Tuesday, January 3, 2012

Osbon berbaloi kena kutuk


Osbon telah memenangi hati penonton semenjak daripada minggu terawal membawa kepada minggu terakhir dalam pertandingan yang mempertaruhkan jaguh-jaguh dalam bidang lawak jenaka ini.


JUARA Maharaja Lawak Mega (MLM), kumpulan Osbon yang dianggotai oleh Os dan Abon berasa berbaloi menerima banyak kritikan daripada para pengkritik pertandingan itu apabila di penghujungnya, mereka meraih hadiah wang tunai RM350,000 dan trofi.

Menurut Os atau Mohd. Yusof Abdul Hamid, 50, dia dan Abon tidak pernah berkecil hati dengan segala kritikan dan kutukan itu, malah menerimanya dengan positif serta hati yang terbuka demi meneruskan saingan dalam pertandingan tersebut.

"Kami terima segala kritikan itu dengan hati ikhlas. Contohnya apabila Zainal Abidin Hassan yang mengkritik kami dengan cara memberikan kad merah. Saya tidak kecil hati. Bukan setakat para pengkritik, Abon sendiri bantai saya juga, tetapi saya tidak kisah.

"Bagi saya para pengkritik seperti cikgu yang mengajar sesuatu subjek di mana kalau kita melawan mereka, maka keputusan peperiksaan nanti mungkin boleh kantoi (gagal). Saya sudah biasa kena kritik termasuklah dalam filem-filem lakonan saya sebelum ini," katanya.

Dengan kemenangan itu, Osbon mengetepikan saingan terdekat mereka iaitu kumpulan Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik yang muncul naib juara dengan mendapat hadiah wang tunai RM250,000.

Abon atau Sharizan Ahmad, 51, juga tidak menafikan kritikan serta kutukan yang dilemparkan kepadanya di mana pada masa sama dia menerima dengan reda, biarpun ia datangnya daripada pengkritik yang bukan daripada kalangan pelakon atau pelawak.

"Sewaktu tiga minggu pertama MLM semasa dikritik saya berasa terpinga-pinga kerana orang yang mengkritik kami itu bukannya pelawak. Datuk Chef Wan misalnya adalah seorang tukang masak dan begitu juga Zainal Abidin Hassan adalah pemain bola sepak.

"Jadi apabila dikritik sebegitu rupa, saya tidak patah semangat. Saya semakin bersemangat dan mahu membuktikan kritikan itu juga harus dilawan. Kami harus membuktikan bakat sebenar kami dan menganggap ini adalah pentas sebenar kami sebagai pelawak.

"Ia bukan main-main atau cubaan dan kami telah membuktikan ketahanan kami sebagai peserta MLM. Sepanjang 10 minggu menyertai pertandingan itu, kami tidak pernah membantah atau melawan juri yang telah mengkritik kami. Kami menghormati mereka," ujarnya.

MLM yang memberikan markahnya sebanyak 70 markah daripada para pengkritik dan 30 markah lagi menerusi undian khidmat pesanan ringkas penonton itu menyaksikan Osbon mendapat 31.1 markah, Boboi (29.3 markah), Saehu (22 markah) dan Syok (17.5 markah).

Sewaktu ditanya apakah yang akan digunakan pada wang hadiah kemenangan Osbon itu, Os berkata, dia akan menggunakannya bagi menambahbaik teksi miliknya selain bagi memenuhi keperluan anggota keluarganya.

"Saya bercadang mahu menggunakan duit kemenangan ini bagi menambahbaik teksi saya supaya ia kelihatan lebih solid dan menarik demi keselesaan penumpang.

"Ini kerana, saya seorang pemandu teksi dan saya akan meneruskan kerjaya itu seperti biasa.

"Saya tidak akan tukar teksi saya kerana keadaannya masih elok lagi, apatah lagi permit teksi saya hanya akan mati pada tahun 2015. Selain itu, saya akan gunakan wang kemenangan ini bagi menyara keluarga. Anak-anak pula ramai, jadi kos sara hidup agak tinggi," jelasnya.

Biarpun tewas kepada Osbon tetapi Afdlin Shauki, 40, yang mewakili Boboi akur dengan kemenangan pesaing terdekatnya itu pada pertandingan akhir MLM yang diwakili empat pengkritik iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Chef Wan, Zainal Abidin Hassan dan Aaron Aziz.

Jelas Afdlin, dia tidak menafikan kekuatan lawak Osbon pada setiap minggu yang memberikan saingan sengit kepada Boboi, apatah lagi mereka pula adalah pelawak yang paling senior dalam MLM berbanding para peserta lain dalam pertandingan anjuran Astro Warna itu.

"Boboi bangga kerana tewas di tangan Osbon. Mereka memang layak menang. Sebagai pelakon dan pengarah, saya kagum dengan Osbon. Mungkin saya mengambil masa lagi tujuh tahun untuk menandingi bakat dan pengalaman mereka itu," ungkapnya berterus terang.

Selain Osbon dan Boboi yang mewakili Malaysia, Saehu yang berasal dari Indonesia turut memberikan saingan dalam MLM.

Tampil dengan pelbagai idea lawak jenaka berbeza berjaya menggeletek hati para penonton, bagaimanapun kedua-dua kumpulan ini sedari awal dikatakan bakal tewas di tangan Osbon atau Boboi.

Bagaimanapun, Saehu yang diwakili oleh Eko Sugiyanto (Eko), Muhammad Abdi Zein Bancin (Bocil) dan Refika Novianti Faturohman (Vicha) tetap berbangga kerana berpeluang bertanding dalam MLM hingga ke peringkat final biarpun hanya menduduki tempat ketiga.

"Kalau ada orang kata hubungan Malaysia dan Indonesia itu kurang bagus, rasa rasa perkara itu tidak benar kerana kami diterima oleh para penonton di sini. Hubungan kami dengan para peserta MLM juga amat baik. Kami bangga kerana dapat mewakili Indonesia dalam MLM.

"Kami juga amat berbangga kerana dapat bersaing dengan para peserta otai (lama) dalam pertandingan ini seperti Os dan Abon. Mereka memang layak menang dalam pertandingan ini. Hadiah yang kami terima ini juga amat lumayan jumlahnya," komen Bocil.

Sementara itu, kumpulan Syok yang menggabungkan peserta dari Malaysia dan Singapura yang dianggotai oleh Suhaimi Yusuf, Ifa Raziah serta Ariff Sudin menganggap penyertaan mereka dalam MLM mampu untuk mengembangkan lagi populariti mereka dalam bidang seni di sini.

"Ini adalah langkah awal kami untuk memperkenalkan lagi bakat dan nama kami di Malaysia. Asalnya kami dikenali sebagai kumpulan Pecah Dara dan melalui MLM inilah kami mahu menunjukkan bakat sebagai pelawak.

"Melalui pertandingan inilah saya dapat memperkenalkan lagi nama saya walaupun di Singapura saya telah terbabit dalam bidang penyiaran televisyen dan lawak jenaka selama hampir 20 tahun. Baru sekarang saya dapat peluang dan pendedahan ini di Malaysia," kata Ifa Raziah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: