Tuesday, January 3, 2012

Perkasakan wanita banteras HIV/AIDS


Mohd. Zaman Khan bersama sekretariat Majlis AIDS Malaysia Kelantan sempena Seminar Memperkasakan Wanita Menangani HIV/AIDS di negeri itu, baru-baru ini.


APALAH nasib kehidupan seorang wanita bergelar isteri yang seringkali dilambangkan sebagai ratu rumah tangga memberi sinar kepada keluarga tetapi akhirnya semua kebaikan dibalas dengan tuba.

Beginilah keadaan nasib berisiko yang dialami oleh golongan wanita yang kebanyakannya berada di luar bandar, menjadi mangsa jangkitan HIV/AIDS sama ada disedari atau tidak daripada suaminya sendiri.

Dek kerana kurangnya ilmu pengetahuan dan kesetiaan yang membabi buta, selepas mereka menerima virus HIV/AIDS daripada suami, kehidupan mereka merempat disisihkan kaum keluarga biarpun kesalahan 'menerima' AIDS itu bukan berpunca daripada mereka.

Dalam kes ini sebahagian besar daripada wanita-wanita ini termasuklah para ibu dan isteri yang taat setia di rumah telah dijangkiti HIV melalui pasangan yang mengamalkan aktiviti berisiko seperti menggunakan dadah secara suntikan dan mengamalkan seks tidak selamat.

Tahun 2010, adalah tahun yang amat mengejutkan dengan realiti terbaru epidemik HIV/AIDS di negara ini yang telah berubah arah daripada transmisi yang berpunca daripada perkongsian jarum suntikan kepada transmisi seksual.

Perubahan ini sudah tentu membawa kepada implikasi yang sangat besar dalam usaha pihak-pihak tertentu untuk membendung epidemik HIV/AIDS ini kerana ia meletakkan kaum wanita sebagai kumpulan sasaran yang terdedah kepada risiko virus dan penyakit berkenaan.

Menurut Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM), Tan Sri Mohd. Zaman Khan, sebagai bukti terdapat peningkatan sebanyak tiga kali ganda bilangan wanita yang dijangkiti HIV semenjak 10 tahun lepas.

Katanya, nisbah jangkitan baru HIV di kalangan wanita adalah semakin meningkat dari 1.2 peratus pada tahun 1990 kepada 9.4 peratus pada tahun 2000 dan kepada 18.3 peratus pada tahun 2010.

''Adalah menjadi hasrat MAM untuk memperkasakan kaum wanita khususnya yang mendiami kawasan luar bandar dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya tentang HIV/AIDS, terutamanya tentang cara-cara bagaimana HIV boleh disebarkan.

''Kaum wanita seharusnya mempunyai kekuatan dalam merundingkan seks selamat dengan suami supaya mereka boleh melindungi diri mereka sendiri.

''Pendekatan berkesan yang boleh melindungi pasangan yang berisiko mendapat jangkitan HIV adalah dengan menggunakan kondom semasa melakukan hubungan seks di kalangan mereka yang mempunyai pasangan HIV positif atau bila status HIV pasangan mereka tidak diketahui," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Memperkasakan Wanita Menangani HIV/AIDS yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini selaras dengan tema utama kempen sambutan Hari AIDS Sedunia, menuju Sifar - Sifar jangkitan HIV, Sifar Diskriminasi, Sifar Kematian dengan AIDS sempena sambutan Hari AIDS Sedunia yang disambut pada bulan Disember setiap tahun.

Seminar ini dilakukan dalam usaha memperkasakan wanita dengan ilmu dan memberi pendedahan efektif dalam menangani dan membanteras HIV/AIDS.

Bagi Mohd. Zaman Khan, keperluan penggunaan kondom perlu ditekankan supaya peningkatan kes melalui transmisi seksual mampu dikurangkan.

Begitu juga kepentingan menjaga batas-batas susila dan bertapak kepada soal keagamaan ketika menjalinkan hubungan seks. Ini bermakna hubungan seksual perlu dilakukan secara sah berlandaskan keagamaan dan tidak melakukan seks secara diluar tabii.

Beliau juga menekankan pentingnya untuk membuat ujian darah bagi setiap wanita dan pasangannya serta penggunaan kondom amat diperlukan supaya peningkatan kes melalui transmisi seksual mampu dikurangkan.

Katanya, kini cara jangkitan HIV telah berubah, iaitu daripada jangkitan penggunaan dadah melalui jarum suntikan kepada jangkitan melalui hubungan kelamin (seksual).

''Pada tahun 2010, jangkitan melalui hubungan seks (hetero, homo atau biseksual) iaitu 48.7 peratus melebihi sedikit peratusan daripada jangkitan penggunaan dadah (47.4 peratus).

''Jangkitan daripada ibu kepada bayi meliputi hanya 1.1 peratus atau 40 kes kes baru yang dilaporkan di mana 13 kes dikesan di kalangan kanak-kanak di bawah umur 2 tahun," katanya.

Jelasnya, penyebaran HIV di negara ini bermula pada tahun 1986, apabila kes AIDS yang pertama telah dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun yang sama.

Jangkitan HIV di di negara ini menular hanya beberapa tahun selepas wabak ini berlaku di negara-negara Barat, khususnya Amerika Syarikat.

Pada tahun 2010, sebanyak 3,652 kes baru jangkitan HIV telah dimaklumkan melalui sistem pengawasan HIV kebangsaan, menjadikan jumlah keseluruhan 91,362 kes, sejak virus ini dilaporkan.

Sehingga kini golongan lelaki menjadi golongan yang tertinggi mendapat virus HIV/AIDS. Ini berikutan jangkitan di kalangan lelaki menyumbang kepada 81.7 peratus (2,985 orang) kes-kes baru yang dilaporkan pada tahun 2010, berbanding golongan wanita iaitu 18.3 peratus (668 orang).

Lingkungan umur 20-40 tahun pula menjadi majoriti jangkitan baru seperti tahun sebelumnya iaitu 88.7 peratus.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: