Sunday, May 20, 2012

Kena maki, tipu lumrah hidup

SURESH...bersyukur tidak dicederakan.
SURESH...bersyukur tidak dicederakan.
SEGAR...baru bawa teksi.
SEGAR...baru bawa teksi.

TEPAT jam 10 pagi, kami menahan sebuah teksi berdekatan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Wangsa Maju. Kawasan itu lazimnya sesak dengan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan awam untuk ke tempat kerja.

Pemandu teksi itu memperkenalkan dirinya sebagai Azizan, 35. Bersama beliau, kami mengambil masa enam jam iaitu sehingga jam 4 petang untuk melihat kepayahan golongan pemandu teksi mencari rezeki. Yang dapat disimpulkan, bukan senang mencari pelanggan yang benar-benar menghargai kehadiran mereka.

Selepas dua jam mengikut Azizan mengambil dan menurunkan penumpang di kawasan sekitar, termasuk ibu kota, nasib kurang baik apabila menemui seorang penumpang yang biadab dan kurang sopan tutur katanya ketika melalui Jalan Ampang.

“Nak pergi Sungei Wang,” kata seorang lelaki muda berusia 20-an dengan kasarnya tetapi tidak dihiraukan kami yang tahu memang ada orang berperangai sedemikian.Selepas lima minit berdiam diri, Azizan cuba berbual dengan lelaki terbabit tetapi disambut dengan nada yang kedengarannya tidak sudi untuk berbual.


Azizan terus cuba melanjutkan bicara namun belum habis soalannya, lelaki itu memarahi Azizan kerana terlalu banyak bertanya.

“Diam, boleh tak? Banyak tanya pulak. Saya tak sudi nak berborak dengan awak. Tak sama taraf dengan saya,” herdik lelaki itu hingga membuatkan Azizan terdiam seribu bahasa.

Biadap bunyinya, tetapi itu menjadi sebahagian daripada rutin Azizan. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Ada harinya Azizan mendapat penumpang yang baik budi pekertinya, tidak kurang juga bersikap biadap seperti lelaki muda itu.

Menurut Azizan, kejadian seumpama itu lumrah baginya sejak menjadi pemandu teksi beberapa tahun lalu.

“Saya dah biasa. Malah, ada kejadian lebih teruk apabila penumpang menuduh saya mengubah suai meter tambang. Saya mempertahankan diri, namun penumpang itu hanya membayar separuh daripada tambang RM12 dari Kelana Jaya ke Kota Damansara,” katanya.

Tidak dapat dinafikan, ia antara pengalaman berharga kerana wartawan melihat sendiri apa yang diceritakan pemandu teksi apabila terpaksa berdepan pelbagai kerenah penumpang.

Sebelah malamnya pula, wartawan meniti kehidupan pemandu teksi malam bermula jam 8 untuk melihat aktiviti mereka.

Kami mengambil keputusan menahan teksi di sekitar Bangsar memandangkan ia antara kawasan tumpuan teksi kerana ramai penumpang.

“Jemput naik. Nak ke mana?” tanya seorang pemandu teksi ketika wartawan menahan teksinya di Jalan Travers.

“Pusing-pusing Kuala Lumpur,” kata penulis ringkas sebelum dia melihat jam di tangannya, seolah-olah mengira sesuatu.

Memperkenalkan diri sebagai M Segar, 51, dia baru empat bulan memandu teksi selepas berhenti kerja di rumah ibadat di Petaling Jaya.

Sepanjang tempoh menaiki teksi, semuanya berjalan lancar dan normal. Sambil memandu, Segar rancak menceritakan pengalamannya yang baru bergelar pemandu teksi.

Dia yang pada mulanya memandu perlahan di kawasan Brickfields, kemudian memecut laju menghala ke Jalan Tun Sambanthan menuju ke Jalan Tun Tan Chen Lock.

Di situ, Segar kemudian menunjukkan sebuah kedai kepada wartawan di mana jam 12 tengah hari itu, dia menghantar dua pelanggan.

“Tadi di tepi ini, ketika menurunkan barang penumpang, saya nyaris dilanggar sebuah kenderaan dipandu wanita.

“Nasib baik penumpang jerit dan saya sempat lari, kalau tak, pasti saya dan teksi menjadi mangsa,” katanya yang mendakwa pemandu wanita itu menggunakan telefon bimbit ketika kejadian dan dengan selamba memecut laju meninggalkan tempat itu.

Walaupun baru empat bulan memandu, dia seolah-olah menghafal setiap laluan, malah apabila penulis memintanya ke KLCC, dia membelok ke satu lorong dan kurang 15 minit kemudian sudah tiba di lokasi dituju.

“Kerja macam saya ini, laluan sulit (alternatif) kena tahu... mana nak belok ketika laluan ditutup atau sesak.

“Kalau tak sesak bukan Kuala Lumpur, jadi kita sebagai pemandu teksi kena bijak, kalau tak, terpaksalah mengharungi kesesakan teruk,” katanya.

Segar berkata, kebanyakan penumpang yang menaiki teksinya pada waktu malam mahu berhibur di pusat hiburan selain bersiar-siar di lokasi seperti KLCC, Bukit Bintang dan Sungei Wang Plaza.

Sebaik memasuki Jalan Ampang, kami berpusing-pusing di kawasan itu sambil melihat beberapa pekerja bangunan pencakar langit sibuk bekerja sebelum meminta Segar ke Kampung Baru yang menjadi tumpuan golongan gemar makan.

Ketika dalam perjalanan, Segar menceritakan, dia pernah membawa seorang penumpang cacat penglihatan dari Brickfields ke situ untuk menikmati sup kambing.

Memandang hari itu malam minggu, laluan masuk ke Kampung Baru sesak walaupun jam di tangan menunjukkan 1 pagi.

Kami kemudian membuat keputusan balik dan dalam perjalanan pulang dia mencadangkan kami ‘mencuci mata’ di Jalan P Ramlee.

Kami bersetuju, namun sebaik tiba setengah jam kemudian, kami yang mulanya bercadang melepak di situ terpaksa melupakan hasrat kerana laluan sesak.

Kami hanya mampu melihat ‘syurga dunia’ dari tingkap kereta, disusuli bunyi bising kelab malam.

Dalam perjalanan pulang, kami melalui Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dan menurut Segar, lokasi itu menjadi pilihan sebahagian besar penumpangnya.

“Mungkin suka dengan jalan TAR... ada macam-macam, sebab itu mereka selalu ke sini,” katanya ringkas.

Dalam perjalanan pulang, dia sempat menceritakan pengalaman pahitnya apabila dua lelaki warga Afrika enggan membayar tambang.

“Kejadian berlaku jam 7 malam. Saya ketika itu baru seminggu jadi pemandu teksi dan mengambil mereka dari KL ke Bandar Puteri, Puchong.

“Ketika tiba di sana, seorang daripada mereka berpura-pura seluk poket sebelum kata tak ada duit. Mulanya saya bertegas tetapi selepas dia menunjukkan penumbuk, saya tak jadi melawan dan menganggap ia pengalaman pahit pertama,” katanya.

Selain mengikuti dua pemandu teksi itu, kami sempat berbual dan duduk bersama seorang pemandu teksi yang menunggu pelanggan di Jalan Bukit Bintang di depan pusat beli-belah Lot 10.

Pemandu teksi separuh masa, V Suresh, 39, berkata sepanjang bertugas sebagai pemandu teksi tiga tahun lalu, dia beberapa kali diperdaya penumpang.

“Seingat saya, dua kali saya tidak mendapat bayaran ketika membawa penumpang pulang ke rumah mereka pada waktu malam dan jaraknya pula bukan dekat daripada tempat biasa saya menunggu iaitu di Bukit Bintang.

“Mereka menggunakan perkhidmatan seperti biasa dan apabila tiba ke destinasi, mereka terus meluru keluar dari kereta bagi mengelak membayar tambang. Sungguh mengecewakan kerana warga tempatan turut melakukan perbuatan sama,” katanya.

Suresh berkata, perkara sebegini tidak dapat dielak dan dijangka kerana ramai juga rakannya tertipu oleh penumpang tempatan dan luar negara.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tidak dicederakan penumpang ketika menjalankan tugas setiap malam.

“Saya ada dengar kes pemandu teksi dirompak dan diugut. Mujur saya tidak mengalami perkara seperti itu. Kalau tidak dibayar tu, anggap sedekah saja walaupun sedikit rugi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: