Thursday, January 19, 2012

Suu Kyi daftar bertanding ahli parlimen


AUNG SAN SUU KYI mendaftar untuk bertanding dalam pilihan raya parlimen di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Thanlyin di pinggir Yangon, Myanmar semalam.


THANLYIN, Myanmar - Jalan-jalan di bandar sekitar bandar raya Yangon, di sini, semalam bergema dengan teriakan para penyokong yang melaungkan kata-kata, 'Hidup Aung San Suu Kyi' bagi meraikan pencalonannya dalam pilihan raya kecil parlimen pada April depan.

Beribu-ribu penyokong hadir membawa kain rentang serta bendera dengan melaungkan nama Suu Kyi, 66, di hadapan pejabat pilihan raya tempatan di sini.

Suasana seperti itu tidak terbayangkan boleh berlaku kerana ia berada di bawah pemerintahan tentera.

Suu Kyi dibenci oleh junta tentera kerana popularitinya dan sokongan orang awam terhadapnya.

Keputusan ikon demokrasi itu untuk bertanding pada pilihan raya tersebut merupakan satu keyakinan terhadap pembaharuan yang dilaksanakan oleh pemerintahan awam baharu di Myanmar.

Sejak pemerintahan awam berkuasa pada Mac lalu, pihak berkuasa telah membebaskan ratusan tahanan politik yang terkenal, menandatangani gencatan senjata dengan pemberontak etnik, meningkatkan kebebasan akhbar dan membuka dialog dengan Suu Kyi.

Walaupun parti Suu Kyi menang semua 48 kerusi parlimen pada 1 April depan, ia masih mempunyai kuasa minimum.

Dewan Rendah Parlimen yang mempunyai 440 kerusi parlimen itu dikuasai oleh ahli-ahli lantikan tentera dan sekutu-sekutu bekas junta tentera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: