Saturday, May 19, 2012

Kelab Doktor Muda tingkat kesedaran

Rosnah Abdul Rashid Sirlin meletakkan tapak tangan pada mural yang dilukis oleh Kelab Doktor Muda SK Wawasan Seremban 2 sebagai simbolik pelancaran Pertandingan Melukis Mural Kesihatan dan Kebersihan Kebangsaan Antabax.

BERDASARKAN kajian, purata tangan manusia mempunyai hampir 150 spesies bakteria dengan 80 peratus jangkitan penyakit tersebar melalui tangan yang kotor.

Tabiat kebersihan yang mudah iaitu membasuh tangan dengan sabun atau mensanitasi tangan dapat mengurangkan jumlah statistik ini.

Ini kerana membasuh tangan dengan cara yang betul telah terbukti dapat mengurangkan risiko cirit-birit sebanyak 20 peratus dan risiko jangkitan saluran pernafasan sebanyak 24 peratus.

Berlandaskan hakikat itu jugalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang kepentingan asas penjagaan kebersihan.

Antara usaha tersebut ialah memperkenalkan Kelab Doktor Muda yang menyasarkan golongan remaja khususnya murid sekolah.

Ia merupakan kesinambungan daripada program health promoting school yang pertama kali diperkenalkan pada 1989 berbentuk pembimbing rakan sebaya mengenai ilmu asas kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin berkata, Kelab Doktor Muda merupakan program kokurikulum yang dianggotai oleh para pelajar Tahun 4, 5 dan 6 bagi melatih murid-murid untuk menjadi mentor kepada rakan-rakan sebaya.

Para pelajar ini seterusnya bertindak sebagai pemangkin perubahan kepada pengetahuan, sikap dan amalan positif tabiat penjagaan kesihatan di kalangan pelajar-pelajar sekolah.

"Para pelajar yang menyertai aktiviti kelab ini dilatih mengenai asas kesihatan bagi membantu mereka mengajar rakan sebaya.

"Secara tidak langsung mereka menjadi role model dan motivator kesihatan kepada rakan-rakan mereka di sekolah," katanya.

Tambah Rosnah, Kelab Doktor Muda berperanan penting dalam memupuk tabiat kesihatan dan kebersihan yang baik bagi murid-murid dari usia yang muda.

Menurut Rosnah, sehingga kini terdapat kira-kira 1,392 atau 18 peratus buah sekolah rendah di seluruh Malaysia yang telah menubuhkan Kelab Doktor Muda dengan penglibatan 36,000 orang murid sekolah Tahun 4 hingga 6.

"Kita harus membentuk tabiat ini sewaktu kanak-kanak masih muda lagi dan dengan adanya program Kelab Doktor Muda bagi tahun 2012, terdapat pelbagai aktiviti interaktif yang mampu menarik minat mereka untuk menyertainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Pertandingan Melukis Mural Kesihatan dan Kebersihan Kebangsaan Antabax di Sekolah Kebangsaan Wawasan Seremban 2, Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Pertandingan tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti bagi menggalakkan sekolah-sekolah rendah menubuhkan Kelab Doktor Muda .

Sekolah yang mempunyai mural terbaik akan menerima RM10,000 yang akan diagihkan kepada pelajar-pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) terbaik pada tahun 2012.

Manakala empat sekolah terbaik pula akan menerima satu tahun bekalan produk Antabax, yang boleh digunakan di kawasan-kawasan umum persekitaran sekolah.

Dalam pada itu menurut Rosnah, projek melukis mural oleh Antabax akan memberi peringatan untuk setiap hari mengenai tabiat penjagaan kebersihan dan kesihatan kepada kanak-kanak apabila mereka berada di sekolah.

Serentak dengan majlis itu Rosnah turut melancarkan skuad mobil Zoomers Kelab Doktor Muda .

Skuad ini diperkuat dengan 46 orang anggota kesihatan dan pelajaran telah dilatih untuk berperanan sebagai jurucakap utama Zoomers Kelab Doktor Muda yang akan diadakan di setiap negeri.

Skuad ini bergerak bermula di Seremban dan dijangka akan berakhir pada 20 Oktober 2012 di Negeri Sabah.

Sementara itu Pengurus Besar (Bahagian Pemasaran Penjagaan Rumah dan Penjagaan Diri) Lam Soon, Francis Ng, berkata, langkah Antabax menaja program Kelab Doktor Muda, kerana ia memahami kepentingan memupuk tabiat penjagaan kebersihan yang baik di kalangan kanak-kanak.

"Kelab Doktor Muda merupakan platform terbaik untuk meningkatkan kesedaran, mengajar dan memupuk tabiat yang baik di kalangan murid-murid sekolah supaya dapat diamalkan seumur hidup," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: