Friday, April 27, 2012

Anugerah L'Oreal untuk wanita

Tay Ai Leen (tengah) bersama Lim Kue Peng dan Chong Pan Pan (kanan) pada sidang akhbar L'Oreal di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SAINTIS adalah satu profesion yang dikagumi baik lelaki mahupun wanita kerana dapatan kajian mereka itu memberi kesan yang besar kepada negara.

Menyedari hakikat itu, L'Oreal Malaysia tahun ini sekali lagi akan memilih dan memberikan penganugerahan kepada tiga penyelidik wanita muda sebagai penerima Anugerah L'Oreal Malaysia Fellowship untuk Wanita Dalam Sains 2012.

Anugerah yang dianjurkan dengan sokongan Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia bagi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu mula diperkenalkan sejak tahun 2006 dan sehingga kini sudah ramai wanita yang menerima penghargaannya.

Pengarah Perhubungan Media Komunikasi Korporat L'Oreal Malaysia, Tay Ai Leen berkata, secara tidak langsung menunjukkan kesungguhan L'Oreal sebagai satu-satunya badan korporat di negara ini yang menggalakkan saintis muda wanita Malaysia menjalankan kajian ilmiah menerusi pemberian dana.

"Anugerah ini adalah sokongan dan pengiktirafan terhadap pembabitan wanita dalam lapangan sains, di samping mengekalkan komitmen L'Oreal untuk memupuk bakat khususnya, dikalangan saintis wanita.

"Setiap tahun tiga saintis wanita sahaja akan dipilih untuk menjadi penerima anugerah ini dan L'Oreal telah memperuntukkan sebanyak RM60,000 setiap tahun," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, dua penerima anugerah yang lalu pada tahun 2010 iaitu Dr. Lim Kue Peng, 36, merupakan saintis di Pertubuhan Kajian Inisiatif Kanser (CARIF) dan Chong Pan Pan, 34, dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur turut hadir berkongsi pengalaman dengan hasil penyelidikan yang dijalankan.

Dalam projek kajian Dr. Kue Peng lepas, mengenai penggunaan vaksin untuk melatih sel-sel imun dalam mengesan dan mengenali sel kanser.

Kajian yang dilakukannya itu dilihat praktikal atas faktor pertambahan pesakit kanser pada setiap tahun di Malaysia.

"Atas sebab peningkatan kes kanser yang membimbangkan membuat saya terdorong untuk membuat kajian ini, ramai saintis diperlukan untuk mencari ubatnya.

"Selain itu, saya dapat membantu dan berbakti kepada masyarakat yang memerlukan," ujarnya.

Seorang lagi penerima anugerah, Pan Pan, kajiannya mengenai perubatan penyelidikan yang melibatkan fungsi tisu dan pengolahan sel stem mesenchymal (yang boleh membentuk banyak jenis tisu) sebagai kegunaan terapi biologi masa depan.

"Kepentingan kaedah ini mengurangkan kesakitan pesakit melalui proses pembedahan yang rumit ketika pengambilan sel stem mesenchymal dari tubuh badan di samping mempercepatkan proses penyembuhan.

"Kajian saya lebih kepada masalah lutut dan peha seperti menggunakan sel stem penyakit osteoarthritis yang boleh berlaku juga pada usia muda," ujarnya yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PhD di Fakulti Perubatan Universiti Malaya.

Sehubungan itu, L'Oreal selaku pengasas program ini mempelawa wanita Malaysia yang berusia 35 tahun ke bawah serta memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan kini sedang menjalankan kajian penyelidikan dalam bidang Sains supaya menghantar permohonan masing-masing.

Ai Leen juga berharap dengan kredibiliti dua saintis ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada saintis wanita muda lain di seluruh negara supaya merebut peluang yang disediakan.

"Pendaftaran dibuka mulai sekarang hingga 30 Jun depan.

"Setiap permohonan mesti disertakan dengan cadangan kajian dan borang permohonan yang boleh didapati dari Sekretariat Suruhanjaya Negara di bawah UNESCO," jelasnya.

Tambahnya, keputusan pemenang akan diumumkan pada majlis penganugerahan September depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: