Tuesday, January 3, 2012

Cuba zahirkan budaya baru

Ringo Tan Hui Ling
Ringo Tan Hui Ling
Hanis Zalikha
Hanis Zalikha

MEREKA memiliki pesona dan aura tersendiri. Walaupun tidak bergelar selebriti, masing-masing mempunyai pengaruh serta pengikut yang ramai di alam maya.

Bagi pengendali blog, nama Hanis Zalikha, 20, sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan pengikut Melayu begitu juga rakan seangkatannya, Ringo Tan Hui Ling, 27, yang bukan saja dikenali sebagai penulis fesyen malah mengikuti perkembangan fesyen semasa.

Sebut saja penulis blog paling berpengaruh, bijak dan menawan pasti nama Hanis Zalikha terpacul di bibir kalangan penulis blog. Blognya sentiasa dikunjungi, dilayari ribuan pembaca dengan ratusan komen ditinggalkan serta menjadi inspirasi bagi penulis blog baru.

Selepas tersenarai di tangga ke-10 dalam pencarian Google Zeitgeist 2011, Hanis Zalikha tercalon dalam Anugerah Blog Paling Berpengaruh Anugerah Blog Nuffnang Asia Pasifik 2011 manakala Hui Ling berjaya memenangi Anugerah Blog Fesyen Terbaik 2011.


Bertemu kedua-dua wanita cantik ini mereka ibarat selebriti di alam maya, bukan saja petah berbicara malah bijak beraksi di hadapan kamera.


Bagi Hanis Zalikha, pengalaman sebagai peragawati sambilan mematangkan dirinya untuk lebih berani serta tidak kekok berhadapan kamera. Nyata dia menggunakan pengalaman yang sama untuk berinteraksi dengan peminat di dalam blog inibelogsaya.blogspot.com yang rata-rata masih di bangku sekolah.

Selain menulis mengenai aktiviti harian, pelbagai panduan berguna diberikan misalnya teknik belajar, panduan penjagaan rambut, solekan dan penjagaan kulit.
Seboleh-bolehnya anak kedua daripada enam beradik ini mengelak membicarakan mengenai cinta kerana itu terlalu peribadi dan tidak perlu dikongsi bersama pembaca.

Bercerita lebih lanjut, gadis yang memiliki senyuman menawan ini mula membina laman blog sejak tiga tahun lalu. Ketika itu Hanis menyertai pertandingan kecantikan yang dianjurkan secara dalam talian. Peluang bertemu dengan rakan yang menulis blog menyebabkan dia terpengaruh untuk mempunyai blog sendiri.

“Ketika di bangku sekolah pun saya sudah mempunyai blog sendiri tapi ia tidak dipamerkan kepada umum kerana blog itu saya bina hanya sebagai medium untuk meluahkan perasaan yang bergolak dalam jiwa remaja. Namun, apabila melihat perkembangan rakan yang mempunyai ramai pengikut, saya mula tertarik membina blog sendiri untuk tatapan umum,” katanya.

Bagi menjadikan blognya sentiasa berinformasi dan menjadi kunjungan ramai, dia sentiasa memastikan bahasa digunakan dekat di hati pembaca.

Walaupun tidak 100 peratus menggunakan bahasa Melayu formal, Hanis tidak menggunakan bahasa rojak atau bahasa pasar. Adakalanya dia turut menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium penyampaian.

“Saya cuba menzahirkan budaya baru dalam kalangan pelayar Internet iaitu ‘blogging’ sebagai satu kaedah meluahkan rasa hati serta meningkatkan jati diri. Apabila menerima kiriman e-mel dan komen daripada pengunjung yang berpendapat cerita atau panduan dikongsi melalui blog boleh dijadikan sumber inspirasi kepada mereka, ia secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan untuk saya terus berusaha menjadikan setiap bahan yang dipaparkan bermutu dan memberi manfaat kepada pembaca,” katanya.

Selain itu, Hanis juga tidak lokek berkongsi ilmu yang diperoleh sepanjang berkecimpung di dalam bidang peragaan misalnya ketika disolek jurusolek berpengalaman dia bertanya mengenai teknik solekan yang betul.

“Memang seronok kerana saya dapat berkongsi dengan pembaca berdasarkan pengalaman sendiri. Secara tidak langsung ini menjadi panduan kepada mereka terutama bagi mereka yang berani mencuba,” kata Hanis yang memperuntukkan tiga atau dua jam sehari untuk menulis di blog.

Melalui agensi perhubungan awam yang menguruskan kerjayanya, Hanis turut berpeluang menerima jemputan untuk membuat liputan acara berkaitan fesyen, pelancaran produk kecantikan dan peraduan ditawarkan dalam talian.

“Secara tidak langsung, saya berpeluang mendapat ramai kawan selain merasai keseronokan mencuba produk kecantikan sebelum dikongsi bersama rakan di blog.
Memang seronok kerana bidang kecantikan antara cabang yang saya sukai,” katanya.

Pada tahun ini sekali lagi Hanis tercalon untuk Anugerah Blog Asia Pasifik anjuran Nuffnang untuk kategori Blog Paling Berpengaruh yang diadakan Disember lalu. Walaupun tidak memenanginya, ini tidak mematahkan semangat untuk terus menyajikan cerita menarik kepada pengunjung.

“Mungkin belum ada rezeki untuk saya meraih anugerah sebegini. Saya akui, saingannya sangat sengit memandangkan semua peserta sangat hebat. Saya terpaksa bersaing dengan penulis blog Filipina, Thailand dan Singapura yang kebanyakan mereka mempunyai pengikut yang ramai,” katanya.

Pada masa hadapan, pemegang diploma pengurusan perniagaan daripada Universiti Teknologi Mara, Johor ini berazam untuk menulis dengan lebih matang serta beretika bagi memberikan sesuatu yang lebih bermanfaat kepada pembaca.

“Selama ini pembaca tanpa jemu mengunjungi blog saya, setiap masa dan meninggalkan komen yang memberikan kata-kata semangat. Adakalanya saya tidak mampu membalas setiap komen diberikan. Justeru saya rasa bertanggungjawab memberikan penulisan berkualiti dan berinformasi kepada mereka,” katanya.

Bagi Tan, kali pertama tercalon untuk Anugerah Blog Asia Pasifik anjuran Nuffnang memberi pengalaman manis apabila dia berjaya mengalahkan penulis blog dari Singapura, Thailand dan Filipina bagi kategori Blog Fesyen Terbaik.

Dia sendiri tidak menyangka memenangi anugerah itu kerana peserta lain tidak kurang hebatnya.

“Saya menerima banyak e-mel, komen dan twitter daripada pembaca yang gembira dengan kemenangan saya. Saya sangat terharu dengan sokongan mereka selama ini dan berasakan apa yang saya lakukan sepanjang tujuh tahun lalu berbaloi.

“Ini menguatkan semangat saya untuk lebih memberikan informasi berkualiti kepada pembaca terutama daripada segi penggayaan dan fesyen,” ujarnya yang menggemari gaya fesyen Jepun.

Mula menulis sekitar 2004 yang bermula dengan diari harian dikongsi bersama lima rakan, akhirnya pemilik laman cheeserland.com kini memiliki lebih 10,000 pengikut yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam bidang fesyen.

Menurutnya, bagi menjadikan blognya dikunjungi ramai dia sentiasa memastikan bahan dipaparkan menarik, mempunyai unsur lucu dan menyegarkan.

Dalam hal ini, penggunaan bahasa memainkan peranan penting selain susun atur yang tidak membosankan. Dia juga mempunyai cara tersendiri mendekati pembaca dengan sering membalas komen mereka sama ada di blog, twitter atau facebook.

“Selain memberi panduan mengenai fesyen dan kecantikan, saya juga gemar melancong ke luar negara. Jadi pengalaman di luar negara saya sampaikan kepada pembaca supaya dapat dijadikan panduan kepada mereka. Saya juga banyak menerima jemputan daripada Nuffnang untuk membuat ulasan produk dan ini memberi peluang kepada saya berkongsi dengan pembaca,” katanya.

Dia yang menjadikan kerjaya ini sebagai sumber pendapatan mengakui dengan kemunculan ramai penulis blog baru, ditambah blog yang lebih interaktif dan menarik menjadikan dia lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik kepada pembaca.

“Saya gembira kerana mampu bertahan sehingga kini. Dengan kemunculan penulis blog yang lebih versatil dan pelbagai, pengunjung tetap bertahan dan terus memberikan sokongan. Saya percaya ini kerana saya mengekalkan karakter tersendiri, penulisan interaktif dan unik serta hebahan maklumat kepada pembaca,” katanya yang bercadang mempunyai label pakaian sendiri suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: