
SEJAK tahun 1996, Starhill Gallery memulakan langkahnya sebagai gedung jenama mewah buat warga kota Kuala Lumpur.
Menjadi antara pelopor pusat beli-belah di Bukit Bintang sebelum lahirnya Pavilion dan Fahrenheit88, Starhill Gallery kembali menakluk pandangan orang ramai dengan reka bentuk bangunan baharu yang penuh memukau.
Bangunan ikonik itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah yang berkenan mencemar duli majlis tersebut.
Mencuit inspirasi daripada pameran kostum opera dan balet Christian Lacroix di National Museum of Singapore tidak lama dahulu, pusat beli-belah serba moden itu merupakan hasil keringat gabungan arkitek dari Malaysia, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat, Perancis, Itali, England dan Jerman.
Ilham fabrik
Diterajui arkitek dari Britain, Stephen Pembley, beliau memberitahu, adaptasi reka bentuk geometri bangunan Starhill Gallery diilhamkan daripada renda-renda fabrik berlipat dan berjahit kostum Lacroix.
Besi ringan dan kaca mewah pula menjadi struktur asas bangunan tersebut.
Penzahiran bangunan baharu itu cukup untuk menjadikan Starhill Gallery berdiri lebih gah berbanding bangunan-bangunan lain yang mendiami lokasi tumpuan pelancong itu.
Dengan keluasan 26,012 meter persegi, pusat beli-belah itu membawa pengunjung merentasi pengalaman mewah sebuah galeri kepada jenama-jenama terkemuka dunia.
Nama-nama jenama mewah seperti Valentino, M Missoni, REDValentino, Sergio Rossi, Kenzo, Leo, Louis Vuitton dan Dior menjadi tarikan utama bangunan tujuh tingkat tersebut.
Pengarah Urusan Kumpulan YTL Corporation Berhad, Datuk Dr. Francis Yeoh menyatakan: “Era baharu Starhill Gallery akan menyaksikan lebih banyak jenama jam tangan mewah seperti Sincere Watch yang menjadi kedai terbesar di Asia Tenggara.
“Jenama-jenama lain yang bersesuaian turut ditempatkan termasuk Debenham dan butik jam tangan Breguet yang merupakan butik pertama di Asia,” jelas beliau bahawa setiap tingkat bangunan itu dipecahkan mengikut tema berbeza.
Kebanjiran jenama asing yang memonopoli setiap ceruk Starhill Gallery bagaimanapun tetap diselitkan dengan beberapa jenama tempatan seperti Jendela KL yang dahulunya dikenali dengan nama Jendela Batik.

Bagi menghargai sokongan orang ramai terhadap pengukuhan Starhil Gallery, YTL telah melangsungkan konsert terbuka secara percuma menampilkan bintang legenda antarabangsa, Julio Iglesias pada 1 Disember lalu di Bukit Bintang.
Meneruskan sambutan pelancaran semula pusat beli-belah itu ialah pameran A Journey Through Time yang berlangsung selama 10 hari. Pameran yang memasuki edisi kelima itu menghimpunkan jam-jam tangan dan barang kemas dari seluruh dunia.
Menerusi pameran pada bulan Disember lalu, penggemar jam tangan dapat melihat koleksi-koleksi yang sukar ditemui dan edisi pertama jam tangan yang dipasarkan suatu ketika dahulu.
Bertemakan Time to Celebrate, pameran yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Malaysia itu dibarisi jenama-jenama unggul seperti Bedat & Co, Van Cleef & Arpels, Jaeger-LeCoultre, Omega, Carrera Y Carrera dan Boucheron.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: