
BERHIBUR selama lapan jam tanpa berhenti. Itulah kemeriahan yang bakal dirasai orang ramai jika mereka hadir di perkarangan tempat letak kereta terbuka pusat membeli belah One Utama (Old Wing).
Acara gilang gemilang atau Big 8 Bash!, itu akan berlangsung pada pukul 4 petang, 7 Januari ini, sempena sambutan ulang tahun ke-8 stesen 8TV yang jatuh pada keesokannya.
Persembahan pada hari itu akan dimulakan dengan konsert artis Cina yang akan berlangsung selama dua jam. Selepas itu peminat-peminat berpeluang mengikuti konsert urban yang juga berdurasi selama dua jam sebelum acara kemuncak untuk merai ulang tahun 8TV.
Antara band tempatan yang bakal menghibur orang ramai adalah The Azenders, Kyoto Protocol dan Enterprise berserta dengan suara lunak merdu Henley Hii, Karen Kong, finalis Ultimate Power Star, Kopi dan Vivian.
Tidak ketinggalan mengadakan persembahan pada hari itu adalah Reza Salleh dan juga Liyana Fizi yang bakal menghiburkan para penonton dengan lagu-lagu terbaik mereka.
Selain itu, penonton juga akan dihiburkan dengan 'rapper' terkenal Joe Flizzow, Sona One, Altimate, Arabyrd! Juara Showdown 2011 dan Elecoldxhot juga bakal menghiburkan dengan gerak tari kreatif mereka.
Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul berkata, seorang artis antarabangsa turut diundang untuk memeriahkan acara bersejarah itu.
"Kami turut mengundang penghibur antarabangsa kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Taiwan, Nicholas Teo dan Aga (pemenang program Super Idol musim ke-4) akan turut hadir dalam sambutan ulang tahun 8TV Big 8 Bash!.
"Sebelum acara kemuncak ini 8TV telahpun membuat pelbagai gimik sempena sambutan ulang tahun ke-8 yang bermula awal Oktober 2011 lalu apabila berlangsungnya pertandingan mesra alam 8TV Fun Hunt," katanya.
Menurut Airin, selama lapan tahun lalu 8TV menyimpan pelbagai cita-cita besar dan usaha yang diperuntukan selama itu berbaloi.
Kini, katanya, 8TV telah melebarkan sayapnya dan mendapat tempat di hati para menonton tempatan adalah hasil berkat kerja keras dan dedikasi warga 8TV.
"8TV telah mengharungi banyak dugaan dan cabaran sepanjang saluran ini bersiaran namun kami berbangga kerana 8TV telah banyak belajar melalui segala cabaran tersebut dan mara lebih tegar dan baik dari sebelumnya," akuinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: