Monday, January 2, 2012

KidsInvent cungkil kreativiti pelajar


Bekerjasama di dalam kumpulan dilihat dapat membantu mengembangkan daya kreativiti sesama pelajar disamping dapat memupuk sikap saling tolong -menolong sesama mereka.


KEUPAYAAN sesebuah negara untuk terus bergerak maju dan berkembang pesat adalah bergantung kepada pemimpin serta rakyat yang kreatif, inovatif serta mampu memandang jauh ke hadapan.

Justeru, bagi melahirkan masyarakat yang memiliki ciri-ciri tersebut, usaha pemupukan harus bermula sejak kecil lagi.

Menyedari hakikat tersebut, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) menganjurkan Program KidsInvent sekali gus menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang kreatif dan berinovatif.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Raslan Ahmad, Program KidsInvent tersebut merupakan program kali ke empat dan bakal dilaksanakan secara besar-besaran ke seluruh negara bermula tahun ini.

"Kami percaya melalui program ini kami dapat menyediakan sesi pembelajaran dan permainan secara hands-on kepada kanak-kanak.

"Pada masa sama, dapat menumpukan perhatian kepada peningkatan pemikiran dan aktiviti kreatif serta inovasi," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program KidsInvent kali ke empat yang di sempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong di Taman Teknologi Malaysia (TPM), baru-baru ini.

Jelas Dr. Raslan lagi, sambutan secara besar-besaran pada ini juga bersempena Tahun Gerakan Inovasi Nasional yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam ucapannya pada Belanjawan 2012 yang lalu.

Sementara itu, Ka Siong berkata pihaknya amat menggalakkan acara sedemikian kerana dapat membimbing para pelajar menerokai dunia dalam suasana yang selamat dan menyeronokkan.

"Perbezaan antara pelajar hari ini dan semalam adalah teknologi yang telah dihidangkan kepada mereka.

"Para pelajar hari ini lebih yakin tentang dunia dan peranti-peranti moden hari ini kini telah benar-benar menjadi satu gaya hidup kepada mereka," ujarnya.

Tambah beliau lagi, semangat yang ada secara semulajadi pada pelajar mungkin akan pudar sekiranya mereka tidak digalakkan untuk menyiasat dengan lebih lanjut akan persoalan-persoalan yang bermain di minda mereka.

Sebanyak RM50.2 billion telah diperuntukkan oleh kerajaan pada tahun 2012 bagi memastikan pendidikan yang berkualiti dan termampu dapat dinikmati oleh semua golongan.

Malah, sempena dengan Tahun Gerakan Inovasi Nasional pada tahun yang sama itu juga, YIM dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta rakan inovatif akan merancang beberapa program penting.

Antaranya adalah Program Jejak Inovasi yang merupakan program turun padang bagi menghargai kreativiti dan inovasi pada peringkat akar umbi.

Seterusnya penganjuran Forum Inovasi Sedunia yang juga merupakan kemuncak program yang mana juga merupakan platform untuk meraikan kreativiti dan inovasi tempatan bersama masyarakat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: