Monday, May 21, 2012

Tandas digital selesa, bersih

MODEL... beberapa model tandas digital dalam ujian di pejabat penyelidikan di ibu pejabat  Woongjin Coway di Seoul, Korea Selatan.
MODEL... beberapa model tandas digital dalam ujian di pejabat penyelidikan di ibu pejabat Woongjin Coway di Seoul, Korea Selatan.

KONSEP tandas moden yang dilengkapi sistem dikenali sebagai bidet kini digunakan secara meluas di Korea Selatan yang direka cipta khusus bagi mencari penyelesaian mengekalkan kebersihan seterusnya memberi keselesaan kepada pengguna.

Penggunaan sistem bidet ini hanya memerlukan pengguna duduk di atas tandas dan selepas selesai membuang air besar, mereka dikehendaki menekan butang dan air akan terpancut dari depan dan belakang untuk membasuh bahagian yang kotor.

  • Foto

    MELANCONG...tandas awam berbentuk piano terletak di Namyangju menjadi tarikan kepada pengunjung yang datang ke Korea Selatan.

  • Foto

    TERKINI...tandas dilengkapi sistem bidet yang dipasang di rumah Choi Hee Jung.

  • Foto

    MODEN...mangkuk tandas dilengkapi sistem digital bidet memudahkan pengguna melaraskan kelajuan air dengan hanya menekan butang.

  • Foto

    LUKISAN...tandas awam turut dihiasi lukisan yang digantung di dinding.

  • Foto

    SEJARAH...lukisan mengenai sejarah tandas Haewoojae.

Malah teknologi digelar tandas moden ini dapat memberi manfaat kepada pengguna yang amat menitikberatkan kebersihan malah ia mampu mengurangkan pembaziran air serta dapat menyalurkan najis kepada sistem lebih baik.

Di kanan tandas dilengkapi sistem bidet dipasang beberapa butang yang berfungsi mengawal kekuatan pancutan air, kawalan suhu air, sumber kuasa dan pelapik tandas yang boleh diselaraskan suhu mengikut keselesaan pengguna.Keberkesanan sistem ini terbukti mengelakkan kekotoran yang bersepah akibat pancuran air tidak stabil jika menggunakan paip air di tangan kanan berbanding teknologi tandas moden yang mementingkan aspek kebersihan.Malah sistem bidet juga mengagumkan dan boleh dianggap inovasi paling maju di dunia kerana menggunakan teknologi terkini dilengkapi butang khas yang mengawal pancutan air selain mengelakkan lantai becak dan menjamin kebersihan.

Presiden Pertubuhan Tandas Dunia (WTA), Dr Yong E Cho, berkata, kebanyakan pelancong yang datang ke Korea Selatan akan merasai keseronokan dan keselesaan ketika menggunakan tandas di negara terbabit kerana dilengkapi sistem bidet yang mengutamakan kebersihan dan canggih serta antara yang terbersih di dunia.

Menurutnya, masyarakat di negara ini terhutang budi dengan bekas presiden terdahulu iaitu Jae Duck Shim yang memberi tumpuan untuk meningkatkan kemajuan budaya kebersihan tandas di negara terbabit sehingga mencapai ke tahap sekarang.

“Tanpa kesedarannya yang mengadakan kempen pembudayaan tandas bersih dan cantik, rakyat di negara ini kini tidak akan merasai tandas moden sedia ada.

“Kami percaya budaya dan konsep tandas yang diamalkan di Korea akan dicontohi ke seluruh dunia melalui projek dikenali Toilet of Love yang akan diwujudkan di tandas awam di negara membangun,” katanya kepada seramai 20 wakil media dari Malaysia yang berkunjung ke pejabat WTA di bandar Suwon baru-baru ini bagi mengenali lebih dekat konsep budaya tandas di Korea Selatan.

Yong berkata, penggunaan sistem bidet di kalangan isi rumah sejak kebelakangan ini menunjukkan peningkatan malah kemudahan terbabit kini turut digunakan secara meluas di tandas awam.

“Bagi memberi takrifan mengenai tandas yang bersih dan berada dalam keadaan baik ia perlu melepasi beberapa aspek iaitu pengguna seharusnya mempunyai perasaan selesa dan bau menyamankan ketika menggunakan tandas.

“Malah tandas yang bersih juga membolehkan pengguna dapat membaca buku dengan tenang dan melihat lukisan cantik tergantung di dinding tanpa terganggu. Mereka juga dapat mendengar muzik di dalam tandas,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, apa yang lebih penting konsep tandas moden yang bersih akan membuatkan pengguna dapat menikmati hidangan makanan di dalamnya dengan gembira dan tenang.

“Jika kesemua ciri-ciri itu ada di dalam tandas terbabit, maka ia boleh ditakrifkan sebagai tandas bersih dan cantik yang memenuhi kriteria tandas moden.

“Selain itu, elemen paling penting bagi mengekalkan kemudahan tandas yang bersih dan cantik khususnya di bandar Suwon adalah dengan mempunyai peruntukan dana bagi menyelenggara kemudahan tandas setiap masa.

“Cara mentadbir urus yang sistematik dan konsisten dalam penyelenggaraan turut dititikberatkan bagi memastikan tandas awam sentiasa bersih,” katanya.

Seorang pengguna sistem bidet, Choi Hee Jung, 36, berkata, sebelum menggunakan kemudahan terbabit, tandasnya sering kotor menyebabkan dia mengambil keputusan membeli produk tandas keluaran syarikat Coway yang menggunakan sistem bidet berkenaan.

Menurutnya, sejak menggunakannya, dia berasa selesa dan puas hati dengan teknologi terbabit yang membuatkan tandas di rumahnya bersih. Malah pengguna juga akan menikmati khidmat selenggara daripada pihak Coway bagi memastikan produk yang digunakan berada dalam keadaan baik sekali gus menjamin kebersihan tandas.


Promosi tandas cantik

BANDAR Suwon, Korea Selatan melancarkan projek tandas cantik sejak 1997 dalam usaha membudayakan cara hidup rakyatnya yang mengutamakan kebersihan tandas.

Usaha promosi terbabit membuatkan seramai 1.1 juta penduduk di bandar berkenaan mengubah cara hidup dengan menggunakan tandas yang cantik dan bersih melalui sistem bidet.

Bagi memberi kepuasan kepada rakyatnya ketika menggunakan tandas awam yang ada, pihak kerajaan menyediakan kemudahan tandas yang lengkap dengan hiasan lukisan di dinding, menghias bunga malah pengguna boleh menghayati muzik yang dipasang berserta wangian menjadikan tandas terbabit elegan dan moden.

Usaha yang dijalankan itu bagi menjadikan tandas awam yang ada di bandar itu tergolong dalam kategori tandas berkelas dunia yang menitikberatkan kebersihan dan keselesaan ketika menggunakannya.

Reka bentuk tandas awam yang menarik dengan pelbagai bentuk dilengkapi teknologi bidet menjadikan ia tandas moden yang bersih dan mesra pengguna.

Malah pembinaan tandas awam ini turut menjadi salah satu pakej pelancongan kepada pelancong yang datang ke Korea Selatan yang akan berasa teruja ketika melihatnya malah mereka turut dapat merasainya dengan sendiri.

Haewoojae (Muzium Tandas) dibina oleh Jae Duck Shim pada 2007 dalam usahanya membudayakan pengamalan penggunaan tandas bersih dengan menyediakan maklumat berkaitan tandas di dalamnya dan sejarah mengenainya turut dipamerkan di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: