PENDUDUK Sudan kini lebih rela bekerja untuk mendapat sedikit wang sehari, berbanding berusaha mengubah nasib industri pelancongan. |
DI satu sudut di Port Sudan, pelabuhan utama negara itu, kelihatan beberapa anak-anak muda leka bermain snuker, menghisap shisha sambil menyaksikan para petugas kapal kargo menurunkan muatan masing-masing.
Situasi itu nyata berbeza berbanding beberapa tahun dahulu. Setiap kali bulan Disember, beberapa destinasi pelancongan terkemuka di negara itu akan sesak dengan kehadiran pelancong.
Bot-bot penyelam yang memenuhi kawasan pelabuhan bersedia untuk membawa pelancong meneroka kepelbagaian hidupan marin. Lazimnya, para penyelam dibawa melihat bangkai kapal yang menakjubkan atau merasai hasil kerja pakar samudera dari Perancis, mendiang Jacques Cousteau.
Lorenzo Orso yang mengendalikan perkhidmatan kapal untuk membawa penyelam-penyelam berkata, dia mengalami kerugian sejak krisis ekonomi global berlaku pada tahun 2009 dan selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa mendakwa Presiden Sudan, Omar al-Bashir atas jenayah keganasan terhadap kemanusiaan di Darfur.
"Sejak tiga tahun lalu, kami terpaksa bergelut untuk menampung kos operasi. Negara ini sedang berhadapan pelbagai masalah. Selepas Sudan terpisah dua, kami juga berhadapan dengan krisis seperti di Mesir sehingga menyebabkan pelancong takut untuk datang ke Sudan melalui Kaherah," katanya.
Selatan Sudan yang berpisah secara rasmi daripada Sudan pada Julai tahun lalu telah menyebabkan negara itu kehilangan lebih 75 peratus eksport sumber minyak. Keadaan itu telah memaksa kerajaan bergelut mencari sumber pendapatan baharu.
Jejas pelancongan
Menteri Pelancongan Sudan, Ali Mahjub Atta memberitahu, seramai 550,000 orang pelancong yang melawat negara itu pada tahun 2010 menjana pendapatan hampir AS$616 juta dolar (RM1.96 bilion).
Dalam tempoh yang sama juga, seramai 15 juta pelancong melawat Mesir.
Beberapa pihak sebelum ini meramalkan jumlah pelancong yang melawat Sudan akan meningkat sebanyak 20 peratus pada tahun lalu. Namun, ketidakstabilan politik di negara-negara Arab memaksa mereka untuk memilih destinasi-destinasi lain yang lebih selamat.
Bagaimanapun, punca utamanya ialah disebabkan persepsi sebahagian besar masyarakat Barat yang mengganggap Sudan tidak selamat. Perkara itu turut dikongsi oleh seorang usahawan wanita, Imran, yang mengendalikan perniagaan resort kira-kira 30 kilometer dari bandar pelabuhan itu.
"Pelancong bimbang datang ke sini. Ada antara rakan-rakan saya yang melawat dari Belanda dan sebaik sahaja kapal terbang mereka mendarat di Khartoum, mereka hanya fikir akan ditembak. Ia langsung tidak masuk akal," ujarnya.
Ketika ibu negara Sudan itu terhindar daripada sebarang konflik yang berlaku di wilayah barat Darfur, atau pertelingkahan di wilayah selatan, wilayah Laut Merah tetap sukar mencapai ketenangan dan keamanan yang diharapkan.
Menurut Kementerian Luar Sudan, pada April tahun lalu, dua helikopter Apache yang terbang dari Laut Merah telah melepaskan peluru berpandu dan mesingan terhadap sebuah kereta yang dalam perjalanan dari Port Sudan.
Didalangi Israel

Ramai pihak yang percaya serangan itu didalangi Israel. Biarpun tiada komen balas diberikan oleh pegawai-pegawai tentera negara itu, namun sebelum itu ia pernah mengeluarkan kenyataan mengenai aktiviti penyeludupan senjata di Pelabuhan Sudan.
Faktor lain yang membantutkan perkembangan Sudan sebagai sebuah destinasi pelancongan antarabangsa adalah disebabkan langkah kerajaan mengharamkan alkohol selain sekatan Amerika Syarikat yang menghalang penggunaan kad kredit di negara itu.
Begitupun, pelancong yang berkunjung ke perairan Sudan bakal menikmati ganjaran tersendiri.
Kira-kira 30 kilometer ke selatan dari Pelabuhan Sudan, pelancong berpeluang menemui kaum Beja, salah satu kumpulan etnik unik di Sudan yang menetap di pulau penuh misteri, Suakin.
Menjadi pintu masuk bagi jemaah haji ke Mekah sejak sekian lama, Suakin juga menjadi pelabuhan utama bagi aktiviti perdagangan semasa era Uthmaniah. Rumah-rumah di situ juga kebanyakannya diperbuat daripada blok-blok terumbu karang.
Ketika ini, perkhidmatan feri masih lagi beroperasi di seluruh teluk berkenaan. Bagaimanapun, pulau itu kini kelihatan seperti telah dilanda gempa bumi. Ibaratnya, ia terbiar selepas pembinaan Pelabuhan Sudan oleh penjajah British pada awal kurun ke-20.
Sebuah syarikat Turki mengambil tanggungjawab membaik pulih runtuhan bangunan-bangunan tersebut, sementara satu-satunya penempatan di pulau itu, El-Geyf, sibuk dengan pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh kaum Beja.
Pengurus Palace Hotel Pelabuhan Sudan, Louay berkata, Gabenor Mohmed Tahir Eilla telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menghidupkan semula wilayah itu termasuk menghapuskan permit perjalanan untuk ke luar bandar bermula November tahun lalu.
"Sejak pelantikannya pada 2006, gabenor banyak melakukan perubahan. Beliau telah melakukan yang terbaik, namun kekangannya adalah bajet yang tidak mencukupi," katanya.
Bagaimanapun, Lorenzo, ketua pengusaha-pengusaha bot di Don Questo percaya cabaran yang perlu dilalui lebih besar berbanding jumlah bajet yang telah diberikan untuk wilayah Laut Merah itu.
"Biarpun, gabenor mahu menjana keuntungan melalui aktiviti pelancongan, tetapi tidak ramai yang peduli atau tidak mengetahui apa yang harus mereka lakukan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: