Tuesday, April 17, 2012

Barangan hiasan kulit kayu

MENARIK...Julitah bersama produk yang diperbuat daripada kulit pokok terap.
MENARIK...Julitah bersama produk yang diperbuat daripada kulit pokok terap.

KEHALUSAN produk yang dipamerkan mencerminkan perekanya begitu teliti menghasilkan barangan hiasan bagi menarik perhatian pengunjung pada Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2012 yang berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Satu persatu barangan yang dihasilkan menggunakan kayu ditampilkan dan dapat dilihat dengan jelas penggunaannya yang boleh dipelbagaikan menerusi hasil ditunjukkan kepada pengunjung.

  • Foto

    BAKAT...Ikram melukis pada kayu dibentuk menjadi kasut bagi menceritakan perjalanan hidup yang penuh berliku.

  • Foto

    KELAINAN...beg duit tampak sesuai bagi wanita yang gemarkan konsep buatan halus kulit kayu.

  • Foto

    CANTIK...kad jemputan juga boleh dihasilkan menerusi penggunaan bahan kitar semula.

  • Foto

    UNIK...Hijazi bergambar bersama aksesori untuk wanita yang gemarkan kelainan.

  • Foto

    AKSESORI...topi koboi turut ditampilkan untuk kelainan.

  • Foto

    TERTARIK...pengunjung tertarik dengan rekaan kasut diperbuat daripada kayu.

Jika dulu kayu penting bagi membuat perabot tetapi kini penggunaannya yang pelbagai menjadi tarikan kepada masyarakat untuk memilihnya sebagai hiasan mahupun aksesori tambahan penampilan diri.

Tidak kiralah bahagian dalam mahupun luar iaitu kulitnya, jika bijak menggunakannya pasti akan menghasilkan rekaan kreatif dan boleh diguna pakai pengguna yang gemarkan seni kraf untuk dijadikan sebagai kenangan ataupun cenderahati.


Julitah Kraf Sabah turut tidak ketinggalan menampilkan barangan hiasan untuk pengunjung. Semua barangan seperti kotak tisu, bekas pensel, beg kecil dan topi diperbuat daripada kulit kayu.


Kulit kayu yang diambil daripada pokok terap itu terdapat di kawasan Sabah dan perlu menjalani proses yang agak rumit sebelum boleh diguna untuk menghasilkan rekaan menarik.

Pengusahanya, Julitah Ukor berkata, proses yang diambil agak sukar kerana perlu mendapatkan bahan atau pokok terap di kawasan hutan.

“Biasanya kami akan menebang pokok yang sudah sebesar tiang elektrik untuk dibawa pulang ke kilang dan diproses. Selepas itu, batang pokok berkenaan akan diasingkan daripada kulit menggunakan mesin dan dilembutkan.

“Kemudian, kulit kayu daripada gred A yang siap diproses akan digunakan untuk membuat produk menarik seperti yang dapat kita lihat hari ini,” katanya yang menghasilkan produk berasakan kulit kayu sejak tahun 2000.

Pada mulanya, dia hanya menghasilkan produk warisan turun temurun iaitu baju tarian etnik daripada kulit kayu yang digunakan pada setiap majlis keramaian atau perkahwinan.

Kemudian, Julitah cuba mencari alternatif lain untuk mengkomersialkan produk buatannya kepada barangan yang boleh dijual atau diterima ramai seperti beg kecil dan bekas pensel.

Kini, Julitah yang sudah berkecimpung selama 11 tahun dalam bidang pembuatan barangan daripada kulit kayu mula sibuk menghasilkan 4,000 hingga 5,000 unit semua produknya untuk memenuhi permintaan daripada pelanggan yang semakin meningkat.

Tidak hanya barangan hiasan, malah penggunaan kulit kayu kini dilihat semakin mendapat tempat di hati pereka dalam industri itu untuk mempelbagaikan lagi pengeluaran produk berasaskan bahan berkenaan.

Tampil sedikit berbeza, Salam Oriental Greetings Sdn Bhd juga mempersembahkan kelainan produk yang dihasilkan menggunakan bahan kayu kitar semula.

Meneruskan perjalanan mesra alam, jenama syarikat terbabit menghasilkan penanda buku, kad ucapan atau jemputan, bingkai gambar dan tidak kurang juga untuk hadiah menarik.

Operator Mesinnya, Hijazi Kamarudin berkata, semua barangan yang dihasilkan menggunakan mesin laser bagi menampilkan kehalusan rekaannya.

Menariknya, melalui idea kreatif yang disalurkan, syarikat terbabit turut menampilkan koleksi aksesori bagi wanita yang inginkan kelainan.

Set aksesori seperti rantai dan anting-anting ditampilkan untuk memberi kepuasan kepada pencinta hasil daripada kayu untuk menambah gaya pemakai.

Sementara itu, bagi pereka berusia 54 tahun yang sudah berkecimpung dalam rekaan kayu sejak 1988, Ikram Suhaily, masih meneruskan bakat dimiliki.

Bakat warisan arwah ayahnya yang menjadikan kraf sebagai karier kini bergerak aktif di bawah Anai Creation untuk menghasilkan pelbagai barangan menarik daripada kayu.

Kebanyakan barangan yang dihasilkan penuh ketelitian itu dapat dilihat menerusi ukiran berbentuk kasut, topi dan hiasan lain.

Menggunakan kayu cengal dan merbau, kebanyakan rekaan dihasilkan bagi menceritakan kisah kehidupan yang berlaku pada masa kini.

“Kedua-dua jenis kayu ini akan menghasilkan warna berbeza pada setiap rekaan dihasilkan. Jika inginkan warna gelap, penggunaan kayu merbau lebih baik berbanding cengal.

“Ini kerana cengal biasanya untuk yang gemarkan rekaan berwarna putih.
Keaslian warna daripada kayu ini digunakan yang kebanyakannya mengikut keinginan pelanggan.

“Rekaan dihasilkan adalah bagi menceritakan kisah perjalanan hidup. Ia dapat dilihat misalnya pada ukiran berbentuk kasut bagi mewakili barangan terpakai yang sudah melalui banyak perjalanan dan pelbagai jenis �pemakainya.

“Rekaan ringkas yang ditampilkan untuk setiap koleksi banyak dihantar untuk ke pasaran luar seperti Eropah dengan pelbagai kisah menarik diungkapkan melalui buatan dihasilkan.

“Rekaan berbentuk kasut dan topi paling mendapat permintaan tinggi disebabkan kehalusan serta ketelitian yang diambil kira agar ia tampak berkualiti selain boleh digandingkan bersama sebagai hiasan,” katanya yang menjual produk dengan harga serendah RM15 hinggalah RM2,000.

1 comment:

  1. Salam..
    leh order online x beg duit kayu kt atas tu?? @ kt mne leh saya dapatkan erkk??

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: