Sunday, April 15, 2012

Filipina gagal rampas hasil tangkapan nelayan China


GAMBAR menunjukkan kapal perang terbesar Filipina berlabuh di pangkalan tentera laut di Manila pada 11 Disember 2011.


MANILA – Konfrontasi enam hari antara China dan Filipina melibatkan sebuah kawasan tuntutan bertindih di Laut China Selatan berakhir semalam apabila sekumpulan bot nelayan China meninggalkan lokasi berkenaan, Beting Scarborough, bersama hasil tangkapan mereka.

Krisis berkenaan memberikan tamparan terhadap usaha Manila dalam menuntut hak kedaulatan dan melindungi sumber marin negara di lokasi itu yang terletak sekitar 124 batu nautika dari Pulau Luzon.

Pemerintah Filipina pada asalnya mahu kumpulan nelayan China terbabit menyerahkan sejumlah kima gergasi dan ikan yu yang ditangkap di lokasi berkenaan sebelum mereka dibenarkan meninggalkan Beting Scarborough dengan selamat.

China menghantar beberapa buah kapal pemerhati bagi melindungi nelayannya manakala Filipina mengerahkan kapal perang terbesar negara itu ke lokasi tersebut yang dituntut oleh Manila dan Beijing.

Rundingan berhubung isu berkenaan berlanjutan dengan kesemua lapan bot nelayan China terbabit beredar tanpa memulangkan hasil tangkapan mereka.

“Bot-bot nelayan China meninggalkan kawasan lagun Beting Scarborough seperti yang kami mahukan tetapi kami kesal kerana tidak dapat merampas hasil laut mereka,” kata Setiausaha Hal Ehwal Luar, Alberto Del Rosario dalam satu kenyataan.

Seorang komander Filipina menyatakan, sebuah kapal perang negara itu dan sebuah kapal China terus berada di kawasan berkenaan.

Konfrontasi berlaku ekoran Manila menuduh bot-bot nelayan China itu menceroboh perairannya.

China berselisih dengan beberapa buah negara Asia Tenggara berhubung tuntutan ke atas sejumlah pulau, terumbu karang dan beting yang kaya dengan sumber gas dan minyak di Laut China Selatan termasuk Kepulauan Spratly.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: