![]() |
| Fesyen yang ditampilkan MaxMara ini dianggap futuristik. |
KONTEMPORARI dan moden. Ini gaya sepanjang tahun lalu. Kebanyakannya menampilkan sentuhan moden dan klasik. Misalnya gaya klasik atau 60-an diberi nafas baru kepada potongan moden dan warna yang lebih berani seperti merah samar, merah atau biru terang.
Namun warna-warna seperti hitam, emas, coklat atau kelabu masih menjadi pilihan peminat fesyen. Bagaimana dengan gaya tahun 2012?
Pasti lebih elegan dan eksklusif. Mengintai fesyen antarabangsa, sudah pasti tema musim panas membuka tirai tahun ini. Jika akhir tahun tampil dengan koleksi musim sejuk seperti kot, pakaian berbulu dan jaket, awal tahun pula menampilkan fesyen futuristik.
Menyerlah
Berbeza dengan tahun sebelum ini, kebanyakan koleksi musim sejuk tampil dengan warna-warna yang lebih menyerlah seperti merah atau kuning. Dahulu, pilihan banyak terhad kepada warna lazim seperti hitam sehingga tidak nampak kepelbagaian jenama tersebut.
Sebaliknya, musim panas pula menampilkan warna yang sederhana seperti emas dan biru kehijauan. Kebanyakan pakaian menggunakan fabrik kapas atau jersi kerana kain yang lembut sesuai untuk cuaca panas. Bagi penggemar warna ceria dan rekaan baju bercorak, feminin dan tenang merupakan inspirasi tahun baru. Kebanyakan fesyen bakal mengetengahkan elemen seksi dan elegan. Manakala koleksi kasut masih menampilkan gaya popular seperti wedges, pump dan tumit tinggi. Selain beg tote dan hobo, beg kepit menjadi pilihan untuk gaya sederhana.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: