Tuesday, January 3, 2012

Pelajar cemerlang Kampung Pondok Paku diarak kereta berhias


RAMLAN Ali (lima dari kanan) melambaikan tangan bersama penduduk ke arah murid cemerlang yang diarak dalam motosikal berhias di Kampung Pondok Paku, Besut, kelmarin.


BESUT 2 Jan. - Lima murid cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Kampung Pondok Paku diraikan oleh masyarakat setempat apabila diarak mengelilingi kampung dengan kenderaan berhias semalam.

Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu bertujuan memberi penghormatan kepada anak kampung itu yang memperoleh kejayaan cemerlang dan sebagai perangsang kepada murid lain.

Malah, ia memberikan kenangan amat manis dan bermakna bagi murid-murid dengan pencapaian yang turut dikongsi kebanggaan oleh keluarga dan masyarakat setempat.

Pengerusi JKKK kampung itu, Hamid Ismail berkata, idea mengubah suai alat yang digunakan untuk mengangkut rumput dan ditarik menggunakan motosikal itu dicetuskan penduduk sendiri.

Perarakan itu turut disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali; Penolong Pengarah Jabatan Penerangan, Mohd. Iskandar Jaafar dan lebih 500 penduduk kampung sekitar.

Menurutnya, acara julung kali diadakan itu berjaya membangkitkan semangat kerjasama antara penduduk yang sanggup menyiapkan lima motosikal berhias yang dijadikan kenderaan mengangkut murid terbabit.

Hamid bangga dengan semangat dan sokongan penduduk kampung itu yang memberi sokongan untuk mengiktiraf anak rakan sekampung yang Berjaya mencipta nama dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Ramlan ketika berucap meraikan murid terbabit berkata, usaha yang dilakukan oleh JKKK kampung itu patut dicontohi penduduk tempat lain.

Katanya, penggunaan kenderaan tersebut sebenarnya dapat mengingatkan anak-anak bahawa mereka datangnya dari keluarga petani.

Menurut Ramlan, dengan cara demikian mereka dapat menilai pengorbanan kedua ibu bapa yang saban hari memerah keringat untuk menyediakan segala keperluan untuk belajar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: