![]() |
| GAYA segak... Mohd. Aster Mohamad kini mengetuai Ops Lejang IPD Gombak. |
MENYEBUT namanya sahaja sudah membuatkan hati semua orang tertanya-tanya siapakah gerangan pegawai polis ini.
Adakah nama Aster itu milik seorang wanita dan jika lelaki, mungkinkah dia berasal dari Sabah ataupun Sarawak. Mungkin juga dia seorang Serani yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Nama yang cukup unik dan memberi maksud bau-bauan yang wangi ini sebenarnya diabadikan kepada seorang pegawai polis lelaki berpangkat inspektor, yang kini bertugas sebagai Pegawai Operasi Unit Curi Kenderaan di IPD tersebut.
Mohd. Aster Mohamad, 33, juga bukan berasal dari Malaysia Timur, sebaliknya dia merupakan anak jati Kuala Lumpur dengan kampung halamannya terletak di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).
Bercerita tentang namanya itu, beliau memberitahu, nama Aster sebenarnya diberikan oleh Allahyarham ibunya, Hamidah Hasyim yang ketika itu cukup meminati seorang penyanyi dari negara seberang.
"Arwah ibu ketika hayatnya begitu meminati penyanyi dari Indonesia bernama Astor dan berhasrat mengabadikan nama itu kepada anaknya iaitu saya.
"Bagaimanapun, ayah saya mengubah suai nama itu menjadi Aster yang membawa maksud wangi, agar ia sesuai masyarakat Melayu di sini.
"Namun, kadang-kadang saya tetap akui, nama ini lebih menonjol dari pemiliknya, apatah lagi kepada yang belum mengenali diri ini. Saya sudah lali malah ia agak mencuit hati," katanya ketika ditemui Gaya Polis di IPD Gombak baru-baru ini.
Bukan seindah nama, Mohd. Aster juga boleh dianggap sebagai pegawai polis muda yang cemerlang kerana khidmatnya bukan di atas nama profesion semata-mata apabila semangatnya menjadi bukti segalanya.
Katanya, beliau sanggup berkhidmat sebagai polis bantuan selama dua tahun dengan gaji sekitar RM500 sahaja, meskipun memiliki segulung Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Saya berkerja sebagai polis bantuan di Genting Highlands selama dua tahun kerana begitu meminati bidang kepolisan. Ketika itu tawaran menjadi polis masih belum dibuka malah peluang pekerjaan lain juga sukar.
"Saya menjadi polis bantuan dengan melakukan kerja pengurusan, sebagai pemandu serta membuat rondaan di Genting Highlands. Bapa saya sendiri ketika itu pun tidak berapa setuju dengan kerjaya ini tetapi saya cekalkan hati juga.
"Akhirnya pada 2005, saya membaca satu tawaran menjadi anggota polis di dada akhbar Utusan Malaysia dan setelah membuat permohonan, akhirnya saya berjaya memasuki Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Disember, tahun yang sama," jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: