Menjulang nama seni bela diri

Selain silat, mungkin ramai yang memilih untuk belajar seni mempertahankan diri lain seperti taekwondo, brazilian jiu-jitsu, judo, systema, aikido, karate, kendo, kyudo dan sumo. Md Nashriq Md Nassir, 27, adalah antara individu yang berani tempuhi cabaran dalam mempelajarinya dan seterusnya menjadikannya sebagai kerjaya tetap yang menjamin masa depan yang cerah.

Ketika ditemui penulis, anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, pada awalnya beliau tiada keberanian untuk belajar seni bela diri. Pepatah menyebut, tak kenal maka tak cinta. Entah mengapa secara tiba-tiba timbul rasa keyakinan diri Md Nashriq untuk menguasai ilmu pertahanan diri itu.

“Mungkin saya menaruh keyakinan tinggi bahawa mana-mana seni bela diri ini dapat membantu meningkatkan potensi dalam diri seseorang jika mendapat latihan betul dan pendedahan dari masa ke semasa,” katanya dengan bersungguh-sungguh.

Menurutnya, semenjak dari kecil lagi dia sememangnya meminati seni bela diri terutamanya judo dan brazilian jiu-jitsu. Beliau tertarik dengan keunikan teknik yang ada pada kedua-duanya sehingga tidak perlu mengambil masa lama untuk jatuh cinta kepada sukan berkenaan.

Walaupun lasak dan kelihatan ganas, Md Nashriq tetap memilih bidang mempertahankan diri sebagai hobi utama. Baginya, jika tiada minat dan kesungguhan maka ia menjadi sukar dipelajari.

“Selain mendapat sokongan keluarga, saya melihat sukan jenis ini boleh dijadikan benteng dalam mempertahankan diri di samping membuktikan kebolehan diri dalam bidang tersebut,” ujarnya.

Beliau memberitahu pada zaman kanak-kanaknya, tidak ramai yang mengikuti pembelajaran seni bela diri itu.

“Mungkin pandangan masyarakat pada ketika itu terbatas dan tidak melihat bahawa judo dan brazilian jiu-jitsu mampu membentuk jati diri dan meningkatkan disiplin. Sekiranya ramai remaja meluangkan masa menyertai aktiviti bela diri, ini mungkin dapat mengurangkan gejala sosial dan aktiviti melepak.” kata Md Nashriq.


Belajar di luar negara

Dek fanatik Md Nashriq terhadap judo dan brazilian jiu-jitsu, beliau sanggup menimba ilmu dalam kedua-dua jenis pertahanan diri sehingga berjaya bergelar graduan dari International Budo University di Jepun. Setelah berjaya menggapai apa yang diimpikan, beliau memulakan langkah memperturunkan segala ilmu dipelajarinya kepada orang ramai.

“Saya mula mencorakkan kehidupan dengan ilmu yang ada. Jika dulu saya jadikan ini sebagai hobi, tapi sekarang saya merasakan perlunya kembangkan ilmu mempertahankan diri itu kepada mereka yang berminat. Saya cari lokasi bersesuaian, Akhirnya menjumpai Penang Budo Academy, di Pulau Pinang. Di sini saya menjadi tenaga pengajar kepada pelatih yang menggemari judo dan brazilian jiu-jitsu,” ujarnya.

Beliau yang kini dilantik sebagai Jurulatih Judo Negeri Pulau Pinang berasa seronok dapat menceburi bidang tersebut kerana dapat melakukan aktiviti bersukan yang menyihatkan badan. Penerima Pingat Jasa Masyarakat itu berkata, judo adalah seni mempertahankan diri tradisional Jepun yang menguja dan penuh dengan disiplin. Judo bermaksud kelembutan atau kesantunan. Kunci utama kepada judo adalah kecekapan menggunakan berat dan kekuatan untuk mengalahkan musuh tanpa menggunakan senjata.

“Penyertaan saya dalam judo bertujuan melatih minda dan badan dan bukan sekadar untuk mengalahkan pihak lawan. Saya sering menekankan kepada pelatih bahawa peraturan judo agak rumit dan perlu menumbangkan lawan dengan penekanan pada sendi anggota atau bahagian leher. Walaupun agak agresif tetapi lebih menekankan serangan secara tidak langsung,” katanya.


Serba boleh

Minat Md Nashriq dalam bidang sukan begitu menyerlah. Selain memiliki bakat dalam judo dan brazilian jiu-jitsu, dia juga aktif dalam sukan bola sepak, badminton dan boling.

“Sukan memberi ketenangan dalam hidup. Lebih menarik apabila dapat berkenalan dengan ramai kawan dan menimba ilmu baru. Apabila menjadi jurulatih judo pula saya gembira kerana dapat menolong orang yang lemah semangat untuk mempelajari seni mempertahankan diri,” katanya.

Menurut Md Nasyriq, seni mempertahankan diri tidak hanya dipelajari kaum lelaki sahaja, malah wanita juga harus mempelajari seni berkenaan.

“Dalam dunia hari ini, remaja perempuan perlu memiliki seni mempertahankan diri berdasarkan pelbagai kisah negatif membabitkan golongan itu. Jika ilmu sudah ada, tentulah gejala tidak diingini berjaya ditepis," katanya yang menjadikan Kosei Inoe (judo) dan Marcos Escobar (brazilian jiu-jitsu) sebagai idola.

Penglibatan beliau dalam sukan judo sememangnya mengagumkan. Selain mendapat pengiktirafan peringkat negeri, beliau juga kerap kali menerima penghargaan pada peringkat kebangsaan. Antara kejayaannya, Kejohanan Judo Remaja Kebangsaan Kategori Shiai (emas), Kejohanan Judo Remaja Kebangsaan (1 litar), Kategori Tachiwaza (emas), Sukan Malaysia Sabah (Sukma Sabah) - Kategori 100kg (perak), Kejuaraan Judo Pulau Pinang (emas), Kejohanan Judo Pasukan Kebangsaan (gangsa).

Beliau turut mewakili Malaysia sebagai Pengarah di Kejohanan Judo Antarabangsa Vietnam dan Kejohanan Judo Asia Tenggara pada 2008. Pernah dilantik Sekretariat Sukan Asia Tenggara (Sea) Phnom Penh pertama Judo Kejohanan pada 2006, dan wakili acara Sukan Sea 2005.

“Saya tak sangka diiktiraf sebegitu rupa. Belajar seni bela diri sekadar hobi untuk menilai kemampuan diri. Mungkin kesungguhan menjadikan saya berupaya capai kejayaan,” katanya yang turut menyertai World Professional Jiu- jitsu Championship 2012, Malaysia Trial pada 10 Mac lalu.