Saturday, April 14, 2012

Sabung ayam kota Baghdad


SETIAP pertarungan mengambil masa hingga 13 minit untuk satu-satu pusingan.


SEBAIK loceng dibunyikan, dua ekor ayam jantan bernama Daqduqa dan Sammam dilepaskan ke dalam gelanggang. Tanpa mengambil masa yang lama, kedua-dua ekor ayam tersebut terus bertarung dengan sengit.

Ia disusuli dengan sorakan kuat daripada orang ramai yang memenuhi kawasan di sekitar gelanggang kecil itu bagi menyaksikan perlawanan sabung ayam di kota Baghdad.

Walaupun perlawanan sabung ayam merupakan satu kesalahan di Iraq, namun ia masih diadakan secara berleluasa. Tambahan pula, ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peminat yang hadir sama ada untuk bertaruh mahupun sekadar menjadi penonton kepada perlawanan haiwan itu.

“Saya sudah datang ke sini sejak lima tahun lalu. Sekurang-kurangnya sebulan sekali saya datang melihat perlawanan sabung ayam di sini. Saya tidak bertaruh, tetapi sekadar menjadi pemerhati,” ujar Ahmed Jabar, 43, sambil memberitahu, sabung ayam merupakan sukan kegemarannya melebihi bola sepak.

Perlawanan sabung ayam itu diadakan di sebuah rumah kecil di barat Baghdad. Penganjur akan mengadakan perlawanan setiap hari bermula dari pukul 5 petang hingga 11 malam, manakala pada hari Jumaat, ia dilangsungkan pada waktu pagi.

Bagaimanapun, tiada sebarang perlawanan diadakan sepanjang bulan Jun sehingga Oktober memandangkan suhu di Baghdad ketika itu terlalu panas.

Arena untuk perlawanan sabung ayam itu meliputi sebuah gelanggang yang mempunyai diameter selebar tiga meter dan ditutupi dengan lapisan karpet merah.

Sebuah poster digantung di bahagian tepi dinding yang menggariskan peraturan bagi perlawanan tersebut iaitu setiap pertarungan terdiri daripada lapan pusingan.

Setiap pusingan merangkumi 13 minit masa perlawanan dengan dua minit waktu rehat. Secara keseluruhan, ia melibatkan pertarungan selama hampir dua jam.

Seekor ayam dianggap tewas jika kalah dalam tiga pusingan berturut-turut. Namun jika ayam jantan lain dapat menjatuhkan leher lawannya ke tanah selama satu minit, ayam jantan gagah itu akan dinobatkan sebagai pemenang bagi sesuatu perlawanan.

1 comment:

  1. apa ubat yang baik untuk mguat kan pukulan kaki ayam tsebut?

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: