
KUALA LUMPUR – Minat pengusaha untuk mendapatkan persijilan halal semakin meningkat apabila Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima sebanyak 120 permohonan dari 1 hingga 15 Januari lalu.
Selepas membuat tapisan teliti, Jakim telah meluluskan 15 permohonan manakala yang lain masih dalam pertimbangan.
Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusoff (gambar kecil) berkata, bilangan permohonan dalam tempoh dua minggu itu hampir separuh daripada 303 permohonan sijil halal yang diterima sepanjang tiga bulan pertama tahun lalu.
“Kami percaya dorongan utama pengusaha mahu mendapatkan sijil halal ialah ekoran penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang menetapkan hanya logo halal Jakim diiktiraf,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Pada 11 Julai 2011 Dewan Rakyat meluluskan APD 2011 dengan penguatkuasaan penggunaannya bermula 1 Januari lalu.
Bagaimanapun, Jakim memberi kelonggaran kepada pengusaha untuk memohon logo halal dengan menetapkan tarikh penguatkuasaan yang lebih tegas bermula hanya pada tahun 2013.
Pada waktu itu kelak, pengusaha yang gagal mempamerkan logo halal Jakim boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 bagi syarikat dan RM100,000 untuk individu atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali di bawah APD 2011.
Sementara itu, Jakim dan Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) mengadakan pemeriksaan sijil halal di pusat beli-belah The Mall di sini semalam.
Pemeriksaan itu yang disertai kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mendapati sebanyak 11 premis makanan di pusat beli-belah itu menggunakan logo halal yang tidak sah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: