Tuesday, January 3, 2012

Terima kasih cinta kedua


SAAT-SAAT awal, sebaik saja diijabkabul, Ash menyarung acincin pernikahan.


HARI pertama, ketika tabir suria 2012 menguak dengan limpahan rahmat, senyuman indah tersungging dari bibir merekah wanita ini.

Saya lihat senyuman itu seperti satu cahaya, gilang-gemilang bak mentari megah menunggu pada pagi hari. Sungguh, sangat bermaya.

Benarlah kata orang, kalau hati sedang dipagut bahagia, serinya menjelma, bercantum melahirkan zat-zat pada rupa yang indah.

Pelakon kecil molek, Sherie Merlis akhirnya bertemu cinta keduanya, dengan lelaki yang juga anak seni, Ash atau nama sebenarnya, Tengku Shafiz-Rullah As Syafiee Tengku Mohd.Shahidd.

Sementelah bergelar raja sehari, Ash, sang arjuna 29 tahun ini juga kelihatan cukup tampan meski dalam gaya sederhana.

Dewasa seorang lelaki terpancar dari bahasa badan yang kelihatan sangat bersedia. Di sebalik semua itu, dia teguh dengan pilihan untuk menamatkan zaman duda, setelah pernikahan pertama karam di laut hidup, sekitar dua tahun lalu.

Majlis pernikahan pasangan sama cantik, sama padan ini berlangsung di Madrasah Islahiyah Addiniyah, Taman Ibu Kota Kuala Lumpur, dengan dihadiri hanya keluarga terdekat.

Bapa Sherie, Wan Zainal Abidin Wan Kassim sendiri, memilih ‘terbang’ dari Sarawak, untuk menikahkan anak perempuan kesayangannya yang telah sekian lama hidup sendirian.

Dengan mas kahwin RM200, dua kali lafaz, Ash dan Sherie secara mutlak bergelar suami isteri.

“Syukurlah, semua berjalan lancar. Saya benar-benar lega kerana akhirnya hari ini sampai juga, 17 tahun, masanya sangat lama” demikian kata Sherie, beberapa detik selepas meraikan hari besarnya.

Mengimbau kisah cinta mereka, perkenalan bertanda setelah sama-sama terlibat dalam penggambaran sebuah drama bersiri pada awal 2011.

Hanya sekitar enam bulan berbahagi cerita, Ash pantas membawa Sherie bertemu ahli keluarga lalu bertambah serius selepas mendapat restu.

Dari situ, cinta semakin mekar, berkembang dan berbunga, kemudian bernekad mengakhirinya dengan sebuah hubungan suci.

Pun juga, usia yang bertingkah banyak, tidak mematikan cinta mereka untuk bersatu.

Di sebalik perbezaan itu, ia tidak pernah menjadi halangan untuk mereka memilih bersatu, menjalani kehidupan bersama berdua, mengejar pelangi berwarna-warni.

“Banyak benda kami serasi. Sherie seorang wanita yang amat baik dan atas kepercayaan itu, saya membuat lamaran. Dia sangat menghormati saya sebagai lelaki dan kehadirannya seperti satu anugerah terbaik dari Allah kepada saya.

“Semoga selepas ini, kami akan saling memberi dan menerima, menjadi teman dan lawan berbicara yang baik, saling berkongsi dan membina semula sebuah pernikahan dengan cara penuh dewasa,” kata Ash, si pelantun vokal dari kumpulan Gabba Gabba ini.

Ash kejora di langit biru

Kembali ke tahun 1990-an, umum mengetahui, guruh besar yang melintas dalam rumah tangga pertama, menjadikan wanita ini benar-benar serik.

Gagal dalam usia perkahwinan yang kemudiannya membawa dia kepada situasi terpaksa memikul gelaran janda pada usia muda, membuatkan Sherie terfikir untuk terus hidup sendirian sepanjang kehidupannya.

Selama 17 tahun, bukan tidak ada lelaki yang cuba mengocak perasaan, malah dia telah berusaha beberapa kali membuka pintu hati.

Mengakui sepanjang jalan itu dia banyak bertemu dengan lelaki-lelaki yang baik, pun apalah daya, tiada jodoh dikamus pertemuan.

Bercinta, putus cinta, beberapa tahun kemudiannya bercinta lagi dan putus lagi, itulah yang terjadi apabila seorang wanita sangat ‘takut’ dengan perjalanan jodoh.

Pun, hari pertama dalam kalendar tahun baru ini, disambut dengan satu tanda. Dia sebenarnya mahu keluar daripada detik hitam dan menyelongsor ke dunia lebih cerah, terang benderang.

“Saya sendiri tidak pernah terfikir, perjalanan pertemuan kami sehingga membawa kepada pernikahan.

“Inilah takdir-Nya. Berkenalan tidak berapa lama pun, tetapi hati saya boleh terbuka untuk menerima Ash dan kembali memasuki pintu perkahwinan.

“Ia adalah sesuatu yang saya sendiri tidak fikirkan sewaktu awal perkenalan kami. Saya sendiri berasa sangat tidak sangka hubungan kami akan pergi sejauh ini.

“Semoga pernikahan ini akan menjadikan kami manusia yang lebih baik, saling berkongsi dan hidup aman bahagia bersama-sama buat selama-lamanya,” katanya.

Layari hidup ini dengan matang

Usai menjabat tangan juru nikah yang hari ini menjadi mertua, Ash memberitahu ia adalah satu pengalaman yang cukup mendebarkan. Pernikahan dengan cara yang lebih dewasa ini, menurut Ash menuntut banyak perubahan dalam garis-garis kehidupan.

“Sudah pasti jalannya perlu dilalui dengan lebih matang. Perlu jadi lebih dewasa kerana pernikahan bukan satu permainan.

“Insya Allah, kami akan saling menjaga dan mengisi kekosongan masing-masing, menjadi teman dan sahabat.

“Apa yang baik daripada pernikahan kami yang lalu boleh dicontohi, yang kurang baik boleh dijadikan sempadan. Semoga semua pihak mendoakan kebahagiaan kami selepas ini,” ujar bapa kepada seorang anak perempuan, Tengku Anggun Deandra.

Usai semua perkara, Ash memilih untuk membawa isterinya bercuti panjang ke sebuah pulau dalam negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: