LAMARAN saat akhir untuk merakam wajahnya dalam satu sesi fotografi eksklusif disambut Ummi Nazeera tanpa banyak soalan biarpun terpaksa dilakukan dalam situasi sedikit tergesa-gesa. Ini kerana pada petang hari sama, Ummi terpaksa bergegas kembali ke Kuala Kangsar, Perak untuk menyelesaikan baki penggambaran filem terbaru lakonannya, Penanggal arahan Ellie Suriaty.
Dilihat sedikit kekok kerana lebih setengah tahun tidak beraksi untuk sesi fotografi, Ummi berusaha memenuhi setiap permintaan jurugambar biarpun ada ketika dia sendiri kurang selesa. Pesona raut wajah Melayu asli yang dimiliki gadis berusia 21 tahun yang mempunyai nama lengkap, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin membuatkan dirinya masih dihujani tawaran meskipun sejak dua tahun lalu dia memilih untuk meninggalkan dunia lakonan dan kembali bergelar penuntut.
Masih memusatkan perbualan sekitar profil peribadinya, Ummi menolak penghijrahannya ke Melbourne didorong perasaan kecewa apabila cinta yang dijalin bersama seorang aktor musnah di pertengahan jalan. Memohon supaya episod hitam itu tidak kembali diungkit, Ummi berkata, pemergiannya ke Melbourne adalah atas kemahuannya sendiri dan bukan kerana desakan atau paksaan sesiapa.
Ummi juga berharap, khalayak tidak melihat penghijrahannya itu dari sudut negatif kerana keputusan itu dibuat selepas menimbang segala baik dan buruk.
“Awalnya saya sendiri sulit untuk menyesuaikan diri di sana. Selama ini segala keperluan saya disediakan, saya tidak perlu memberatkan kepala memikirkan hal remeh. Tetapi di Melbourne, semua keistimewaan itu hilang sekelip mata. Saya terpaksa menguruskan segala hal sendirian tanpa bantuan sesiapa. Baru saya sedar diri ini ada gunanya.
“Melbourne banyak mengubah siapa saya. Bumi asing itu mengajar saya membuat pilihan, menggunakan akal yang diberikan Allah untuk membezakan apa yang baik dan sebaliknya.
“Alhamdulillah kerana saya dipertemukan dengan mereka yang membawa ke arah kebaikan. Seperkara yang jelas, saya tidak lagi terlalu sensitif.
“Dulu hal kecil boleh membawa rajuk berpanjangan tetapi hari ini, saya sudah boleh menutup mata. Saya melalui proses kematangan dengan pantas, membuatkan saya selesa dengan diri sendiri dan lebih tahu apa terbaik untuk masa depan,” katanya.
Masih berbelah bagi sama ada mahu terus menetap di sana atau kembali ke Kuala Lumpur selepas menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan Pemasaran di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Ummi mengakui tidak mudah untuk kembali bergelar pelajar.
Semester pertama dia berdepan cabaran terhebat apatah lagi ketika itu, Ummi masih dalam proses menyesuaikan diri selepas tiga tahun meninggalkan alam persekolahan.
“Mujur saya menerima sokongan daripada mereka yang ingin lihat saya maju dalam hidup. Selepas dua tahun saya sudah betah menjalani kehidupan baru di sana. Pelajaran juga baik. Melihat keputusan peperiksaan saya baik, mama akhirnya memberi izin untuk saya berlakon. Itu janji saya dengan mama.
“Sebelum ini bukan tiada tawaran untuk saya kembali berlakon. Cuma ketika itu hati belum terbuka, malah saya sendiri bimbang jika terlalu ghairah berlakon akhirnya minat untuk belajar hilang,” katanya.
Tertekan bawa watak Murni
LAKONAN terakhir Ummi di layar perak sebelum ke Melbourne ialah menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Namun, Hikayat Merong Mahawangsa yang menemui penonton di pawagam Mac lalu turut membantu Ummi untuk terus bertakhta dalam ingatan peminat filem Melayu.
“Saya cuma mengikut arus. Kebetulan tawaran membintangi Penanggal datang tepat pada masanya. Membaca keseluruhan skrip membuatkan saya sulit untuk menolak watak Murni, tambahan pula filem ini diarahkan Ellie Suriaty. Dia ialah antara satu sebab mengapa saya menerima tawaran ini, selain watak Murni itu sendiri yang memiliki kekuatan tersendiri.
“Setiap kali di lokasi, saya berdepan situasi berat dan menekan perasaan tetapi selesai berlakon setiap babak, saya menemui kepuasan yang sukar diungkapkan dengan perkataan,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur pada 20 Ogos 1990 itu.
Dia mengakui hatinya diburu debaran luar biasa sebelum melangkah ke lokasi Penanggal. Selepas dua tahun ‘meninggalkan’ dunia lakonan, Ummi berusaha keras menyerap watak Murni dalam dirinya supaya lakonannya menyerlah apabila Penanggal memasuki pawagam kelak.
“Lakonan perlu dilakukan seikhlas hati. Saya tidak boleh menipu kerana kak Ellie seorang yang begitu teliti dalam setiap sudut ketika di lokasi.
Watak Murni membuat saya kembali jatuh cinta kepada lakonan, malah menatap helaian demi helaian skrip yang berada di tangan membuat saya terpanggil untuk mencuba tanpa sedikit pun terdetik perasaan ragu.
“Saya tidak akan tinggalkan dunia lakonan kerana cinta saya masih di sini. Tetapi saya juga tidak akan korbankan masa depan hanya kerana terlalu mengikut kata hati,” katanya.
Sempat menjentik dengan soalan nakal, Ummi agak malu-malu mengakui kekosongan hatinya kembali terisi dengan kehadiran jejaka Melayu yang baru saja menamatkan pengajiannya di Melbourne. Bagaimanapun, Ummi selesa memberitahu hubungan mereka tidak lebih sekadar teman rapat kerana masih terlalu awal untuk membawa keakraban yang terjalin itu ke fasa serius.
“Tak perlulah bertanya soalan ini. Cukup saya beritahu memang saya rapat dengan jejaka itu dan selebihnya, biar ia menjadi rahsia kami berdua. Saya tidak mahu perkara ini terlalu digembar-gemburkan. Apa dapat saya katakan, dia banyak mendorong saya ke arah kebaikan. Cukup setakat itu,” kata Ummi seraya memohon isu peribadinya tidak terlalu diperbesarkan hingga menenggelamkan keikhlasannya kembali ke landasan seni.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: