![]() |
| ANTARA koleksi kegemaran Alicia. |
PEMBERIAN hadiah seutas rantai vintaj daripada seorang rakan pena yang berada di Peru iaitu Muna, lapan tahun lalu terus membuatkan Alicia Chan jatuh cinta dengan barang kemas vintaj luar negara.
Koleksinya semakin bertambah apabila dia sering bertukar-tukar hadiah terutamanya barang kemas dengan rakan penanya yang lain di Amerika Syarikat (AS), Kimberly Lawrance yang dikenalinya hampir 20 tahun.
Klasik, unik dan eksklusif – itu pandangan wanita berusia 36 tahun ini terhadap reka bentuk barang kemas yang dikaguminya.
Sejak itu, dia semakin serius dengan minatnya mengumpul barang kemas vintaj dari luar negara. Bermula dengan hobi, kini ia juga menjadi antara sumber pendapatannya.
Pemilik laman butik online www.jewelrina.com ini berminat mengetahui budaya negara lain terutamanya fesyen pakaian dan barang kemas mereka sejak kecil lagi.
“Saya mula berkawan dengan rakan pena dari pelbagai negara seperti AS, Amerika Selatan dan Eropah sejak 15 tahun lalu dan masih berhubung hingga sekarang.
“Ketika itu, saya menghadiahkan mereka barangan tempatan seperti rantai manik yang dibeli di Jalan Petaling dan mereka membalasnya dengan rantai dan beg dari negara mereka.
“Barang kemas vintaj dari luar negara terutamanya AS amat berbeza kerana kerja tangan yang halus dan unik, tahan lama dan ia tidak mengoksida walaupun sudah berpuluh-puluh tahun,” katanya sambil memperagakan koleksinya di OB Couture di Tropicana City Mall.
Terang Chan, fokus minatnya adalah pada barang kemas vintaj yang tidak pernah dipakai lagi dan kebanyakan koleksinya diperoleh daripada Kimberly yang mendapatkannya dari stok kedai barang kemas ibu saudaranya di sana yang telah ditutup.
Barang kemas berusia lebih 70 tahun menjadi antara koleksi kesayangan daripada kira-kira 600 barang kemas vintaj dari 1940-an hingga 1980-an yang dimilikinya.
Ralit menyusun koleksi vintaj kesayangannya, Alicia menerangkan usia barang kemas yang kelihatan seperti baru itu boleh diketahui daripada manik, reka bentuk dan klipnya.
Dia turut menyimpan beberapa katalog lama barang kemas tersebut.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: