
SEKITAR awal tahun 1990-an, siri komik Jepun, Fist of the Big Dipper telah diterbitkan di Jepun dengan nama asalnya Hokuto No Ken. Hasil karya Buronson dan Tetsuo Hara itu sangat terkenal sehingga kini, terutamanya watak utama Kenshiro.
Lebih membanggakan, ia pernah diadaptasi Hollywood dalam filem Fist of the North Star. Kini ia diadaptasi pula dalam permainan video bagi platform Playstation 3 dan Xbox 360 sebagai Fist of the North Star: Ken’s Rage (FoTNS).
Ia telah diedarkan oleh Tecmo-Koei, syarikat di sebalik permainan seperti Fatal Frame, Ninja Gaiden dan Gundam Dynasty Warriors.
Dunia tahun 199X
Pada tahun 199X, dunia yang kita kenali telah musnah akibat peperangan nuklear dan banyak umat manusia terkorban. Mereka yang selamat daripada malapetaka tersebut telah memulakan kehidupan baharu, dalam dunia yang tiada undang-undang.
Dalam dunia baharu ini, mereka yang kuat akan memerintah yang lemah. Tatkala pelbagai kezaliman dilakukan, muncul kelibat lelaki bernama Kenshiro yang merupakan pewaris seni pertempuran Hokuto Shinken.
Dia turut dikenali melalui parut tujuh bintang di anggota badannya. Kenshiro tekad membawa keamanan kepada dunia yang huru-hara dengan bantuan sahabatnya iaitu Rei, pewaris Nanto Shinken.
Watak
Hampir kesemua watak dalam siri Manga asal membuat kemunculan dalam permainan ini. Selain dari Kenshiro dan Rei, terdapat watak lain seperti Mamiya, Thouzer dan Shin.
Adik-beradik Kenshiro yang juga pewaris Hakuto Shinken juga dapat digunakan dalam permainan ini iaitu Raoh, Toki dan Jagi. Terdapat 10 watak yang boleh dimainkan, dengan seni mempertahankan diri masing-masing dan selebihnya adalah NPC (Non-Playable Character).
Mekanisme Permainan
Genre utama FoTNS adalah hack n slash sama seperti Devil May Cry. Pada setiap tahap, pemain akan berjalan sehingga penghujung permainan sambil menyelesaikan misi sampingan dan bertarung dengan musuh.
Sub-genre pula adalah Action RPG kerana terdapat sedikit elemen pembangunan watak. Permainan ini melibatkan banyak pertempuran jarak dekat. Pemain boleh menggunakan pelbagai rantaian serangan unik Kenshiro dengan kombinasi butang-butang tertentu.
Corak permainan akan sedikit berubah mengikut watak pilihan dan seni bela diri yang digunakan pemain. Bagi memudahkan lagi pemain menghayati permainan, ia menampilkan skim butang kawalan yang mudah dikendalikan mereka.
Meridian Chart

Juga seperti Devil May Cry, terdapat sebuah skrin khas antara setiap tahap yang memberi peluang kepada pemain menggunakan mata pengalaman atau Soul Points untuk menguatkan watak pilihan mereka. Keupayaan baharu boleh dibeli dalam Meridian Chart yang hampir sama dengan skrin Sphere Grid dalam siri Final Fantasy X.
Pergerakan istimewa
Ini merupakan antara daya penarik utama siri permainan ini. Ketika dalam pertempuran, pemain boleh melakukan pelbagai jenis pergerakan istimewa. Sebagai contoh, Kenshiro memiliki sekurang-kurangnya lapan signature move.
Bagaimanapun, pemain hanya boleh menggunakan empat gerakan pada satu tahap. Antara pergerakan menarik termasuk Hokuto 100 Crack Fist dan Hokuto 7 Stars of Death. Untuk finishing move, pemain perlu menggunakan Spirit Aura terlebih dahulu apabila kuasa kemusnahan adalah lebih hebat daripada Signature Move.
Mod permainan lain
Selain daripada mod Legend (jalan cerita mengikut Manga) permainan ini turut mengetengahkan mod Dream, iaitu jalan ceritanya unik untuk permainan video ini. Mod Challenge adalah sama seperti mod Survival iaitu apabila pemain perlu bertarung dengan musuh tanpa henti dan mod Introduction memperkenalkan kepada pemain tentang aspek-aspek permainan.
Pada dasarnya, FoTNS adalah permainan yang mampu menarik perhatian dengan kelainan yang ditampilkan malah dipadankan pula dengan populariti siri Manga asal. Ia juga memiliki lagu latar yang sepadan dengan tempo permainan dan juga cut-scene yang cantik.
Bagaimanapun, kualiti grafik sedikit menghampakan dan tahap kesusahan permainannya tidak terlalu sukar. Itu sedikit memberi kesan kepada pengalaman permainan. Terdapat juga beberapa isu bug atau ralat ketika bertempur dengan musuh yang ramai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: