Sunday, May 20, 2012

Gabungan lima teknik senaman

pix_middle

MUDAH dan menyeronokkan. Inilah gambaran mengenai Senamrobik Wellness iaitu aktiviti senaman tradisi dipelopori penuntut jurusan Sains Sukan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Berbanding senaman aerobik biasa yang hanya tertumpu kepada satu jenis elemen tarian, senamrobik memiliki keistimewaan dan daya tarikan tersendiri.

  • Foto

    MENARIK...kelab Senamrobik UiTM.

  • Foto

    MANTAP...cardio kick menampilkan gabungan beberapa seni bela diri yang memerlukan pergerakan lebih pantas.

  • Foto

    PANTAS...tarian hip hop digabungkan dengan senaman aerobik tetapi mengikut tempo laju.

  • Foto

    MERIAH...antara peserta yang menyertai program senamrobik.

Senamrobik menggabungkan lima elemen iaitu ‘qigong’, ‘zumba’, ‘pilates’, ‘hip hop’ dan ‘cardio kick’ dengan setiap satunya menampilkan pergerakan teknik dan tarian berbeza.

Yang menarik, gabungan kelima-lima teknik ini dilakukan secara berterusan mengikut rentak muzik dan tempoh senaman bergantung kepada ketahanan stamina kumpulan atau individu.Biasanya senamrobik dimulakan dengan qigong kerana pergerakan teknik ini yang perlahan menumpukan terhadap aspek pernafasan serta mental.


Ia disusuli dengan cardio kick yang menampilkan gabungan beberapa seni bela diri yang memerlukan pergerakan lebih pantas dan tumpuan teknik ini lebih kepada stamina dan kekuatan.

Teknik seterusnya ialah zumba yang menyerupai tarian gelek iaitu senaman yang tertumpu kepada pergerakan senaman bahagian pinggul untuk menguatkan pinggang.

Senamrobik diteruskan dengan teknik pilates iaitu senaman seperti yoga dilakukan mengikut tempo lebih perlahan dan bertumpu kepada pergerakan setiap anggota badan.

Ia diakhiri dengan hip hop yang digabungkan dengan senaman aerobik tetapi mengikut tempo laju bagi memberi kelainan tersendiri terhadap senamrobik ini.

Menyedari senamrobik masih baru di kalangan masyarakat negara ini, sekumpulan penuntut Jurusan Sarjana Sains Sukan, UiTM Shah Alam diketuai Mohd Hafizzat Mohd Sabaruldin, 23, berharap ia diberi lebih pendedahan kerana mempunyai banyak kebaikan.

Hafizzat berkata, pembabitan UiTM dalam memperkenalkan senaman ini di peringkat kebangsaan melalui penyenaraiannya sebagai aktiviti tahunan universiti diharap dapat menarik minat lebih ramai pihak menyertainya.

“Penganjuran Senamrobik Wellness X9 di Pusat Sukan UiTM anjuran Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi baru-baru ini adalah yang kesembilan diadakan.

“Acara senamrobik baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai lebih 1,000 peserta. Senamrobik ini sesuai disertai penuntut universiti seperti saya kerana ia mempunyai banyak manfaat bukan saja daripada aspek fizikal, malah membantu pembelajaran,” katanya yang juga pengarah program itu.

Pendapat itu turut dipersetujui Maisara Aina Mohamed Asri, 21, penuntut jurusan Sains Sukan yang aktif mengembangkan senamrobik di UiTM.

Menurut siswi kelahiran Keramat, Kuala Lumpur ini, umum mengetahui kecerdasan mental bermula daripada kecergasan diri dan senamrobik membantu membawa kedua-dua aspek itu ke tahap baru.

“Tarian senamrobik memerlukan ketahanan stamina dan kekuatan. Biasanya senamrobik dilakukan secara berkumpulan dan sebaik teknik pertama berakhir, peserta perlu meneruskan pergerakan teknik seterusnya sehingga kelima-limanya selesai dilakukan,” katanya.

Rakan sekuliah, Nor Atikah Che Lah, 23, berkata senamrobik mungkin kelihatan tidak mencabar, tetapi hakikatnya ia tetap menuntut kecergasan mental dan fizikal di tahap tertinggi untuk melakukannya.

“Mereka yang mahu mencuba senamrobik dinasihatkan melakukannya secara berperingkat-peringkat. Perkara terpenting perlu dilakukan ialah meningkatkan kecergasan fizikal dan mental.

“Usah pandang mudah senaman ini kerana seseorang peserta itu boleh dianggap hebat jika berjaya melengkapkan semua teknik selama tiga jam tanpa henti,” katanya.

Hannul Asyiqin Mohamad, 23, pula berkata, selain menguji ketahanan rohani dan jasmani, senamrobik membina interaksi sosial, terutama di kalangan penuntut universiti.

“Apabila seseorang itu menyertai senamrobik, dia secara tidak langsung
akan berkenalan dengan peserta daripada fakulti lain. Saya sebagai contoh mendapat ramai rakan baru di kalangan penuntut jurusan lain.

“Justeru, saya berharap lebih banyak pendedahan diberikan terhadap senamrobik kerana ia juga sesuai dijadikan aktiviti riadah keluarga,” katanya.

Harapan sama turut diluahkan Adhwa Safraa Abdul Rahman, 21, dan Nurul Fazra Ain Mohd Najah, 23, yang berpendapat senaman ini memiliki tarikan tersendiri.


>Profil
NAMA: Adhwa Safraa Abdul Rahman
UMUR: 21 tahun
ASAL: Bukit Beruang, Melaka

>Profil
NAMA: Maisara Aina Mohamed Asri
UMUR: 21 tahun
ASAL: Keramat, Kuala Lumpur

>Profil
NAMA: Mohd Hafizzat Mohd Sabaruldin
UMUR: 23 tahun
ASAL: Subang Jaya, Selangor

>Profil
NAMA: Nurul Fazra Ain Mohd Najah
UMUR: 23 tahun
ASAL: Kemaman, Terengganu

>Profil
NAMA: Hannul Asyiqin Mohamad
UMUR: 23 tahun
ASAL: Pekan, Pahang

>Profil
NAMA: Nor Atikah Che Lah
UMUR: 23 tahun
ASAL: Alor Setar, Kedah

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: