Monday, May 21, 2012

MPPA Bikers tawan Gajah Putih

PHUKET Bike Week merupakan minggu pemotoran paling terkenal di Asia Tenggara.

Walaupun terpaksa menempuh perjalanan beribu batu, namun mereka sanggup mengembara berbulan-bulan lamanya semata-mata merealisasikan impian dan membuktikan bahawa penunggang Malaysia bukanlah 'katak di bawah tempurung'.

Sebagai langkah pertama, Persatuan Jurufoto Media Malaysia Bikers (MPPA) memilih destinasi Phuket, Thailand sebagai lokasi jelajah pertama pada 19 hingga 23 April 2012.

Sambil melihat keindahan negara jiran, peserta MPPA yang menunggang tujuh buah motosikal iaitu Kawasaki Z1000, Z750, Versys, Er6-N, Yamaha CBR 650 dan Yamaha XJ6 termasuk sebuah kenderaan sokongan turut mempromosikan gagasan 1Malaysia kepada pengunjung Festival Phuket Bike Week.

Biarpun sebelum ini, kesemua peserta tidak pernah menunggang sejauh itu, namun bermula daripada 'sembang di kedai kopi', mereka penuhi impian berkunjung ke negara Gajah Putih secara konvoi amal meredah perjalanan sejauh kira-kira 2,000 kilometer (km) pergi dan balik.

Hadapi cabaran

Sebelum bertolak, para peserta berkumpul menikmati sarapan di Restoran Syed Bistro, Bangsar seawal pukul 7 pagi.

Sebelum perjalanan bermula, mereka diduga pelbagai masalah termasuk hujan lebat, tayar pancit dan peserta tidak berapa sihat sehinggakan ada yang mencadangkan agar konvoi tersebut ditunda ke tarikh yang lain.

Namun para peserta menguatkan semangat berbekalkan perancangan yang telah disediakan tiga bulan lebih awal membolehkan mereka memulakan perjalanan pada pukul 9 pagi menuju ke Phuket dengan menetapkan hentian pertama di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Tapah.

NAIB Presiden MPPA, Rohaizat Abdul Samad melancarkan konvoi amal ini.

Sampai sahaja di kawasan Behrang, hujan turun dengan begitu lebat sehinggakan jalan yang dilalui peserta sukar dilihat.

Hanya jarak 50 meter sahaja mampu dilihat para peserta yang sekadar bergerak dengan kelajuan 70 ke 80 kilometer (km) sejam.

Setibanya di Tapah pada pukul 10.30 pagi, para peserta mengambil peluang untuk mengisi minyak dan seterusnya bergerak menuju ke Tol Juru.

Apabila tiba di Tol Juru, cuaca bertukar cerah dan baju serta seluar kami pun sudah kering.

Salah seorang peserta MPPA yang bertugas di Pulau Pinang menyambut kedatangan kami di Tol Juru dan kemudian meneruskan perjalanan.

Melihatkan keadaan jalan berada dalam keadaan baik, para peserta mula meningkatkan kelajuan mengikut had kelajuan papan tanda yang terdapat di sepanjang jalan.

Kumpulan kami tiba di Bukit Kayu Hitam pada pukul 4 petang untuk menguruskan dokumen motosikal memasuki Thailand dan pada pukul 6 petang, barulah para peserta berjaya melepasi Danok yang merupakan sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Seterusnya, kami bergerak ke Hat Yai yang jaraknya lebih kurang 60 km. Tiba sahaja di sana, kami mengambil keputusan untuk bermalam di sebuah hotel bajet yang terletak di tengah pusat bandar tersebut.

AHLI MPPA Bikers mengambil peluang bergambar kenangan di hadapan tapak ekspo Phuket Bike Week.

Keesokan paginya, perjalanan sejauh 563 km dari Malaysia diteruskan lagi menuju ke Phuket yang terletak lebih 400 km ke hadapan.

Keadaan jalan di Thailand tidak banyak berbeza, cuma bezanya mungkin dari segi banyak tempat membuat pusingan U.

Justeru, setiap kali melalui kawasan pusingan U, kami perlu lebih berwaspada dan memperlahankan kelajuan.

Melalui bantuan alat pengesan kedudukan (GPS), akhirnya kami sampai ke hotel yang ditempah di Phuket iaitu Hotel Baumanburi di pantai Patong.

Selain bantuan alat GPS, kami juga bertanya kepada penduduk setempat mengenai jalan mana yang perlu dilalui bak kata pepatah, malu bertanya sesat jalan.

Namun sebelum sampai ke kawasan pantai Patong, kami perlu melalui sebuah bukit 45 darjah curamnya dengan jalan bengkang-bengkok.

Kami mengikut rentak penunggang motosikal berkuasa tinggi lain yang berada di hadapan dengan menggunakan gear yang rendah semasa mendaki dan menuruni bukit tersebut.

Syukur, semuanya selamat sampai ke destinasi yang dituju tanpa ada apa-apa kemalangan dan masalah lain.

Selama dua malam kami di sana bagi bersama-sama memeriahkan Phuket Bike Week bersama rakan-rakan pemotoran terutamanya dari negara Asean dan juga dari negara lain seperti Australia, Amerika Syarikat dan sebagainya.

PARA peserta mengambil kesempatan untuk beramah mesra bersama anak-anak yatim di Perkim Bahagian Negeri Kedah.

Ada yang menyewa motosikal dari Singapura dan Kuala Lumpur untuk hadir ke sini dan ada juga bikers yang menghantar motosikal mereka menaiki kapal kargo sebulan sebelum festival ini berlangsung.

Menariknya festival yang diadakan setahun sekali itu menawarkan pelbagai aktiviti yang disertai oleh deruan enjin motosikal berkuasa tinggi pelbagai jenis.

Di sana, kami berkesempatan melihat pelbagai jenis motosikal buatan sendiri yang direka oleh penduduk tempatan daripada model motosikal kapcai sehinggalah ke model motosikal yang tidak pernah ditemui di Malaysia.

Antara aktiviti paling meninggalkan kenangan buat kami adalah ketika menghadiri majlis makan malam bersama kesemua peserta dari pelbagai kelab.

Kami mengambil kesempatan ini untuk berkenalan dan berkongsi pandangan mengenai dunia pemotoran masa kini.

Selepas dua malam berada di Phuket, kami bergerak pulang ke tanah air. Bagaimanapun, konvoi kami tidak berakhir di sini kerana sebelum tiba di Kuala Lumpur, kami singgah menyampaikan sumbangan yang telah dikutip oleh MPPA Bikers daripada pihak penaja dan kutipan ahli kepada anak-anak yatim di Perkim Bahagian Negeri Kedah dalam satu majlis ringkas.

Kesempatan ini diambil oleh para peserta untuk beramah mesra dengan anak-anak di sana yang baru pulang dari sekolah dan membawa mereka bersiar menaiki motosikal mengelilingi kawasan kediaman mereka.

Tunggangan amal ini merupakan permulaan kepada semua peserta untuk meneruskan lagi aktiviti sebegini pada masa hadapan.

Pengalaman yang diperoleh, bau kurang enak yang dihidu ekoran bermandi hujan, peluh dan kering, kepenatan yang dirasai berhari-hari lamanya sehinggakan ada peserta demam selepas tamatnya konvoi menjadi kenangan buat kami semua.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan program pertama MPPA Bikers yang pasti akan diteruskan pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: