
BIDANG lakonan di negara ini masih dikatakan stereotaip kerana antara kriteria bagi membolehkan seseorang pelakon menjadi hero dalam filem mestilah kacak, bertubuh sasa dan berpenampilan menarik.
Bagaimanapun, pelakon baru Zalif Sidek menafikan kebiasaan itu apabila dia yang berbadan gempal dan tidak pernah menjadi hero dalam filem diberi kepercayaan sebagai teraju utama dalam filem berjudul Papa I Love U.
Dia merupakan pelakon lelaki berbadan gempal tempatan pertama yang ditonjolkan sebagai hero dalam filem terbitan Metrowealth Pictures itu yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 29 Disember lalu.
Menurut Zalif, dia tidak kecil hati apabila ada pihak yang mengatakannya tidak sesuai melakonkan watak hero dalam filem arahan Hashim Rejab itu kerana biasanya pelakon yang melakonkan watak itu adalah pelakon yang kacak.
"Saya tidak peduli apa orang hendak kata kerana saya berlakon dalam filem ini pun kerana tawaran daripada Metrowealth. Lagi pun watak lakonan saya dalam filem itu sesuai dengan saya. Saya tidak anggap negatif komen seperti itu.
"Setiap penonton ada cita rasa mereka sendiri, malah setakat ini saya seronok berlakon dalam filem itu. Pada masa sama, saya mahu membuktikan saiz tubuh badan atau paras rupa bukan penentu lakonan yang hebat," ujarnya.
Pelakon montel yang juga merupakan model iklan-iklan televisyen itu ditemui selepas pratonton Papa I Love U lakonan Lisa Surihani, Mia Sara dan Zaidi Omar di pawagam MBO, Subang Parade, Selangor baru-baru ini.
Menerusi filem itu, Zalif melakonkan watak Baha iaitu seorang duda yang terpaksa membesarkan anak tunggalnya, Mia di mana dia kemudiannya dipertemukan dengan Elly (Lisa Surihani) seorang gadis yang hidup bersendirian.
Tambah Zalif, biarpun berbadan gemuk tetapi dia bersyukur kerana tawaran berlakon datang mencurah-curah daripada kalangan penerbit dan pengarah yang semakin yakin dengan bakat lakonannya di layar perak.
Malah, penampilannya menerusi filem genre kekeluargaan dan romantik komedi itu secara tidak langsung menjadi suatu transformasi dalam mengangkat pelakon yang dilihat kurang glamor melakonkan watak hero dalam filem.
"Saya baru sahaja tamat menjalani penggambaran filem Budak Pailang yang dalam genre aksi. Begitu juga dengan filem Hantu Dalam Botol Kicap dan Ajinohmoto dalam genre komedi yang tamat penggambarannya baru-baru ini.
"Sebagai pelakon baru, apatah lagi dengan badan yang gempal ini, saya mulanya berasa gugup untuk menerima tawaran berlakon dalam Papa I Love U. Saya seakan-akan tidak percaya apabila mendapat tawaran tersebut.
"Bagaimanapun apabila penerbit filem ini, David Teo memberitahu dia mahukan saya melkaonkan watak hero dalam filem ini untuk membuat suatu kelainan, maka saya terima tawaran itu dengan hati yang terbuka," ujarnya.
Jelas Zalif, sejurus ditawarkan mendukung watak Baha dalam filem ke-52 terbitan Metrowealth itu, dia tidak berfikir panjang lantas melakukan pelbagai persediaan bagi memastikan watak itu dapat dilakonkannya dengan berkesan.
Bekas pekerja KRU Studios ini berkata, dia antaranya menonton filem seperti Persuede of Happiness lakonan Will Smith bagi menghayati watak Baha yang merupakan bapa tunggal kepada seorang anak perempuan, Mia.
"Selain itu, saya juga meminta nasihat dan tunjuk ajar daripada pelakon seperti Pekin Ibrahim, Sein Ruffedge dan Opie Zamie sebelum berlakon dalam filem ini. Lisa Surihani juga banyak membantu saya sewaktu di lokasi penggambaran," jelasnya.
Mampu memberi kelainan
Sementara itu, pengarah Papa I Love U, Hashim Rejab berkata, dia tidak menafikan Zalif bukan seorang pelakon yang kacak, tinggi atau menarik di layar skrin, tetapi yakin hero baru itu mampu memberi kelainan dalam filem tempatan.
Hashim turut tidak menafikan pengambilan Zalif sebagai hero dalam filem komersial seperti itu merupakan suatu risiko buat Metrowealth dalam usaha menarik para penonton berkunjung ke pawagam menonton filem tersebut.
"Saya tidak nafikan memang ada risiko meletakkan pelakon seperti Zalif sebagai hero dalam filem. Apatah lagi, dia orang baru dalam dunia perfileman di negara ini. Namun, penerbit David Teo sanggup berdepan dengan risiko itu.
"Sungguhpun begitu, Zalif tetap mampu melakonkan watak itu dengan baik. Dia ada watak hero yang lain daripada lain. Kami mengambil risiko itu juga bagi memberi peluang muka-muka baru menjadi hero dalam filem," komennya.
Papa I Love U mengisahkan tentang Baha yang kematian isteri dan terpaksa membesarkan anak perempuannya, Mia sendirian. Baha terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran sewaktu membesarkan anak tunggalnya itu.
Di saat dia berdepan dengan kepayahan termasuklah tiada pekerjaan dan hidup merempat, Baha telah bertemu dengan seorang gadis bernama Elly yang banyak membantu meringankan beban hidupnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: