Seorang peniaga terkejut dapat wang palsu

JERTIH – Seorang peniaga mesin dan peralatan pertanian di bandar ini terkejut apabila mendapati sekeping not RM100 hasil jualannya palsu ketika mengira wang tersebut pada sebelah malam hari kejadian.

Peniaga terbabit, Chia Hong Teak, 35, berkata, dia menerima wang itu daripada salah seorang pelanggan yang membeli mesin barangan di kedainya pada minggu lalu.

Menurutnya, dia tidak memastikan pelanggan yang memberi wang palsu tersebut kerana pada hari berkenaan dia melakukan banyak urusan jual beli.

“Saya tidak perasan not RM100 itu palsu dan tidak pula memeriksanya terlebih dulu kerana pada masa itu keadaan agak sibuk.

“Saya hanya menyedari pada sebelah malam ketika mengira wang tersebut apabila mendapati kelainan pada jalur hologram berkilau pada sebelah kanan not RM100 itu,” katanya.

Chia berkata, apabila diperhatikan, ternyata wang tersebut palsu kerana selain garisan tersebut tidak kemas kerana ia hanya ditampal pada kertas lebih nipis, saiz not juga lebih kecil berbanding wang sebenar.

Menurutnya, kejadian itu kali pertama dialami pada tahun ini namun pada tahun lepas, sebanyak dua kali menerima not palsu bernilai RM50 daripada pelanggan.

Bagaimanapun, dia tidak membuat lapo-ran polis terhadap kejadian itu dan mengingatkan peniaga lain di daerah ini agar berhati-hati ketika menerima not RM50 dan RM100 terutamanya jika mendapati terdapat kelainan pada wang berkenaan.