Monday, May 21, 2012

Menjengah mistik di bumi Tana Toraja

SETIAP tengkorak yang telah dipegang oleh pengunjung perlu diberi upah sebatang rokok.

Bentuk muka buminya yang unik sekali imbas juga kelihatan seperti tangan-tangan yang menggapai sesuatu. Jika di wilayah utara, bandar Menado menjadi tumpuan pelancong, maka di selatan pula, Makassar dan Tana Toraja menjadi tarikan.

Namun dalam banyak-banyak tempat menarik di Sulawesi Selatan, destinasi Tana Toraja menjadi tarikan utama. Jarak perjalanan dari Makassar ke lokasi itu adalah sekitar 310 kilometer jika mengikut Jalan Trans Sulawesi.

Tarikannya yang luar biasa menyebabkan banyak penerbit dokumentari dari seluruh dunia termasuk dari Malaysia melalui slot Dunia Tersembunyi terbitan TV3 singgah untuk merakamkan keunikan adat pengkebumian masyarakat Toraja.

Apa yang membuatkannya begitu unik adalah adat dan budaya majoriti masyarakat di sini yang beragama Kristian Protestan dan Katholik. Penganut agama Islam hanya sekitar enam peratus sahaja. Jadi, tidak hairanlah kita boleh melihat banyaknya deretan gereja di kiri dan kanan jalan raya.

Masyarakat Toraja dikatakan masih mempertahankan gaya hidup khas yang dipercayai mengikut cara hidup Austronesia yang asli dan dikatakan juga mirip budaya hidup masyarakat Nias.

Namun apa yang paling menarik perhatian pelancong adalah cerita tentang mayat berjalan yang pernah dipaparkan dalam dokumentari National Geographic. Fenomena mayat berjalan bukanlah cerita legenda, sebaliknya kisah benar yang berlaku dalam masyarakat tersebut sejak ribuan tahun dahulu.

Peluang menyelusuri adat dan budaya masyarakat Toraja tidak dilepaskan penulis dan rakan-rakan yang singgah di Rantepao yang terletak di Toraja Utara. Kenalan penulis, Muhd Idris Avendy (Lilo) dari Makassar memperkenalkan rakannya dari Tana Toraja, Maliq dan Arma kepada kami. Merekalah yang menjadi pemandu pelancong kepada kami sepanjang berada di bumi mistik itu.

Maliq memberitahu, adat tersebut semakin kurang dipraktikkan kerana generasi terdahulu yang mewarisi ilmu 'membolehkan mayat berjalan' tidak mewariskannya kepada generasi sekarang.

"Ia...memang ada tetapi itu ratusan tahun dahulu. Sekarang tidak banyak yang praktik walaupun masih ada," katanya.

Mengikut ceritanya, mayat yang sedang berjalan itu sebenarnya telah dipuja dan sesiapa yang melihatnya tidak boleh menegurnya.

"Lihat saja...tak boleh ditegur. Kalau ditegur, mayat itu tak bisa (tak boleh) berjalan sendiri lagi," katanya sambil memberitahu mayat itu akan berjalan beberapa ratus meter ke tapak kuburnya di tanah perkuburan milik keluarga.

Ini kerana setiap keluarga dan generasinya mempunyai tanah perkuburan sendiri dan itu bermakna keturunan lain tidak boleh menggunakan perkuburan tersebut.

Misalnya, tanah perkuburan Londa adalah khusus untuk keluarga A, maka hanya keluarga A boleh mengkebumikan mayat di situ. Keluarga lain perlu mencari tapak perkuburan lain, misalnya di Ke'te Kesu yang juga merupakan salah satu tanah perkuburan yang sempat dilawati penulis.

TIDAK lengkap kunjungan tanpa membeli-belah barangan cenderahati di Rantepao.

Londa adalah kawasan bukit batu kapur yang curam. Di situ, keranda disusun dan diletakkan mengikut garis keluarga yang mana pada satu sisi lain, keranda sekadar dibiarkan terbuka menghadap pemandangan luar bukit. Ia terletak kira-kira lima kilometer (km) ke arah selatan Rantepao.

Melawat tanah perkuburan di Tana Toraja tidaklah menyeramkan. Ini kerana ia seperti sudah menjadi destinasi pelancongan yang dikelilingi kemudahan seperti tandas awam, gerai jualan baju T, cenderahati dan lain-lain.

Malah tiket masuk dikenakan kepada pengunjung yang mana kami seramai 13 orang dikenakan bayaran sebanyak Rp100,000 (RM33.14), selain khidmat lampu pelita minyak tanah yang juga dikenakan sewa sebanyak Rp100,000 untuk satu kumpulan.

Laluan masuk ke bukit batu kapur itu telah disimen dan dari jauh, sudah kelihatan kubur tergantung pada cerun bukit, sekali gus membuatkan kami berfikir bagaimana keranda tersebut diusung dan diletakkan dalam posisi sedemikian.

"Memang sukar untuk meletakkan keranda itu di situ," kata pula Arma sambil menuding jari ke arah deretan keranda yang tergantung di lereng bukit batu kapur berkenaan.

Beliau menjelaskan, banyak kudrat diperlukan bagi mengangkat setiap keranda untuk diletakkan di lereng atau cerun bukit tersebut.

"Keranda akan diusung sehingga ke puncak bukit dan kemudian diturunkan menggunakan tali," ujarnya.

Terdapat juga keranda diletakkan di celah rekahan batu kapur yang paling tinggi dan mengulas perkara tersebut, Maliq berkata: "Lagi tinggi gantungan kubur itu, maka lagi tinggi darjat si mati".

Selesai 'beramah mesra' dengan tengkorak di Londa, rombongan kami menuju ke tanah perkuburan Ke'te Kesu pula. Namun, dalam perjalanan ke situ, kami ternampak seperti ada satu pesta di tepi jalan raya.

KAWASAN yang dipenuhi dengan batu megalit di Rante Karassik turut menarik pelancong.

Pemandu kereta sewa memberitahu bahawa ada kenduri kematian sedang diadakan dan bertanya kepada kami, adakah kami mahu berhenti untuk melihat upacara tersebut. Memikirkan peluang untuk memahami budaya suku kaum Toraja terhampar di hadapan mata, maka kami berhenti seketika.

Kelihatan tiga ekor babi berwarna hitam dan seekor kerbau sedia untuk 'dikendurikan'. Khemah didirikan di tepi sawah padi dan ahli keluarga si mati berpakaian serba hitam.

Kami sempat melihat kaedah yang digunakan untuk membunuh babi tersebut. Setiap ekor babi diikat pada buluh dan dipikul ke seberang jalan di kawasan berumput. Sebilah pisau tajam digunakan untuk menikam tepat ke jantung haiwan tersebut. Menggelupur kurang satu minit, barulah haiwan tersebut 'senyap' untuk selamanya.

"Kalau di sini, kenduri kematian lebih mahal daripada kenduri kahwin. Mesti ada babi dan kerbau untuk disembelih. Kalau keluarga itu miskin dan tidak cukup wang untuk membeli haiwan tersebut, maka mayat tidak boleh dikebumikan.

"Jadi, mayat itu akan diawet dan diletakkan di dalam rumah sehingga keluarga si mati mempunyai wang yang cukup untuk membeli kedua-dua jenis haiwan ini. Kenduri pula berlangsung selama berhari-hari, malah ada yang memakan masa berbulan," jelasnya lagi.

Namun apa yang membuatkan kenduri kematian menjadi sangat mahal adalah kerana setiap keluarga seolah-olah mahu berlumba-lumba untuk menyembelih kerbau yang berharga mahal.

Paling mahal yang penulis temui adalah kerbau berwarna putih (albino) yang berharga kira-kira RM60,000 seekor yang ditambat di halaman rumah adat di Ke'te Kesu.

"Ini ibu... ini rokoknya" "Kerbau ini susah didapati kerana ia berwarna putih. Lagi susah kerbau diperoleh lagi mahal harganya. Keluarga yang kaya memang mencari kerbau jenis ini," katanya sambil memberitahu kerbau itu akan dikorbankan dalam masa seminggu dari tarikh kami melihatnya pada 9 April 2012 lalu.

Menurutnya, keluarga yang kaya biasanya menyembelih berpuluh-puluh ekor kerbau dan beratus-ratus ekor babi untuk berpesta kematian selama berbulan lamanya.

"Sebab itulah, ada orang bergurau. Kalau mahu kahwin dengan anak gadis Toraja, pastikan keluarganya sihat dan tidak ada yang sakit menunggu ajal. Ini kerana jika berlaku kematian sebelum majlis kenduri kahwin, maka majlis pernikahan terpaksa ditangguhkan.

"Ada kalanya ditangguhkan untuk satu tempoh yang lama. Hanya selesai kenduri kematian yang kadang-kala memakan masa berbulan lamanya barulah majlis kenduri kahwin boleh diadakan. Tetapi jangan pula dalam tempoh itu, ada lagi ahli keluarga yang meninggal," ujar Lilo sambil ketawa.

Tanah perkuburan di Ke'te Kesu juga terletak di bukit batu kapur. Kelihatan tengkorak berusia ratusan tahun bersepah apabila keranda kayu yang digunakan mereput. Ke'te Kesu terletak empat kilometer dari tenggara Rantepao.

Tentang tengkorak yang kelihatan banyak bersepah di situ, ada dalam kalangan kami yang berani memegangnya untuk bergambar. Namun, setiap tengkorak yang dipegang itu perlu diletakkan semula di tempatnya semula dan diberi upah sebatang rokok.

"Ini ibu...ini rokoknya," kata Maliq kepada penulis yang tercengang. Ini kerana penulis bukanlah seorang perokok tetapi kenapa dihulurkan sebatang rokok kepada penulis?.

"Untuk apa rokok ini," tanya penulis.

Rupa-rupanya rokok itu untuk diberi kepada tengkorak yang penulis telah pegang tadi.

"Jangan nyalakan api rokoknya. Biarkan begitu sahaja...," ujarnya sambil menegaskan jika syarat itu tidak dipatuhi maka roh milik tengkorak itu akan mengikut penulis pulang, sekali gus boleh menyebabkan penulis kerasukan.

Di Ke'te Kesu juga, kami dapat melihat rumah adat masyarakat Toraja yang disebut tongkonan. Atapnya melengkung menyerupai perahu yang diperbuat daripada buluh (dahulu), namun sekarang atap rumah dibuat daripada zink. Di bahagian hadapan rumah, terdapat tanduk kerbau disusun rapat. Tongkonan juga digunakan sebagai tempat untuk menyimpan mayat.

Selain tanah perkuburan yang menjadi tumpuan pelancong, Tana Toraja juga terkenal dengan destinasi berbukit bukau yang menghijau di Batutumonga dan pergunungan Sesean, Tinnimbayo. Di situ, terdapat sebuah kedai kopi di lereng bukit yang menghadap sawah padi luas terbentang. Latar belakangnya amat cantik dengan kawasan pergunungan Latimojong dan puncak Rante Mario boleh kelihatan jika cuaca baik.

Kami singgah di kedai kopi itu untuk menghirup kopi o panas Toraja sambil merehatkan mata melihat kehijauan sawah padi. Terletak di ketinggian 1,215 meter dari paras laut, suhu yang agak dingin dengan bayu gunung yang segar mampu merehatkan minda.

Bagi yang ingin berkunjung ke Tana Toraja, usah bimbang kerana walaupun majoriti penduduknya beragama Kristian, namun masih ada kedai makan Muslim misalnya di Warung Surabaya dan Rumah Makan Muslim Satria Desa di Rantepao.

Bilik hotel yang selesa untuk dua orang hanya dikenakan bayaran Rp250,000 (RM84.00) satu malam di Hotel Indra Toraja. Hubungi talian +62042321583 atau emel di alamat indrahotel63@yahoo.com atau layari laman web www.indratorajahotel.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: