Saturday, April 14, 2012

Tugas berat menanti

Jennifer Lopez
Jennifer Lopez
GANDINGAN MANTAP...JLo bersama tiga juri American Idols.
GANDINGAN MANTAP...JLo bersama tiga juri American Idols.

JIKA sebelum ini, ramai yang meletak spekulasi kononnya bintang terkenal, Jennifer Lopez hanya bersandar pada wajah jelita dan penampilan yang memukau. Kononnya penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu If You Had My Love ini hanya ‘menjual’ kisah peribadi tanpa meletak bakat nyanyian mahupun lakonannya ke depan.

Namun rezeki buatnya sudah tersurat, Jennifer yang lebih dikenali sebagai J.Lo dipilih untuk menjadi pengkritik tetap program realiti paling popular, American Idol musim ke-10 dan terus dilanjutkan hingga musim yang terbaru ini.

Walau ada pihak yang mempertikai, namun hakikatnya penyanyi berusia 43 tahun ini punya pesona tersendiri. Vokalnya masih mampu menghimpunkan jutaan peminat seluruh dunia hingga meletakkan jualan albumnya antara paling tinggi selain berjaya menembusi carta-carta antarabangsa.

Usik si pemilik senyuman menggoda ini dalam satu temubual bersama media antarabangsa baru-baru ini, soal bakat tidak cukup bagi mengukur kredibiliti dan kemampuan seseorang penyanyi sebaliknya pesona dan ketrampilan adalah kunci yang meletak penghibur itu jauh melangit.


“Inilah rezeki dan saya fikirkan peluang berada di kerusi pengkritik American Idol sebagai ruang terbaik buat saya berkongsi ilmu, memperbaiki diri sendiri dan melihat sejauh mana anak-anak muda mampu mengukuhkan lagi empayar muzik hari ini,” katanya.J.Lo berdiri di sebelah pemuzik profesional lain termasuk Randy Jackson dan vokalis kumpulan Aerosmith, Steven Tyler. Muncul buat kali kedua bagi musim yang ke-11 ini, Jennifer punya ceritanya sendiri.

“Saya seronok kerana dipilih menyertai keluarga American Idol sejak musim lalu kerana pengalaman yang diperoleh sangat berharga dan berbeza. Mana tidaknya, saya terbabit dalam proses pemilihan peserta sejak peringkat awal ketika sesi uji bakat. Jadi saya berpeluang melihat persembahan mereka dari awal lagi dan kemudiannya dibawa ke pentas yang lebih besar di Hollywood.

“Justeru apa yang membuatkan saya gembira adalah melihat perkembangan seseorang peserta itu dari amatur hingga menjadi seorang penyanyi profesional. Saya rasa itulah yang membuatkan saya gembira dan seronok,” katanya.

Tambah J.Lo yang sudah mempunyai tujuh album studio setakat ini dan begitu dikenali dengan gerak nyanyiannya yang menggiurkan, American Idol musim ke-11 memberikannya peluang kedua untuk menjadi seorang pengkritik yang jauh lebih dinamik dalam soal pemilihan peserta dan memberikan komen yang boleh membantu setiap peserta untuk menjadi yang lebih baik.

Mengakui kerusinya itu menuntut tanggungjawab yang begitu besar dan komitmen tinggi, wanita kelahiran Bronx, New York yang menggantikan tempat Ellen DeGeneres pada musim kesembilan sebelum ini optimis melihat tugasannya sebagai sesuatu yang menyeronokkan tanpa memikirkan soal tekanan.

“Tahun lalu saya tampak masih baru dalam memegang posisi itu kerana tanggungjawabnya masih belum serasi dengan diri. Saya lihat kelemahan paling ketara adalah sikap positif dan mudah kasihan terhadap peserta, membuatkan saya sukar mengatakan tidak sedangkan saya tidak suka. Bayangkan adakalanya Randy dan Steven terpaksa menegur tindakan saya kerana menerima masuk peserta yang tidak sepenuhnya berbakat.

“Ketika itu saya lebih mengikut gerak hati dan rasa yakin mungkin mereka mampu dibentuk di peringkat seterusnya namun sebenarnya tidak. American Idol adalah pentas yang menjadi kegilaan seluruh anak muda di Amerika untuk mengejar impian menjadi penyanyi dan saya sepatutnya perlu lebih tegas dalam mengadili mereka.

“Bagaimanapun musim ini, kali kedua saya di kerusi yang sama, semua itu saya jadikan pengajaran dan pengalaman lalu saya simpulkan menjadi tanda aras bagi mengadili peserta musim ini. Beribu-ribu peserta kami nilai di lapan lokasi seluruh Amerika pada Januari dan Februari lalu. Justeru tugas saya memang berat kerana saya adalah penentu masa depan mereka untuk dibawa ke Hollywood.

“Apa yang saya lakukan adalah meletak diri saya di tempat mereka. Apa yang ingin saya dengar daripada juri mengenai persembahan dan kemampuan saya. Lantas itulah yang saya lakukan meskipun ada kalanya saya sendiri sedih dan tidak sanggup. Itulah cabaran dan �tekanan sepanjang berada di program realiti ini,” katanya.

Bercerita soal American Idol 11 ini, J.Lo yang juga pelakon terkenal yang pernah membintangi banyak filem termasuk Selena, Anaconda, The Wedding Planner, Enough, Maid in Manhattan dan The Back-Up ini melihat program ini punya perubahan dan kelainan dalam bakat yang dibentangkan serta wajah-wajah yang datang mencuba nasib.

“Tahun ini berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana saya perhatikan begitu banyak bakat yang jauh lebih dinamik diperkenalkan. Tidak sangka pula sebenarnya Amerika masih belum ketandusan bakat kerana mereka yang hadir dan terpilih hingga ke peringkat akhir ini semuanya hebat.

“Lebih menarik, ada yang gagal menembusi peringkat akhir pada musim sebelumnya datang semula mencuba nasib buat kali kedua. Saya masih kenal dan ingat akan penampilan mereka namun terharu dengan peningkatan vokal yang mereka berikan.
Maksudnya apa yang pernah saya komen sebelumnya itu dijadikan pengajaran dan terus mereka lakukan.

“Saya boleh katakan juara untuk musim kali ini akan memberikan sebuah perspektif yang berbeza kepada pentas seni hiburan dunia,” katanya.

Jennifer juga turut gembira kerana barisan peserta di pentas akhir American Idol 11 ini lengkap dari setiap aspek bagi menjadi seorang penghibur terbaik.
Tidak hanya mereka yang hebat menyampaikan lagu country, malah musim ke-11 lebih luas dengan adanya peserta yang begitu syahdu menyanyikan lagu R&B, gospel, pop dan alternatif.

Pastikan anda jangan melepaskan peluang untuk mengikuti pertandingan paling dinantikan seluruh dunia ini dengan pertarungan tujuh lagi peserta, Colton Dixon, Elise Testone, Hollie Cavanagh, Jessica Sanchez, Joshua Ledet, Phillip Phillips dan Skylar Laine setiap Jumaat jam 10 malam dan Sabtu jam 10.30 malam hanya di 8TV.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: