menghasilkan rekaan yang boleh menarik minat pengguna menilai sendiri rekaan anak tempatan.

"Satu daripada rekaan dan idea tercetuslah penghasilan beg tangan kulit kambing beserta tenunan songket hasil kerjasama TRG Leather dengan Habibah Songket.

"Jika kita dengar beg tangan ini dari kulit kambing, mungkin terasa pelik, namun saya begitu optimis bahawa produk ini bakal menjadi trend wanita di luar sana nanti," katanya yang turut mendapat pujian secara langsung daripada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ketika datang melawat bilik pameran TRG Leather baru-baru ini.

Tidak dinafikan, mungkin ada perusahaan pembuatan beg tangan dari kulit kambing di tempat lain, namun ia dijalankan secara kecil-kecilan.

Bahan mentah

Mengenai bahan mentah, Zaitul Affiza menegaskan pihaknya tidak menghadapi masalah kerana Cosmopal Sdn Bhd membekal kulit dengan purata empat ekor kambing disembelih setiap hari. TRG Leather adalah anak syarikat Cosmopal Sdn Bhd.

Cosmopal, menjalankan penternakan kambing di kawasan seluas 32 hektar di Serating secara komersil dan terbesar di Pantai Timur.

"Begitu juga dengan pekerja di mana kami mempunyai tujuh tukang jahit mahir dan 14 separa mahir yang sentiasa komited dalam memastikan jahitan beg tangan sentiasa halus dan kemas.

"Sebagai tanggungjawab sosial pula, kami menggunakan tenaga tempatan 100 peratus termasuk memberi peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya di daerah ini," katanya.

Cawangan dalam dan luar negara

"Kita lihat kulit haiwan tersebut berpotensi sebagai menjana pendapatan tambahan yang mampu diketengahkan secara komersil.

TRG Leather turut mensasarkan pembukaan beberapa lagi cawangan baru dalam mahupun luar negara pada tahun ini.

"Bagi merealisasikan matlamat itu, pihak kami merancang untuk membuka dua outlet di Shah Alam, Selangor dan Chendering, Kuala Terengganu bagi membolehkan pelanggan ataupun peminat kulit melihat satu lagi produk beg tangan unik itu dengan lebih dekat lagi," kata Zaitul Affiza.

Sehingga kini, 30 peratus jualan syarikat adalah di luar negara termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Australia, China dan Eropah di mana mereka membuat belian secara online.

Katanya ekoran sambutan menggalakkan itu, TRG Leather juga membuka satu outlet di Scotland dan bercadang untuk menambah beberapa lagi outlet di lokasi sesuai di luar negara berikutan sambutan hangat daripada orang luar yang begitu kagum dengan keunikan hasil kraf kulit.

Zaitul Affiza berkata, beliau akan memastikan rekaan beg tangan syarikatnya itu mendapat hak cipta eksklusif dan terpelihara bagi mengelak ia dijadikan produk tiruan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Apabila semua urusan berkaitan perlindungan reka cipta intelek itu selesai, kami akan mengadakan majlis pelancaran secara besar-besaran khas untuk edisi beg tangan kulit kambing dan songket ini.

"Impian saya agar jenama ini akan menjadi produk ikon Terengganu dan Malaysia," katanya.

Syarikat anak tempatan ini mendapat kerjasama dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu dan Perbadanan Kraftangan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: